Muhyiddin lancar Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia – Bernama


Muhyiddin lancar Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia
11:25:10 AM Cetak Emel Kawan

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran sekali lagi melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) melalui pembabitan lebih 3.6 juta murid dalam Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan, hari ini.

Senamrobik itu yang dilakukan serentak di 10,000 sekolah di seluruh negara dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Wawasan USJ 15 di sini.

Dalam perutusannya semasa melancarkan program itu, Muhyiddin berkata, dasar 1Murid 1Sukan yang mewajibkan setiap murid sihat mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sejajar dengan hasrat untuk memupuk budaya bersukan di sekolah.
“Saya bersyukur kerana dasar 1Murid 1Sukan turut memperlihat hasrat kerajaan menjadikan sukan sebagai alat utama perpaduan kerana jelas terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

“Justeru, bidang sukan adalah gambaran sebenar kepada konsep 1Malaysia yang secara tidak langsung menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan murid sekolah,” katanya.

Tahun lalu, kementerian mencatat nama dalam MBR melalui program Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang dijayakan oleh 4.1 juta pelajar dari 9,980 sekolah seluruh negara.

Sejurus menyampaikan ucapan, Muhyiddin bersama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan beberapa pegawai kanan kementerian yang lain menyertai kira-kira 2,500 murid yang bersiap-sedia di padang sekolah berkenaan untuk melakukan senamronik selama 45 minit.
Sebaik tamat, Timbalan Perdana Menteri menyaksikan penyerahan sijil MBR yang beliau tandatangani kepada Abd Ghafar daripada Presiden MBR, Datuk Danny Ooi.

Muhyiddin turut merasmikan perlawanan futsal antara murid dan melawat gerai pameran.

– BERNAMA