Murid istimewa dapat e-book – Sinar Harian


Murid istimewa dapat e-book

NURUL HUDA HUSAIN
16 April 2012

KUALA TERENGGANU – Biarpun sukar untuk menafsir apa yang terbayang dihati seramai tujuh murid tahun empat dari Sekolah Pendidikan Khas, Chendering, yang menerima pemberian e-book yang disampaikan sendiri, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, tetapi apa yang nyata mereka begitu gembira.

Tiada siapa di dunia ini yang ingin dilahirkan tidak sempurna namun bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri membuktikan golongan ini tidak pernah dipinggirkan.

Senyum lebar yang terukir pada wajah masing-masing menceritakan segalanya biarpun tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Tujuh murid ini mempunyai masalah pendenga-ran, bisu dan cacat penglihatan turut dirai pada Majlis Penyampaian E-Book Dun Batu Burok yang berlangsung di Stadium Negeri, di sini.

Salah seorang murid berkenaan, Mohd Akashah Alias, 10, membuktikan bahawa kekurangan yang dialaminya itu tidak menjadi halangan baginya untuk menunjukkan kemahiran guna e-book.

Malah, dia bersama rakan lain begitu teruja untuk menerokai ‘dunia’ baru dalam pendidikan, sekali gus membuktikan bahawa golongan istimewa sepertinya juga mampu belajar seperti rakan sebaya normal yang lain.

Pada majlis tersebut seramai 770 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering (85), SK Gong Tok Nasek (94), SK Seri Budiman 2, (97), SK Kubang Ikan (132), SK Pusat Kuala Ibai (161) dan SK Seri Budiman (192) menerima kemudahan berkenaan.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya juga turut mengingatkan ibu bapa untuk memastikan bateri e-book dicaj dengan sebaiknya agar kanak-kanak terbabit dapat mengikuti pembelajaran tanpa gangguan.