Tuisyen anak dikecualikan cukai – Berita Harian


Tuisyen anak dikecualikan cukai

Tuisyen anak dikecualikan cukaiMuhyiddin menyampaikan anugerah khas ‘Life At Work Award’ kepada Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat Nestle, Zainun Abdul Rauf (dua dari kiri) turut bersama isteri, Norainee (kanan) dan Rohani (kiri) pada sidang Kemuncak Wanita 2013 di Kuala Lumpur. – Foto Abdullah Yusof

Cadangan akan dikemuka untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2014: TPM

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mempertimbangkan pelepasan cukai pendapatan kepada ibu bapa yang menghantar anak ke kelas tuisyen dan sekolah swasta.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertimbangan sama akan diberikan kepada ibu bapa yang mengambil inisiatif menyambung pengajian di pelbagai peringkat.

Timbalan Perdana Menteri akan mengemukakan cadangan yang disyorkan peserta Sidang Kemuncak Wanita 2013 semalam untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan yang kini dalam proses mendapatkan maklum balas rakyat untuk merangka Bajet 2014.

Ikuti penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital dihttp://subscription.nstp.com.my/

Gesa selaras bonus penjawat awam – Metro


Gesa selaras bonus penjawat awam

2013/07/26 – 06:07:19 AMCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: CUEPACS menyarankan kerajaan negeri menyelaraskan pemberian bonus antara penjawat awam negeri dan Persekutuan yang bertugas di negeri berkenaan bagi mengelak ketidakadilan berlaku dalam pentadbiran di peringkat negeri.

Presidennya, Datuk Omar Osman, menyifatkan tindakan kerajaan negeri memberi bonus lebih tinggi atau bonus tambahan kepada penjawat awam negeri berbanding kadar bonus diumumkan Kerajaan Persekutuan sebagai tidak harmoni serta pilih kasih.

Katanya, bayaran bonus yang menggunakan wang rakyat termasuk wang pembayar cukai perlu diagihkan berdasarkan konsep kesamarataan antara penjawat awam negeri dan Persekutuan.

CUEPACS tidak membantah jika ada kerajaan negeri yang berhasrat memberi bonus lebih tinggi berdasarkan peningkatan hasil negeri kerana ia mampu menjadi motivasi kepada penjawat awam, tetapi pemberian itu seharusnya tidak dilakukan secara pilih kasih antara penjawat awam negeri dan Persekutuan,” Datuk Omar Osman, Presiden CUEPACS

“Kerajaan negeri seharusnya menghargai dan mengiktiraf peranan penjawat awam persekutuan di peringkat negeri,” katanya kepada BH.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka dan bantuan itu akan dibayar pada 31 Julai ini membabitkan peruntukan kewangan RM835 juta.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengumumkan bonus sebulan gaji kepada 21,776 penjawat awam negeri itu sempena Aidilfitri tahun ini.
Selangor peruntuk RM30j

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM30 juta dan bonus akan dibayar selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Omar berkata, tindakan membeza-bezakan penjawat awam negeri dan Persekutuan akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan negeri, sekali gus mewujudkan suasana tidak sihat dalam pentadbiran kerajaan di peringkat negeri.

Jangan pilih kasih

“CUEPACS tidak membantah jika ada kerajaan negeri yang berhasrat memberi bonus lebih tinggi berdasarkan peningkatan hasil negeri kerana ia mampu menjadi motivasi kepada penjawat awam, tetapi pemberian itu seharusnya tidak dilakukan secara pilih kasih antara penjawat awam negeri dan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS yakin kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap empat tuntutan yang diputuskan dalam Majlis Kongres bulan lalu, termasuk tuntutan bonus dua bulan setengah yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, 9 Julai lalu.

Najib umum bayaran bantuan khas kewangan kepada penjawat awam, pesara – Bernama


Najib umum bayaran bantuan khas kewangan kepada penjawat awam, pesara

2013/07/24 – 18:45:52 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam Gred 1 hingga 54, RM250 kepada pesara. Bayaran dibuat pada 31 Julai ini. – Bernama

Perempuan lebih berazam – Metro


Perempuan lebih berazam

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak membayangkan pelajar perempuan yang bersekolah di negara ini lebih cenderung melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Perdana Menteri berkata, situasi itu berbeza dengan rakan lelaki mereka yang belajar dalam kelas sama kurang berminat ke universiti.
Kerana itu, tidak menjadi kehairanan ketika ini di seluruh universiti di seluruh negara nisbah pelajar wanita lebih ramai berbanding lelaki.

 

Perdana Menteri berkata, keadaan itu membuktikan kaum hawa di Malaysia berada di hadapan berbanding kaum adam.
“Seorang gadis di sekolah di Malaysia hari ini adalah lebih cenderung ke universiti berbanding rakan sekelas lelakinya. Satu langkah ke hadapan untuk wanita Malaysia,” katanya dalam tweet terbarunya semalam.
Kelmarin dalam entrinya bertajuk Wanita Adalah Nadi Masyarakat di blog 1malaysia.com.my, Najib berkata, 65 peratus pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat institusi pengajian tinggi di negara ini adalah wanita.

 

Katanya, masa depan Malaysia terjamin sekiranya hak wanita dipelihara. Menurutnya, wanita berhak mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan terbaik, pendidikan serta peluang pekerjaan.
Berkaitan kadar kematian ibu semasa bersalin di negara ini, ujar beliau, ia antara terendah di rantau ini iaitu 29 pada setiap 100,000 kelahiran berbanding 540 pada setiap 100,000 kelahiran selepas kemerdekaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Muhyiddin jumpa ketua bahagian Kementerian Pelajaran – Bernama


Muhyiddin jumpa ketua bahagian Kementerian Pelajaran

2013/05/21 – 12:32:54 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan perjumpaan khas dengan ketua-ketua bahagian Kementerian Pelajaran di Kompleks E di sini, hari ini.

Ketibaan belaiu disambut Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pelajaran I dan II, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P Kamalanathan.

Muhyiddin turut mengetip kad perakam waktu pada hari pertama memulakan tugas sebagai Menteri Pelajaran selepas kabinet baru diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

Ia adalah penggal kedua Muhyiddin memegang jawatan Menteri Pelajaran.
Terdahulu, Idris, Yap dan Kamalanathan juga memulakan tugas dan mengetip kad perakam waktu secara rasmi di Kementerian Pelajaran di Presint 5 pada pukul 9 pagi.

Ketibaan mereka disambut pegawai dan kakitangan kementerian.

Sejurus tiba, Idris turut menunaikan solat hajat di pejabat kementerian tersebut. – BERNAMA

Gaji mati kakitangan awam tinggal sejarah – KSN – Bernama


Gaji mati kakitangan awam tinggal sejarah – KSN

2013/05/02 – 21:42:53 PMCetakEmel Kawan
MUAR: Gaji maksimum atau gaji mati penjawat awam disifatkan tinggal sebagai sejarah selepas kerajaan memperkenal Sistem Saraan Transformatif baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata kini tiada lagi gaji maksimum untuk penjawat awam selepas kerajaan memperkenal pergerakan gaji khas tiga peratus setiap tahun.

“Kalau gaji sudah sampai mata akhir, setiap tahun akan dapat kenaikan tiga peratus sampai pencen. Dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, gaji penjawat awam juga akan meningkat mengikut kadar pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Guru Muda 1Malaysia Daerah Muar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota di sini hari ini.

Beliau berkata, ini adalah penambahbaikan kerana sebelum ini penjawat awam yang sudah sampai ke tahap gaji maksimum hanya boleh menikmati pertambahan gaji apabila dinaikkan pangkat.

“Sedangkan dalam sistem piramid, tidak banyak jawatan untuk kenaikan pangkat,” katanya.

Berita baik itu adalah antara inisiatif Sistem Saraan Transformatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 11 Mac lalu, yang turut menghadiahkan penjawat awam satu kenaikan gaji tahunan pada 1 Julai ini. – BERNAMA

Kerajaan akan lancar Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia – Bernama


Kerajaan akan lancar Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia

2013/04/09 – 14:50:40 PMCetakEmel Kawan
JOHOR BAHRU: Kerajaan akan melancarkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) tidak lama lagi yang menyediakan rumah mampu milik kepada penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata perumahan itu akan dibina di atas tanah kerajaan dan ditawarkan pada harga antara 20 dan 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

“Sebagai projek perintis, sebanyak 10,000 unit kediaman berkenaan akan dibina di Putrajaya dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi.

“Kita juga akan mencari tanah milik kerajaan yang sesuai di bandar besar lain, termasuk di Johor Baharu untuk tujuan berkenaan,” katanya pada Perjumpaan Bersama Penjawat Awam di Johor di Pusat Islam, di sini hari ini.

Katanya, PPA1M bertujuan membantu penjawat awam membeli rumah di bandar besar yang pada masa kini berada di luar jangkauan kuasa membeli mereka.

“Harga rumah mampu milik akan ditawarkan dalam lingkungan RM150,000 hingga RM300,000 dengan keluasan antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi serta dilengkapi segala kemudahan asas yang diperlukan,” katanya. – BERNAMA

Bincang tambah baik pendidikan Cina – Metro


Bincang tambah baik pendidikan Cina

 0  1 Google +0  0  0

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melihat cadangan mengiktiraf Sijil Kelayakan Bersepadu (Gabungan Sekolah Menengah Cina) atau UEC bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ini dimaklumkan Perdana Menteri ketika mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di pejabatnya di sini, semalam.

Pengerusinya Dr Yap Tian Sin ketika membacakan kenyataan bersama dikeluarkan Perdana Menteri dan Dong Zong berkata, pertemuan diadakan bagi membincang dan bertukar idea untuk penambahbaikan pendidikan Cina di negara ini.

“Perjumpaan itu menyentuh isu pengiktirafan UEC yang ada hubung kait dengan permohonan memasuki IPTA. Kami juga berbincang mengenai pelajar sekolah aliran Cina yang perlu sekurang-kurangnya kredit bagi Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama UEC sebagai syarat permohonan ke IPTA.
“Kami juga berbincang mengenai pengiktirafan subjek Bahasa Malaysia dalam UEC,” katanya. ketika ditemui media di luar bangunan Perdana Putra di sini.
Dr Yap turut mengakui ia kenyataan bersama pertama dikeluarkan kedua-dua pihak dalam tempoh lebih 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Kerajaan pertimbang BR1M sesi sekolah 2014 – Berita Harian


Kerajaan pertimbang BR1M sesi sekolah 2014

2013/03/24 – 04:47:35 AMCetakEmel Kawan
Rawang: Kerajaan sedia mempertimbangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menjelang sesi persekolahan tahun depan sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan Dewan Rakyat berhubung bajet akan datang.

Daftar awal

“Pemberian BR1M sebelum sesi persekolahan tahun depan dapat meringankan bebanan rakyat terutama keluarga yang mempunyai anak ramai. Bagi tujuan itu, pendaftaran awal perlu dilakukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Terminal Bas Ekspres Rawang, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Gabungan Persatuan Teksi dan Bas Ekspres, Tajudin Daud dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang, Soong Beng Khoon.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan meneruskan pemberian BR1M sebagai inisiatif tahunan.

Dalam perkembangan lain, Siang Chai berkata, pelaburan asing dan domestik di negara ini tidak terjejas berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah, bulan lalu.
“Setakat ini, ekonomi negara tidak terjejas kerana insiden itu hanya membabitkan kawasan kecil dan kini, keadaan semakin baik,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, negara kini mempunyai rizab antarabangsa RM430 bilion sehingga 15 Mac lalu.

Tiada Sebab Penjawat Awam Tukar Kerajaan – Cuepacs – mStar


Tiada Sebab Penjawat Awam Tukar Kerajaan – Cuepacs

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Penjawat awam tidak mempunyai sebab untuk menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana pertukaran itu belum mampu menjanjikan kemajuan dan kestabilan negara, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman.

Omar berkata hampir kesemua tuntutan mereka telah ditunaikan sekaligus membuktikan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa peka dan dekat dengan penjawat awam.

“Tidak ada sebab untuk menukar kerajaan yang sedia ada kepada pihak yang belum tentu dapat menjamin apa-apa.

“Tidak pernah satupun cadangan yang dikemukakan oleh Cuepacs kerajaan tolak. Sebagai contoh ialah tuntutan kenaikkan dua peratus wang pencen kepada pesara penjawat awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Cuepacs bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Cidb di Cheras pada Khamis.

Menurutnya, sokongan hampir 1.4 juta orang penjawat awam dan 500 ribu pesara sentiasa tidak berbelah bagi kepada kerajaan yang dipimpin oleh Najib dan yakin perkara tersebut akan diterjemahkan di peti undi dalam Pilihan Raya 2013 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Saya yakin 1.4 juta penjawat awam bersama dengan hampir 500 ribu pesara Cuepacs akan sentiasa menyokong kerajaan sedia ada.

“Penjawat awam dan Cuepacs adalah tiang seri kepada kerajaan dan yakinlah sokongan mereka akan sentiasa utuh kepada kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga berucap semasa perhimpunan tersebut menggesa penjawat awam supaya memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan.

Beliau berkata kumpulan tersebut juga bertanggungjawab dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan kepada masyarakat serta kunci utama kepada kemajuan dan pembangunan negara.

“Penjawat sektor awam adalah imej kerajaan, jadi mereka haruslah memainkan peranan yang penting dan berkesan terutamanya dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan,” katanya.