Sikap ultra kiasu isu makan di bilik persalinan – Berita Harian


Sikap ultra kiasu isu makan di bilik persalinan

2013/07/29 – 07:54:29 AM Ridhuan Tee AbdullahCetakEmel Kawan
PIBG mesti sanggah tuduhan terhadap Pengetua SK Seri Pristina, bukan diamkan diri

Apakah salah makan di bilik persalinan dan apakah isu atau masalah sebenarnya? Saya masih mencari-cari jawapan. Kenapa kita begitu cepat melatah?

Saya selalu menginap di hotel. Adalah perkara biasa di bilik persalinan diletakkan sinki untuk sesiapa saja makan dan minum di situ. Lebih teruk lagi bilik persalinan tidak diasing dengan tandas. Tandas berada bersama bilik persalinan. Adakah salah? Adakah tidak ada bau tandas? Kenapa tidak diprotes semua hotel yang berbuat demikian?

Apabila sekolah melakukannya buat sementara, bagai hendak kiamat Malaysia. Tanpa mendengar penjelasan pihak sekolah, kita terus mangsakan mereka. Adakah ini wajar?

Kenapa diam? Kenapa Kementerian Pelancongan tidak arahkan bilik persalinan diasing jauh dari tandas? Hanya kerana hotel itu mengikut cita rasa Barat. Kita pun setuju. Apabila sekolah melakukannya buat sementara, bagai hendak kiamat Malaysia. Tanpa mendengar penjelasan sekolah, kita terus mangsakan mereka. Adakah tindakan ini wajar?

Setelah dijelaskan pihak sekolah pun, ada yang tidak berpuas hati. Ada yang mendesak guru besar itu digantung tugas, dipindahkan dan sebagainya.

Kecualilah makan dalam tandas seperti berita yang mula-mula saya baca dalam laman web ultra kiasu. “Subhanallah, teruknya sekolah ni!” kata saya dalam hati. Apabila disiasat, rupa-rupanya makan minum dalam di bilik persalinan. Jauh bezanya, antara bilik persalinan dan tandas tetapi itu perangai ultra kiasu.

Mengapa tak pertikai hotel
Hatta, kalau makan minum dalam tandas sekalipun, pada saya itu perkara biasa, walaupun tidak beradab. Pergilah ke hotel atau spa. Selepas bersauna atau mengurut, kadangkala mereka akan bawa air masuk tandas minum. Begitu juga mereka yang merokok dalam tandas. Ini satu lumrah. Kenapa tidak dipertikaikan?

Saya tidak kata tindakan ini betul. Saya benci mereka yang merokok dalam tandas. Turut membahayakan orang lain. Kenapa perkara ini boleh diterima tetapi tidak kepada murid yang makan di bilik persalinan buat sementara?

Mungkin ada yang mempertikaikan, apa beza antara minum dan merokok. Persoalan saya, tidakkah semuanya masuk ke dalam perut? Termasuk juga mereka yang makan minum dalam tandas kerana tidak berpuasa.

Penulis bersimpati dengan pentadbir menimpa Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristina, Sungai Buloh. Niat mereka baik, tetapi disalah tafsirkan. Ultra kiasu sengaja mensensasikan untuk mendapat publisiti murahan. Kita pun cepat melatah, termasuk kementerian, bertindak tanpa usul periksa.

Saya puji tindakan Timbalan Menteri Pendidikan yang menutup soal kerana benda ini kecil. Bak kata pepatah, minda kecil bincang pasal orang, minda sederhana bincang pasal peristiwa, minda besar bincang pasal idea. Jadilah orang berminda besar. Paling kurang pun sederhana. Berilah idea kepada sekolah, di tempat manakah paling sesuai untuk makan minum selain bilik persalinan.
Alasan sekolah kukuh, bilik persalinan sudah digunakan bersama dengan kantin oleh semua murid sejak Mac lalu, bukan hanya ketika bulan puasa kerana kantin boleh memuatkan 500 hingga 600 murid. SK Seri Pristana mempunyai 1,300 pelajar. Ekoran kerja pengubahsuaian di kantin bermula dua minggu lalu, semua pelajar diminta makan di bilik persalinan. Guru bimbang keselamatan murid ketika kerja pengubahsuaian.

Tak usah sensasi isu

Pada saya, tindakan pihak sekolah itu wajar. Saya amat yakin perkara ini sudah dibawa berbincang dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Lagipun kantin sekolah sedang diubah suai. Mana lagi tempat yang lebih sesuai. Setelah dibincangkan. Itulah pilihan terbaik. Takkan nak makan di bilik guru pula. Apabila PIBG bersetuju dengan tindakan itu, maka ia dilaksanakan kerana PIBG mewakili ibu bapa. Itulah peranan PIBG. Justeru, tidak perlu disensasikan.

Adalah mustahil untuk mendapatkan pandangan semua ibu bapa dalam membuat sesuatu keputusan. PIBG adalah plat-form yang terbaik kerana mereka mewakili ibu bapa. Kenapa hanya seorang saja yang nak dimangsakan. Malangnya, ramai ibu bapa yang tidak mahu datang mesyuarat PIBG. Tiba-tiba ibu bapa ini mahu menjadi hero atau heroin.

PIBG sepatutnya tampil ke hadapan membela atau mempertahankan keputusan itu. Bukan hanya diam membisu setelah diasak oleh ultra kiasu. Begitu juga dengan kementerian. Jangan terlalu cepat melatah. Kaji dan siasat dulu.

