Guru pusat tuisyen minta maaf – Kosmo


Guru pusat tuisyen minta maaf
Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

LIM LEE YEE (kiri) dan Chong Yong tampil meminta maaf kepada umat Islam sambil diperhatikan oleh Mohd. Noor di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Guru dan pengusaha pusat tuisyen di Tangkak, Muar yang menimbulkan kontroversi apabila memaparkan karikatur menghina para sahabat Nabi Muhammad S.A.W. dalam nota ringkas yang diedarkan kepada pelajar baru-baru ini tampil memohon maaf secara terbuka semalam.

Ku Chong Yoong, 22, yang merupakan guru dan individu yang bertanggungjawab menyediakan bahan tersebut serta pengusaha pusat tuisyen Indah Permai Jaya, Lim Lee Yee, 26, mengaku tidak berniat untuk menyentuh sensiviti umat Islam apatah lagi menghina sahabat Nabi.

“Saya kesal perkara ini berlaku. Niat saya hanya ingin membantu pelajar agar lebih mudah faham dan saya tidak berniat untuk menyentuh isu sensitif orang Islam.

“Di sini, saya dengan ikhlas ingin memohon maaf kepada semua umat Islam di Malaysia khususnya di Tangkak serta di seluruh dunia. Saya mengaku, tindakan saya ini kurang matang dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata Chong Yoong yang sudah dua tahun mengajar di pusat tuisyen terbabit.

Sementara itu, Lee Yee pula mengaku tidak tahu mengenai bahan yang disediakan tenaga pengajarnya sehinggalah isu terbabit disiarkan di akhbar.

“Selepas ini, saya janji akan lebih berhati-hati dan memantau bahan-bahan yang digunakan oleh guru tuisyen untuk mengajar. Kami juga telah meminta balik semua nota tersebut daripada pelajar dan telah menerangkan hal sebenar kepada mereka,” katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kurang ajar! – Metro


Kurang ajar!
Laporan dan foto FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS
asmaini@nstp.com.my

TANGKAK: Kurang ajar dan tidak menghormati sensitiviti agama! Itulah dilakukan pengurusan sebuah pusat tuisyen di sini, apabila menggunakan pelbagai karikatur menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam nota ringkas subjek Sejarah yang diajar kepada pelajarnya.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, dalam nota itu ada 16 sahabat nabi yang disamakan dengan karikatur dan mencerminkan perwatakan tidak baik.
Katanya, nota tingkatan empat, bab lima, Kerajaan Islam di Madinah memaparkan karikatur 16 sahabat nabi dan paling menyedihkan, watak Zubir Al-Awwam disamakan dengan haiwan berwajah khinzir.

“Lebih biadab apabila menantu Rasulullah iaitu Saidina Uthman Affan dihina dengan karikatur dan digambarkan sebagai lelaki kaki perempuan serta menghina institusi perkahwinan umat Islam.
“Gambaran dilakukan guru sejarah pusat tuisyen itu boleh menimbulkan kemarahan orang Islam kerana rasa terhina atas perbuatan yang dianggap melampaui batas itu.
“Zubir Al-Awwam antara 10 sahabat nabi yang dijamin masuk syurga dan pengiktirafan itu menggambarkan kedudukan tinggi Zubir Al-Awwan di sisi Allah.

“Jadi, adalah tidak wajar sahabat nabi itu digambarkan dengan karikatur haiwan haram berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Agama Daerah, di sini, semalam.
Menurutnya, pejabatnya menerima aduan berbentuk nota yang diserahkan oleh seorang lelaki pada 4 Julai lalu.

Katanya, nota itu ditemui di tepi longkang sebuah sekolah menengah di Tangkak oleh pelajar sekolah itu.
“Ia kemudian diserahkan kepada guru agama sekolah berkenaan sebelum diserahkan kepada anggota kami.
“Berikutan penemuan itu, kami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang pada 26 Julai lalu dan mahu polis mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Selain itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas.
Katanya, sebagai pusat tuisyen yang bertanggungjawab, pengurusan premis itu perlu meminta maaf secara terbuka kerana perbuatan itu menyinggung umat Islam negara ini.
“Kami bimbang perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang mempermainkan agama Islam menjadi serius.
“Ini nota yang kita jumpa, yang kita tidak jumpa mungkin lebih teruk lagi. Mungkin mereka melukis karikatur yang lebih teruk.
“Secara peribadi, saya sedih dan marah kerana tindakan menghina sahabat nabi sama seperti menghina Rasulullah.
“Ini kerana mereka (sahabat nabi) adalah pejuang Islam yang mendapat gelaran Radhiallahu ‘anhu yang dijamin syurga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.