PM lancar Hospital Pakar Kanak-kanak Permata – Bernama


PM lancar Hospital Pakar Kanak-kanak Permata

 

NAJIB Razak (tengah) diberikan taklimat mengenai projek Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata oleh Pengerusi Badan Petugas Penubuhan HPKKP, Professor Datuk Dr A Rahman A Jamal (kanan) pada majlis pelancaran projek itu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini. Hadir sama Rosmah Mansor dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Datuk Prof. Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. – UTUSAN

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan projek Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata yang pertama di negara ini di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras.

Hospital moden dan berteknologi tinggi bernilai RM606 juta yang dijangka siap pada 2017 itu akan secara komprehensif memberi fokus kepada disiplin pediatrik atau kesihatan kanak-kanak.

Najib berkata pelbagai bidang perawatan ditawarkan termasuk surgeri laparoskopik yang minimum invasi, perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraksik, implan koklear, pemindahan sumsum tulang, perkembangan kanak-kanak, genomik pediatrik dan endokrinologi pediatrik.

Katanya pembinaan hospital itu, dan sebuah lagi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang sedang dibina di Hospital Kuala Lumpur, menandakan bahawa bidang kesihatan negara sememangnya berada pada landasan yang betul untuk memasuki liga negara maju.

“Ciri-ciri mesra kanak-kanak dan ibu bapa diberi keutamaan dalam pembinaan Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata ini, memberikan suasana yang dapat mengurangkan tekanan, keresahan dan kesakitan yang dialami kanak-kanak,” katanya ketika berucap melancarkan projek pembinaan hospital itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung Permata Negara. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130823/dn_30/PM-lancar-Hospital-Pakar-Kanak-kanak-Permata#ixzz2cnT09uxy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pakar pendidikan temui jawapan pelajar lelaki lemah dalam SPM – Utusan


Pakar pendidikan temui jawapan pelajar lelaki lemah dalam SPM

KUALA LUMPUR 29 Mac – Prestasi pelajar lelaki dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang semakin menurun sejak 15 tahun lalu dipercayai berpunca daripada bentuk soalan peperiksaan itu yang memihak kepada pelajar perempuan.

Profesor di Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Dr. Siti Rahayah Arifin berkata, kajian pihaknya mendapati, soalan SPM ketika ini lebih menjurus kepada kemahiran menulis, teks dan linguistik sekali gus memberi kelebihan kepada pelajar perempuan.

Sebaliknya, kata beliau, pelajar lelaki lebih menguasai soalan berkaitan angka, grafik, visual, logik, matematik dan penaakulan aras tinggi iaitu elemen yang tidak ditekankan dalam SPM.

Sehubungan itu, tambahnya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menggantikan pendekatan Teori Ujian Klasik (CTT) dalam peperiksaan SPM ketika ini dengan teori yang dibangunkannya, Teori Tret Pendam (IRT).

“Menerusi IRT itu, soalan peperiksaan SPM akan direka berdasarkan kemampuan dan kemahiran pelajar lelaki dan perempuan mengambil kira perbezaan pengetahuan kedua-dua golongan berkenaan,” katanya ketika berucap dalam program Syarahan Perdana Profesor Ke Arah Kesaksamaan Penilaian dan Pendidikan di sini hari ini.

Program di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut dihadiri Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan dan Pengarah Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Madya Dr. Noriah Mohd. Ishak.

Sementara itu, peserta forum, Nita Salina Abu Bakar, 35, berkata, modul pembelajaran sekarang perlu diubah supaya tidak hanya tertumpu kepada akademik tetapi turut mengetengahkan aspek kemahiran.

Katanya, perkara itu bagi memastikan kemampuan pelajar tidak hanya diukur daripada keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama seperti SPM sebaliknya dinilai berdasarkan kemahiran dimiliki.

“Corak peperiksaan yang berat sebelah memberi peluang kepada pelajar perempuan mendapat keputusan lebih baik berbanding pelajar lelaki dan ini sudah semestinya tidak adil kepada pelajar lelaki,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130330/dn_21/Pakar-pendidikan-temui-jawapan-pelajar-lelaki-lemah-dalam-SPM#ixzz2P2TKui6V
© Utusan Melayu (M) Bhd

Memperkasa sistem pendidikan – Utusan


Memperkasa sistem pendidikan

Zukkefli Hamzah

NAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor menyaksikan MoU antara Ellis Rubinstein (kanan) dengan Naib Canselor UKM, Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (dua dari kiri) selepas mesyuarat kedua GSIAC di Akademi Sains New York (NYAS), New York, semalam. Turut sama, Khaled Nordin (tiga dari kiri) dan Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis. – BERNAMA

NEW YORK 17 Mei – Malaysia bakal menyaksikan satu perubahan besar dalam sistem pendidikan negara melalui program ‘daripada buaian sehingga kerjaya’ termasuk melahirkan pemenang Hadiah Nobel apabila termeterainya lima memorandum persefahaman (MoU) dengan institusi penyelidikan dan pendidikan di New York.

Program itu yang kini dilaksanakan di 27 buah negeri Amerika Syarikat (AS) dan telah berjaya meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar dari peringkat sekolah sehingga kolej atau universiti diperkenalkan oleh Canselor State University of New York (SUNY), Dr. Nancy Zimpher.

