Murid hilang ditemui selamat – Sinar Harian


Murid hilang ditemui selamat

ROSDALILAH ZAHARI
3 Mei 2012
Murid hilang ditemui selamat
Muhammad dicium bapanya, Zahar dan ibunya, Sharifah tanda gembira apabila anak mereka pulang semula ke rumah

IPOH – “Syukur anak kami selamat,” luah Zahar Ahmad, 37, bapa kepada Muhammad Norman Zahar yang dilaporkan hilang, Ahad lalu.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan, pulang ke rumah rakan sekolahnya itu di Kampung Manjoi, di sini tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada ibu dan bapanya.

Akibat insiden tersebut, emosi ibu kanak-kanak tersebut, Sharifah Mustafa, 35, turut terganggu kerana mefikirkan nasib anaknya itu.

Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan St Michael itu dilaporkan hilang selepas selesai program perkhemahan badan beruniform anjuran sekolahnya pada hari yang sama.

Zahar berkata, dia dan isteri sangat gembira apabila dimaklumkan anaknya berada dalam keadaan selamat selepas empat hari berjauhan.

“Mula-mula kami bimbang jika kemungkinan dia diculik. Lantas dengan segera kami memaklumkan kepada saudara mara dan rakan-rakan mengenai perkara tersebut.

“Lebih mengejutkan apabila salah seorang saudara saya memberitahu dia terserempak dengan anak saya dalam sebuah kereta dua hari lalu.

“Kerana takut anak saya diapa-apakan, saya segera membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada malam kejadian,” katanya ketika ditemui dirumahnya, semalam.

Menurutnya, dia mengenali rakan sekolah anaknya itu kerana sering melihat mereka berdua bersama terutama ketika mengambilnya dari sekolah setiap hari.

Tambahnya, dia sekeluarga juga membuat keputusan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap keluarga rakan anaknya itu memandangkan anaknya sudah ditemui dalam keadaan selamat.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Muhammad Norman hilang selepas selesai menghadiri perkhemahan pasukan beruniform sekolahnya pada 29 April lalu.