Face diharap jadi pusat penyelidikan tingkat kecemerlangan kanak-kanak, remaja – Sinar Harian


Face diharap jadi pusat penyelidikan tingkat kecemerlangan kanak-kanak, remaja

23 Oktober 2012

SERDANG – Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mahu Pusat Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak (Face), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi pusat penyelidikan yang unggul untuk meningkatkan kecemerlangan generasi muda dalam negara.

Beliau berkata Face memainkan peranan penting dalam membangun dan menjalankan penyelidikan secara komprehensif mengenai kanak-kanak, remaja dan keluarga dengan hasil penyelidikan akan diguna sebagai input bagi membantu meningkatkan kecemerlangan golongan itu.

“Anak-anak adalah harta dan warisan paling berharga. Merekalah masa depan kita. Adalah menjadi komitmen kita untuk memberikan aset negara ini segala kelebihan untuk mereka memacu kejayaan dalam hidup kemudian hari. Pelaburan terhadap mereka merupakan pelaburan terhadap masa depan negara.

“Dengan adanya Face, budaya penyelidikan saintifik tentang perkembangan kanak-kanak, remaja dan institusi keluarga dapat menjana ilmu baru dan secara langsung memberi manfaat kepada masyarakat sebagai pusat rujukan serta penggubalan dasar negara,” katanya.

Berucap pada perasmian Face dan Makmal Taska Permata di Fakulti Ekologi Manusia UPM di sini, hari ini, Rosmah berharap Face akan terus berkembang bagi menjamin kesinambungan kualiti generasi muda dan institusi kekeluargaan.

Hadir sama Naib Canselor UPM Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi dan Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM merangkap Penyelaras Pusat Anak Permata Negara UPM Prof Madya Dr Zaid Ahmad.

Pada majlis sama, Rosmah melancarkan dua produk penyelidikan Face iaitu HELP-kids dan Buku Panduan Terapi Bermain.

Rosmah yang juga Penaung Permata berharap Face akan menggunakan hasil penyelidikan terkini untuk memperkayakan proses pengajaran dan pembelajaran kepada pendidik Permata Negara.

“Saya percaya ini adalah satu asas yang penting kepada pembangunan modal insan yang berkualiti dan produktif serta peluang keemasan untuk memupuk potensi besar yang wujud dalam setiap kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Rosmah berkata Permata telah melantik UPM sebagai agensi peneraju bagi Program Latihan Pendidik Permata Negara berikutan kepakaran UPM yang terlibat secara langsung dalam penggubalan kurikulum Permata.

“Sehingga kini, seramai 1,711 tenaga pendidik telah mengikuti Kursus Pendidik Permata Negara dan 582 peserta lagi dilatih menerusi kursus Orientasi, Kursus Refresher Pendidik, Bengkel Pengurusan S.O.P dan bengkel Pengurusan Murid.

“Pada hujung tahun ini, UPM akan melatih 200 jurulatih Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak sebagai persediaan penggunaan kurikulum Permata Negara sepenuhnya pada tahun 2013,” katanya. – B