Murid OKU tetap tabah – Utusan


Murid OKU tetap tabah

Murid cacat penglihatan dari Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota, Muhammad Haziq Azmi menggunakan kamera litar tertutup khas bagi membaca soalan peperiksaan ketika menduduki UPSR di Kuantan, semalam. – bernama

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Bergelar orang kurang upaya (OKU) tidak menjejaskan semangat calon-calon dari sekolah pendidikan khas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas sekitar ibu negara mendapati murid-murid yang cacat penglihatan dan pendengaran serta bermasalah dalam pelajaran yang merupakan sebahagian daripada 497,491 calon UPSR tahun ini tenang menduduki peperiksaan.

Murid Sekolah Kebangsaan Khas Kampung Baru, Nur Kamila Rahayu Mohd. Radzi, 14, (gambar) yang bermasalah pendengaran dan percakapan berkata, dia tidak gementar menghadapi peperiksaan itu kerana yakin dengan persediaan yang dibuat sebelum ini.

“Saya membahagikan masa mengulang kaji pelajaran, menonton televisyen dan bermain setiap hari. Pada waktu petang, saya akan bermain dan menonton televisyen manakala mengulang kaji pelajaran dan membuat latihan pada waktu malam,” katanya.

Nur Kamila ketika ditemui Utusan Malaysia berkomunikasi melalui bahasa isyarat yang diterjemahkan oleh seorang guru sekolah berkenaan.

Anak kedua daripada lima beradik itu berharap memperoleh 5A untuk mengejar cita-cita menjadi seorang guru.

Guru Besar sekolah itu, Salim Napiah ketika ditemui berkata, calon-calon diberi kelas tambahan dan motivasi sebagai persediaan menghadapi peperiksaan itu.

“Mereka juga mempunyai semangat dan harapan untuk berjaya serta mendapat tempat dalam masyarakat. Golongan ini agak sensitif. Mereka perlu diberi tunjuk ajar dengan kaedah khusus bagi membolehkan menerima pelajaran serta terus bersemangat.

“Jika diberi tunjuk ajar dan persiapan yang secukupnya dengan kaedah yang betul, mereka pasti dapat menguasai pelajaran,” katanya.

Menurutnya, walaupun terdapat sesetengah murid berkenaan bermasalah dalam akademik, tetapi mereka dididik untuk menguasai kemahiran bagi membolehkan mendapat tempat sewajarnya dalam masyarakat.

Sementara itu, ibu kepada seorang calon dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Peel, Maimunah Abdullah, 47, berkata, dia bangga dengan usaha dan keprihatinan guru-guru sekolah pendidikan khas yang sabar dalam mendidik kanak-kanak kurang upaya.

“Mengajar murid kurang upaya perlu kesabaran kerana mereka sukar untuk menerima dan mengingati sesuatu mata pelajaran. Mereka perlu diberi perhatian dan kasih sayang yang lebih untuk mendorong mereka terus belajar,” katanya.

Dia berharap anaknya, Meor Shamil Meor Razi, 14, berjaya dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan itu.

Sementara itu di PULAU PINANG, seorang murid Sekolah Kebangsaan Balik Pulau, Ahmad Khalil Khusairi Fazli yang dirawat di kepala akibat kecederaan kerana kemalangan mengambil UPSR di Hospital Pantai Bayan Baru.