Jari tersepit pada tombol pintu, murid tahun tiga kesakitan 3 jam – Bernama


Jari tersepit pada tombol pintu, murid tahun tiga kesakitan 3 jam

7 Oktober 2012

MELAKA – Seorang murid tahun tiga terpaksa menanggung kesakitan hampir tiga jam apabila jari tangannya tersepit pada tombol pintu bilik rumahnya di Ujong Pasir di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 pagi itu, Muhd Danish Abbasi Mokhtar, 9, dipercayai bermain tombol pintu bilik kakaknya yang telah rosak sebelum tombol itu tertanggal dari pintu.

Muhd Danish kemudian bermain dengan tombol itu dengan memasuk dan mengeluarkan jarinya berulang kali sebelum jari hantu kirinya tersepit.

Mangsa yang takut dimarahi ibunya kemudian pergi ke bilik air dan cuba mengeluarkan jarinya dengan membasahkannya, namun usaha itu tidak berhasil sebelum dia memberitahu ibunya mengenai kejadian itu.

Sharifah Nazahatul Akmal Syed Abu Bakar, 38, berkata beliau terkejut dan panik dan cuba mengeluarkan tombol itu dari jari anak bongsunya selama kira-kira satu jam namun gagal.

Katanya beliau terfikir untuk membawa anaknya itu ke hospital namun memberikannya makan terlebih dahulu.

Pada masa sama katanya dia menghubungi rakannya yang kemudian membantu menghubungi pihak bomba.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Hashim Kaus berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.23 petang sebelum tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian bersama tujuh anggota.

“Percubaan mengeluarkan jari mangsa menggunakan minyak tidak berhasil kerana kanak-kanak itu dalam keadaan meronta-meronta akibat ketakutan.

“Kita terpaksa menenangkan kanak-kanak ini dalam tempoh yang agak lama…dan dia sentiasa membengkokkan jarinya apabila hendak ditarik keluar,” katanya.

Beliau berkata pihaknya terpaksa menggunakan alat khas pemotong cincin untuk memotong tombol berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan jari mangsa yang sudahpun bengkak pada 2.30 petang. – Bernama