Dua pelajar mengaku bersalah – Sinar Harian


Dua pelajar mengaku bersalah

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Disember 2012

KUALA PILAH – Dua remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyembunyikan motosikal curi dengan cara membuang rangkanya di kawasan paya, Johol.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Majistret Azura Alwi dan pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain.

Suspek berusia 15 dan 16 tahun yang masih bersekolah itu bersama menyembunyikan rangka motosikal milik Noor Faiz Abd Razak di ladang kelapa sawit Kampung Betong, Johol  tanpa izinnya pada, jam 2.10 petang, 1 Disember lalu.

Kemudian, kedua-dua suspek  melakukan kesalahan yang sama kepada pemilik motosikal Tok Yeok Ban, lebih kurang jam 2.20 petang pada 2 Disember lalu, di ladang kelapa sawit, Kampung Betong, Johol.

Difahamkan, kedua-dua pemilik motosikal membuat laporan polis pada 21 September lalu.

Salah seorang suspek yang berusia 15 itu turut melakukan kesalahan lain iaitu melupuskan barang curi dengan menjual sebuah enjin milik Tok Yeok Ban tanpa izinnya.

Kesalahan dilakukan di rumah tidak bernombor di Kampung Gemencheh Ulu Air Mawang, Johol pada pada jam 12.10 tengah hari, 4 Disember lalu.

Kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Tanggai, Air Mawang, didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan membawa hukuman tidak kurang enam bulan penjara dan tidak lebih tujuh tahun serta denda.

Bagaimanapun, mahkamah akan menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum disabitkan kesalahan berikutan kedua-dua suspek bawah umur.

Kedua-dua suspek ditemani ibu dan bapa masing-masing memohon wang denda jaminan dikurangkan dan mendapat persetujuan Hakim Azura, iaitu seorang perlu membayar wang bernilai RM1,000 dan seorang lagi RM1,500 berikutan setiap pertuduhan dikenakan RM500.

Kes akan disebut semula pada 29 Januari 2013 selepas JKM menyediakan laporan akhlak.

Tumbukan ragut nyawa abang – Metro


Tumbukan ragut nyawa abang

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GEORGETOWN: “Walau apapun yang berlaku, saya tetap maafkan dia,” kata Nayati Man, 33, ibu Muhammad Asyraf Muhammad Shukri, 17, yang maut apabila ditumbuk adiknya selepas kedua-duanya bergaduh di rumah mereka di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Asyraf yang menghidap penyakit asma sejak kecil ditumbuk adiknya hingga mulut berdarah dan tersembam.

Asyraf mengalami sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ketika kejadian, menurut Nayati, dia berada di rumah dan anak sulungnya itu berbaring di sofa sambil menonton televisyen di ruang tamu manakala anak keduanya bermain permainan video di komputer riba.

 
“Anak bongsu saya yang berusia empat tahun menangis kerana mahukan mainan.

Namun, anak kedua saya mengusik adik perempuannya dan ini menimbulkan kemarahan Asyraf yang menegur perbuatan itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), malam kelmarin.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03

Berhenti sekolah akibat bengkak hati – Sinar Harian


Berhenti sekolah akibat bengkak hati

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 September 2012
Fatin (kiri) menerima sumbangan daripada Tengku Razaleigh, kelmarin.
Fatin (kiri) menerima sumbangan daripada Tengku Razaleigh, kelmarin.

GUA MUSANG – Seorang pelajar perempuan di sini, terpaksa berhenti sekolah berikutan menghidap penyakit bengkak hati yang turut menyebabkan mata kekuningan.

Fatin Nazihah Tuan Bongsu, 13, tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir hanya bersekolah sehingga tahun lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, kerana mengalami masalah kesihatan.

Fatin berkata, setiap kali naik dan turun tangga di sekolah, dia akan pengsan kerana tidak boleh bernafas menyebabkan dia terpaksa berhenti sekolah untuk mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya sedih kerana rakan-rakan lain dapat belajar sedangkan saya terpaksa duduk di rumah,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, dia mempunyai dua adik-beradik sahaja dan dia anak sulung. Akibat penyakit itu dia perlu berulang-alik ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menjalani pemeriksaan.

“Jika diizinkan saya ingin bersekolah semula bagi menjamin masa depan saya,” katanya selepas menerima sumbangan yang disampaikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Dewan RKT Kesedar Lebir, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah, Adun Galas, Ab Aziz Yusof dan Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Cawangan Gua Musang, Muhammad Shukri Abdul Aziz.

