UPSR 5A: Hadiah istimewa untuk ibu – Sinar Harian


UPSR 5A: Hadiah istimewa untuk ibu

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 November 2012
upsr
Zairani melihat keputusan anaknya, Muhammad Iqbal (kanan) yang mendapat 5A, semalam.

JASIN – Biarpun kematian ayah sejak lebih dua tahun lalu akibat sakit kronik, namun itu bukan penghalang kepada seorang calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah  Rendah (UPSR) 2012 di sini, untuk memperoleh keputusan 5A.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Air Baruk, Muhammad Iqbal Kamarul Zaman, 12, berkata, kejayaan itu bukan sahaja hadiah istimewa untuk ibunya yang banyak berkorban selepas pemergian ayahnya, malah menjadi penyuntik semangat untuk dia meneruskan kejayaan di sekolah menengah.

Menurutnya, selain menumpukan perhatian di dalam kelas, dia juga tidak pernah putus untuk berdoa serta mengulang kaji pelajaran setiap hari.

“Pada percubaan lalu saya mendapat 5A dan dari situ saya bertambah semangat untuk mengekalkan kecemerlangan dengan melipat gandakan usaha.

“Alhamdulillah berkat doa dan bantuan ibu termasuk guru yang banyak menolong memakbulkan impian saya mendapat keputusan ini,” katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Katanya, dia yang bercita-cita untuk menjadi doktor berharap dapat menyambung pelajaran di sekolah agama ataupun Sekolah Sains Muzaffar Syah Air Keroh.

Ibunya, Zairani Md Jelas, 43, berkata, dia sentiasa memastikan anaknya mengambil makanan berkhasiat supaya mereka dapat belajar tanpa sebarang masalah.

“Selain itu, saya juga mengingatkan anak-anak untuk makan kismis dan minuman air koko,” katanya yang bertugas sebagai jururawat pergigian di Klinik Kesihatan Jasin.

Sementara itu, Guru Besar SK Air Baruk, Mansor Baba, berkata, keputusan UPSR kali ini menunjukkan peningkatan dengan seramai 26 berjaya mendapat 5A, berbanding tahun lalu hanya 17 orang.

Menurutnya, daripada 132 calon yang mengambil UPSR tahun ini, seramai 16 murid berjaya mendapat 4A 1B sekali gus menunjukkan peningkatan peratus lulus 19.4 peratus.

“Sebelum ini, kita target seramai 24 orang yang akan mendapat 5A dan ianya bukan sahaja melepasi sasaran, malah buat pertama kalinya SK Air Baruk mendapat keputusan cemerlang sejak peperiksaan ini diwujudkan.

“Bersyukur dan merasakan kejayaan ini tidak akan dicapai sekiranya tanpa pengorbanan guru-guru tahun 6 termasuk ibu bapa yang sentiasa menyokong setiap program untuk anak-anak mereka terutama calon peperiksaan,” katanya.

4 termasuk 3 pelajar maut nahas di Pahang – Bernama


4 termasuk 3 pelajar maut nahas di Pahang
14:49:54 PM Cetak Emel Kawan

KUANTAN: Tiga pelajar lelaki dan seorang warga emas lelaki maut dalam tiga kemalangan berasingan di Pahang, semalam.

Dalam kejadian di Kilometer 5 jalan lama Bentong-Gombak dekat Bentong, penunggang motosikal, Muhammad Iwan Radzuan, 16, dan pemboncengnya, Muhammad Iqbal Ahmad Fahairol, 13, maut selepas motosikal mereka terbabit nahas dengan sebuah lori.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superitendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim dalam kejadian jam 3.30 pagi itu pelajar tingkatan empat dan satu itu dipercayai terbabas di satu selekoh dan memasuki laluan bertentangan.
“Mengakibatkan mereka bertembung dengan lori berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Gombak menuju ke Bentong, kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan dan disahkan mati di tempat kejadian.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian lain, seorang pelajar kolej swasta, Muhammad Nur Nikmat Mohd Soffian Solian, 18, maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar tiang elektrik di KM148 Jalan Kuantan – Segamat dekat Rompin.

“Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Gambang ke Melaka melalui Jalan Segamat.
“Sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai terlanggar lopak air di sisi jalan sebelah kiri lalu terbabas ke bahu jalan sebelum terlanggar tiang elektrik,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian lain, seorang warga emas, Tew Chai, 72, dari Jalan Bahagia, Taman Angkasa di sini, maut selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Air Putih, dekat sini.

“Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, mangsa dari arah Semambu menuju ke Air Putih membelok ke simpang kanan secara tiba-tiba sebelum dilanggar kereta berkenaan secara bertentangan,” katanya.

Mangsa disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

– BERNAMA