Penulis ialah Prof Madya/Ketua Program Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

100 penghuni asrama terjejas, pagar asrama turut runtuh – Sinar Harian


100 penghuni asrama terjejas, pagar asrama turut runtuh
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Julai 2012

Keadaan tangki air pecah yang terletak di atas menara setinggi kira-kira 10 meter.
PAKA – “Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan, seketika kemudian air keluar dari tangki sehingga melimpah di sekitar pagar berdekatan asrama sekolah.

Demikian kata Mohd Redzuan Zamri, 31, saksi kejadian tangki air pecah di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, tangki air Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka yang terletak di atas menara setinggi kira-kira 10 meter itu pecah, menyebabkan air takungannya mencurah keluar sehingga kawasan berdekatan digenangi air.

Pagar asrama sepanjang kira-kira 10 meter juga turut runtuh, selain bumbung sebuah bangunan berdekatan mengalami kerosakan teruk terkena air yang jatuh dari tangki air terbabit.

Ketika kejadian, terdapat hampir 80 pelajar perempuan mendiami asrama tiga tingkat yang terletak kira-kira 50 meter dari menara menempatkan tangki air berkenaan, selain hampir 40 pelajar lelaki yang difahamkan sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.

Menceritakan detik sebelum kejadian itu, Redzuan yang juga pengawal keselamatan di sekolah berkenaan berkata, ketika kejadian, dia sedang berada di pondok pengawal, beberapa meter dari menara tangki air terbabit.

Menurutnya, sebaik mendengar bunyi letupan, dia terus bergegas keluar untuk meninjau apa yang berlaku sebelum melihat air mencurah-curah keluar dari tangki yang pecah itu.

“Mula-mula saya terkejut juga, ingat apa yang meletup.

Rupa-rupanya tangki air pecah, nasib baik tiada pelajar yang cedera,” katanya.

Usaha Sinar Harian untuk mendapat ulasan pihak pengurusan sekolah bagaimanapun gagal apabila pengetua sekolah berkenaan tidak menjawab panggilan yang dibuat.

Kejadian itu merupakan tragedi runtuhan yang pertama sejak sekolah berkenaan beroperasi lebih lima tahun lalu.

Akibat kejadian itu, sebahagian besar penghuni asrama lelaki dan perempuan juga difahamkan terpaksa pulang ke rumah masing-masing kerana menghadapi masalah gangguan air.

Murid hilang ditemui selamat – Sinar Harian


Murid hilang ditemui selamat

ROSDALILAH ZAHARI
3 Mei 2012
Murid hilang ditemui selamat
Muhammad dicium bapanya, Zahar dan ibunya, Sharifah tanda gembira apabila anak mereka pulang semula ke rumah

IPOH – “Syukur anak kami selamat,” luah Zahar Ahmad, 37, bapa kepada Muhammad Norman Zahar yang dilaporkan hilang, Ahad lalu.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan, pulang ke rumah rakan sekolahnya itu di Kampung Manjoi, di sini tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada ibu dan bapanya.

Akibat insiden tersebut, emosi ibu kanak-kanak tersebut, Sharifah Mustafa, 35, turut terganggu kerana mefikirkan nasib anaknya itu.

Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan St Michael itu dilaporkan hilang selepas selesai program perkhemahan badan beruniform anjuran sekolahnya pada hari yang sama.

Zahar berkata, dia dan isteri sangat gembira apabila dimaklumkan anaknya berada dalam keadaan selamat selepas empat hari berjauhan.

“Mula-mula kami bimbang jika kemungkinan dia diculik. Lantas dengan segera kami memaklumkan kepada saudara mara dan rakan-rakan mengenai perkara tersebut.

“Lebih mengejutkan apabila salah seorang saudara saya memberitahu dia terserempak dengan anak saya dalam sebuah kereta dua hari lalu.

“Kerana takut anak saya diapa-apakan, saya segera membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada malam kejadian,” katanya ketika ditemui dirumahnya, semalam.

Menurutnya, dia mengenali rakan sekolah anaknya itu kerana sering melihat mereka berdua bersama terutama ketika mengambilnya dari sekolah setiap hari.

Tambahnya, dia sekeluarga juga membuat keputusan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap keluarga rakan anaknya itu memandangkan anaknya sudah ditemui dalam keadaan selamat.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Muhammad Norman hilang selepas selesai menghadiri perkhemahan pasukan beruniform sekolahnya pada 29 April lalu.

Kes keracunan makanan bazar Ramadan bukan disebabkan kolera – Bernama


Kes keracunan makanan bazar Ramadan bukan disebabkan kolera

10/08/2011 8:44pm

KLANG 10 Ogos – Jabatan Kesihatan Selangor mengesahkan kes keracunan makanan yang dialami dua keluarga yang dipercayai berpunca daripada juadah berbuka puasa di sebuah Bazar Ramadan di kawasan Meru dekat sini, bukan akibat wabak kolera.

Pengarahnya Azman Abu Bakar berkata, pihaknya telah mengambil sampel najis daripada kesemua mangsa keluarga terbabit untuk dianalisis dan keputusan mendapati ia negatif kolera ataupun taun.

“Mula-mula kita syak taun atau pun kolera dan keputusan sampel analisis mendapati (kes keracunan makanan) bukan disebabkan wabak kolera,” katanya.

Akhbar melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun meninggal dunia Isnin lepas setelah muntah dan cirit-birit dan keluarganya pula dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom yang sama, dipercayai setelah menikmati juadah berbuka puasa seperti otak-otak serta air batu campur di sebuah bazar Ramadan di kawasan Meru. – Bernama