Seramai 39 ahli keluarga RKT Lebir menerima sumbangan itu sebanyak RM300 seorang, termasuk 20 penerima orang kurang upaya (OKU), 11 ibu tunggal dan lapan penerima khas.

Ibunya, Siti Ma Sidik Ahmad, 35, yang juga ibu tunggal berkata, penyakit bengkak hati yang dihadapi anaknya itu dikesan sejak berusia 11 tahun, di mana Fatin mengalami masalah pernafasan dan matanya kuning.

Katanya, ketika itu anaknya masih boleh ke sekolah walaupun dalam keadaan tidak bermaya, dan selepas beberapa kali pengsan dia tidak membenarkan Fatin ke sekolah.

“Saya selalu membawa Fatin ke hospital  untuk menjalani  pemeriksaan kerana bimbang penyakitnya akan bertambah serius,” katanya.

Juvana, sepupu didakwa – Metro


Juvana, sepupu didakwa
Oleh Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

KUALA PILAH: Seorang juvana berusia 17 tahun dan sepupunya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan cuba membunuh ibu kandungnya dengan mengelar leher mangsa ketika berlaku perselisihan faham antara mereka di depan Pasar Gemencheh, di sini, minggu lalu.

Pada prosiding di depan Hakim Azura Alwi itu, juvana terbabit yang juga tertuduh kedua dan sepupunya, Nor Haslinda Mohd Yunus, 26, tertuduh pertama, masing-masing berbaju lokap ungu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mereka didakwa mengkelar leher Azizah Isa, 50, ibu saudara Haslinda dan ibu kepada juvana terbabit yang juga pembantu am sekolah rendah menggunakan pisau. dengan niat atau mengetahui perbuatan itu menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di depan Pasar Gemencheh, Tampin, pada jam 5.15 petang, 11 Jun lalu.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Azura tidak membenarkan tertuduh dijamin dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Julai depan bagi membolehkan pendakwa raya mengemukakan laporan kimia. Beliau juga memerintahkan remaja itu ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereng, Melaka sementara menunggu kes dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dengan alasan mereka mempunyai ikatan kekeluargaan dengan mangsa.

Katanya, pihak pendakwaan khuatir sekiranya dijamin, tertuduh boleh mengacau ganggu mangsa yang juga saksi utama pendakwaan sehingga boleh menjejaskan kes pendakwaan.
Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili Nor Haslinda bagaimanapun memohon supaya jaminan dibenarkan dan berjanji kepada mahkamah untuk memastikan anak guamnya tidak menghampiri mangsa.

Katanya, mahkamah boleh memberi syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Sementara itu, suasana di galeri awam yang padat dengan orang ramai yang mengikuti prosiding kes itu bertukar sayu apabila keluarga kedua-dua tertuduh menitiskan air mata sebaik jurubahasa selesai membaca pertuduhan.

Jamin bapa rogol cucu – Metro


Jamin bapa rogol cucu

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA PILAH: Demi kasih kepada bapa, seorang lelaki sanggup menjamin bapanya yang dibicara kerana merogol anak perempuannya berusia tujuh tahun semata-mata tidak mahu warga emas itu tidur di lokap.

Lebih menyayat hati, bapa kepada kanak-kanak perempuan itu hadir ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam untuk mendengar prosiding bapanya yang dituduh merogol kanak-kanak malang itu di sebuah rumah di Gemencheh dekat sini, tiga tahun lalu.
Bagaimanapun niat murni lelaki berusia lingkungan 40-an itu tidak tercapai kerana Hakim Azura Alwi tidak membenarkannya menjadi penjamin kerana dia berkemungkinan akan dipanggil menjadi saksi pada perbicaraan nanti.

 

Tertuduh yang berusia 71 tahun dari Gemencheh, di sini, yang berkemeja putih mengangguk tanda faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Azura.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol cucu perempuannya yang ketika itu berusia tujuh tahun pada satu hari dalam tahun 2009 kira-kira jam 5.30 petang.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Gemencheh, Tampin dekat sini.

 

 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang daripada 10 sebatan.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain menyatakan bahawa pihaknya tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana lelaki itu adalah datuk kepada mangsa.

 

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dibebaskan dengan ikat jamin dengan alasan sudah tua dan sering sakit.
Azura membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin lain.
Beliau turut memerintahkan tertuduh tidak menghampiri mangsa dan menetapkan 2 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula.