Guru, Naib Presiden MAYC terima Anugerah Belia Negara 2012
PUTRAJAYA 24 Mei – Guru Sekolah Kebangsaan Pulau Indah, Mohd. Zuraidi Komari dan Naib Presiden Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC), Haryati Hamdzah dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara pada tahun ini.
Pengiktirafan tersebut atas usaha dan kesungguhan mereka membangunkan program-program belia di peringkat negara dan negeri.
Anak jati Selangor dan Melaka itu akan menerima wang tunai RM20,000 serta sijil yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu ini sempena Himpunan Jutaan Belia di sini.
Pengumuman nama penerima anugerah itu dibuat oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Gan Ping Sieu.
Kategori Perdana Pertubuhan Belia pula dinobatkan kepada Pertubuhan Belia Chekas, Kampung Peruas, Raub, Pahang berikutan kejayaannya melaksanakan pelbagai aktiviti yang mempunyai kesan besar kepada masyarakat serta mempunyai aset tetap sebanyak RM230,259.
Persatuan tersebut menerima wang tunai RM50,000 dan sijil.
Dalam pada itu, kategori Pencapaian Luar Biasa dan 1Belia 1Malaysia disandang oleh Presiden Kelab Belia Tamil Malaysia, Murali Kuppan dan Exco MBM, Leong Fang Hui dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sijil.
Kategori Pencapaian Luar Biasa pula diberikan kepada pelari solo wanita negara, Suwaibah Muhammad Nasir di atas kejayaannya mengharumkan nama negara di persada dunia selepas berjaya menamatkan larian merentas Gurun Sahara sejauh 1,111 kilometer, baru-baru ini.
Mohamed Maliki ketika mengulas lanjut penganugerahan tersebut berkata, pemilihan dan penilaian terhadap pemenang tersebut dibuat secara telus oleh Panel Penilai Anugerah yang dilantik oleh Jawatankuasa Induk Anugerah Belia Negara.
Katanya, panel tersebut membuat penilaian berdasarkan peranan dan aktiviti dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan menerusi temuduga serta tugasan yang diberikan.