Perut hampir pecah – Metro


Perut hampir pecah

Oleh Pretty Licha
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MUKAH: “Hati saya sayu melihat perut budak lelaki itu hampir pecah,” kata saksi kemalangan jalan raya yang meragut nyawa kanak-kanak berusia lapan tahun apabila lori dipandu bapanya merempuh sebuah lori lain di Sungai Selat, Jalan Bintulu-Tatau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Bryant Tiong Kung Yan, murid tahun dua sekolah rendah di bandar Sibu, mati di tempat kejadian akibat cedera di perut selepas lori membawa muatan gam dipandu bapanya, Tiong Ing Tung, 44, merempuh belakang lori baja.
Saksi berkenaan, Edward Banting, 21, berkata, ketika kejadian dia memandu keretanya mengekori lori berkenaan sebelum pemandu lori di depannya menekan brek secara tiba-tiba sambil mengelak sesuatu sebelum berhenti secara mengejut.

 

“Saya sendiri nyaris merempuh belakang lori dipandu mangsa, tetapi disebabkan berada pada jarak yang selamat, saya mengelak daripada terbabit dalam kemalangan itu.
“Sejurus kemudian saya melihat pemandu lori berkenaan turun dengan kepalanya berlumuran darah menuju ke arah tempat duduk sebelah pemandu,” katanya. Edward berkata, dia memberhentikan kereta dan terkejut apabila mendapati pemandu lori itu cuba mengeluarkan anak lelakinya yang tidak sedarkan diri, tersepit di tempat duduk penumpang.
“Ketika itu saya sempat melihat perut kanak-kanak itu cedera parah dan banyak darah keluar. Selepas 10 minit, kami mengeluarkan kanak-kanak itu, namun tubuhnya langsung tidak bergerak,” katanya.

 

 

Pemandu lori baja terbabit, Latip anak Kerani, 42, berkata ketika kemalangan, lalu lintas di jalan berkenaan sesak kerana ada kerja naik taraf jalan dilakukan menyebabkan kenderaan berderet menunggu giliran melepasi kawasan pembinaan.
“Tiba-tiba lori saya dirempuh kuat dari belakang. Saya turun dan mendapati lori lain melanggar bahagian belakang kenderaan saya.

 

“Ketika itu saya nampak pemandunya cedera di kepala manakala seorang kanak-kanak berlumuran darah tersepit di tempat duduk depan,” katanya.
Difahamkan, Bryant menemani bapanya menghantar muatan gam ke Bintulu berikutan cuti sekolah sempena Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlangsung sekarang. Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian beberapa minit kemudian akibat cedera parah pada badan, manakala bapanya dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut dan dilaporkan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Mayat kanak-kanak malang itu dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kemalangan berkenaan menyebabkan keadaan lalu lintas di situ sesak lebih tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13