Kerjasama strategik kerajaan Malaysia dengan universiti dan pusat penyelidikan di New York untuk program ini terbahagi kepada tiga komponen iaitu membangunkan modal insan inovatif, memberi fokus kepada penyelidikan dan membawa penyelidikan kepada pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyaksikan pertukaran dokumen lima MoU itu pada mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di Akademi Sains New York (NYAS) di sini, yakin kerjasama strategik itu bakal mencetuskan pencapaian yang lebih besar dalam bidang pembangunan, penyelidikan dan inovasi dalam usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Menurutnya, MoU pertama ialah antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan NYAS untuk membangunkan program Hadiah Nobel melalui projek Permata Pintar UKM yang bakal menyaksikan pelajar didedahkan dengan set kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Dengan MoU yang kita telah tandatangani antara UKM dan NYAS ini kita boleh gunakan kepakaran mereka untuk bangunkan kurikulum dan ubahsuai Permata Pintar. Ini satu inisiatif yang beri tumpuan kepada pelajar yang mempunyai IQ tinggi supaya pencapaian mereka dapat dtingkatkan lagi,” kata Najib kepada wartawan Malaysia di sini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyaksikan pertukaran dokumen MoU ini iaitu antara Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif NYAS, Dr. Ellis Rubinstein.

MoU kedua, jelas Najib ialah kerjasama antara Rangkaian Penyelidikan Universiti Malaysia (MRUN), SUNY dan NYAS antara lain pertukaran pensyarah dan saintis serta penempatan ketua eksekutif syarikat terbitan universiti di institusi berkaitan di New York.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke bandar raya ini menambah, MoU seterusnya ialah mengenai penyelidikan dan pembangunan sumber manusia antara Earth Institute of Columbia University dan Universiti Teknologi Malaysia, selain antara Earth Institute dengan Universiti Sains Malaysia.

Najib berkata, MoU antara Perbadanan Nano Malaysia dengan Pusat Penyelidikan Teknologi Tenaga Lanjutan Stony Brook University, iaitu sebahagian daripada rangkaian SUNY juga dijangka melonjakkan pembangunan teknologi nano negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, mesyuarat GSIAC kali ini turut membincangkan inisiatif membangunkan industri biomas sebagai usaha untuk menjana pendapatan lebih besar untuk negara.

“Kita juga bincang bagaimana teknologi digital boleh digunakan untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar,” katanya.

Mesyuarat GSIAC kata beliau, turut membincangkan beberapa inisiatif termasuk projek Rimbunan Kasih iaitu penggunaan teknologi untuk membangunkan kawasan luar bandar dengan projek perintis telah dilaksanakan di Pahang.

“Kita ambil keputusan akan laksanakan projek sama di setiap negeri di Malaysia dan ini sedang giat dilaksanakan antara kerajaan dan Iris Berhad di bawah konsep kerjasama swasta-kerajaan,” katanya sambil menambah pembangunan Iskandar Malaysia yang boleh meletakkan Malaysia sebagai satu model pembangunan komprehensif dan holistik turut dibincangkan.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pakar-pakar daripada rakan strategik telah membuat lawatan ke Malaysia dan menaruh keyakinan negara mampu melaksanakan program daripada buaian sehingga kerjaya.

Kerjasama strategik di bawah program daripada buaian sehingga kerjaya ini selain untuk mencapai matlamat melahirkan modal insan inovatif, ia juga langkah menjadikan universiti Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa, kata Mohamed Khaled. – UTUSAN

Pelengkap pendidikan – Metro


Pelengkap pendidikan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengiktiraf Program Permata Pintar sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan negara yang ketika ini banyak memberi tumpuan terhadap keperluan pelajar sederhana dan sederhana tinggi.

Katanya, pendekatan program itu yang menyedia kurikulum khas untuk pelajar pintar dan memiliki kelebihan kecerdasan akal tinggi, membolehkan mereka dididik dengan sukatan pelajaran sesuai.
Beliau berkata, ia sekali gus mengelak aliran keluar bakat pintar berkenaan ke luar negara, malah mereka boleh terus mendapat pendidikan sempurna di Malaysia menerusi Permata Pintar.

 

“Sistem pendidikan kita tak ada kurikulum mengambil kira mereka yang mempunyai IQ luar biasa dan jika kita tak dapat menyedia sistem mengikut keperluan kelompok ini, maka potensi mereka takkan dapat dioptimumkan.
“Di peringkat mereka sendiri mungkin akan cepat berasa bosan (dengan pengajaran yang tidak sesuai) atau dihantar ke luar negara kerana tentulah ibu bapa pelajar ini mahu anak mereka berjaya setanding akal luar biasa yang dimiliki.
“Atas sebab itu, kita akan hilang bakat pintar dan negara mengalami kerugian. Tetapi dengan Permata Pintar, mereka yang ada skil luar biasa ini dapat dicanai dan kelebihan diperkasa supaya mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya.

 

 

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Sekolah Permata Pintar, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Hadir sama, isteri beliau yang juga Penaung Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Turut serta Naib Presiden Yayasan Albukhary, Datuk Seri Ismail Yusof dan Pengarah Pusat Permata Pintar, Prof Dr Noriah Mohd Ishak.