Murid dakwa diketuk guru – Utusan Malaysia


Murid dakwa diketuk guru

 

JAMALIAH Maani melihat kesan ketukan di kepala anaknya, Nur Umi Aishah di Butterworth, semalam.

 


BUTTERWORTH 28 Mac – Kebiasaannya Nur Umi Aishah Ismail menjadi orang yang paling awal bangun dari tidur sebelum mengejutkan ibunya supaya menghantarnya ke sekolah.

Namun hari ini, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kuala Perai itu berubah sikap dan sekadar menggeleng-gelengkan kepala apabila dikejutkan oleh ibunya, Jamaliah Maani, 49.

Semuanya gara-gara trauma yang dihadapi kanak-kanak itu yang mendakwa ditumbuk lima kali di kepala oleh seorang guru lelaki Jumaat lalu hanya kerana gagal menjawab soalan Matematik dengan betul.

Tidak cukup dengan itu, anak sulung daripada dua beradik itu mendakwa, guru terbabit turut menarik telinganya sehingga menyebabkan dia hampir terjatuh dari kerusi.

“Selalunya, kalau salah tulis jawapan, cikgu hanya rotan tangan tapi kali ini dia ketuk kepala hingga saya rasa hampir pitam dan penglihatan jadi berpinar-pinar.

“Mula-mula tak nak menangis tapi ketika saya padam (jawapan) yang salah, cikgu tarik telinga pula sehingga saya hampir jatuh dari kerusi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bagan Dalam, di sini hari ini.

Nur Umi Aishah memberitahu, ketika kejadian dia berasa sangat takut bercampur malu memandangkan insiden itu disaksikan semua 25 rakan sekelasnya.

Sementara itu Jamaliah berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan tetapi guru lelaki tersebut bergegas menaiki motosikalnya ketika cuba dihampiri sebaik sahaja sesi persekolahan tamat.

Jamaliah berkata, tidak berpuas hati dengan sikap guru berkenaan seolah-olah melarikan diri daripada masalah, dia kemudiannya berjumpa dengan pengetua sekolah tersebut dan dimaklumkan bahawa perkara itu akan disiasat terlebih dahulu.

Jamaliah memberitahu, dia bersama suaminya, Ismail Abdillah, 60, membuat laporan di Balai Polis Butterworth pada hari kejadian supaya guru berkenaan disiasat dan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi mengesahkan laporan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut memandangkan kes itu masih di peringkat awal siasatan.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Abu Bakar Muaz ketika dihubungi memberitahu, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.