PM mahu calon UPSR lakukan yang terbaik – Bernama


PM mahu calon UPSR lakukan yang terbaik

 

KUALA LUMPUR 9 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berharap calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang menduduki peperiksaan itu esok dapat melakukan yang terbaik.

“Kepada adik-adik yang menjalani UPSR esok, semoga berjaya,” kata Perdana Menteri melalui laman Twitter beliau.

“Buat yang terbaik untuk ibu bapa, guru-guru dan terutamanya untuk diri sendiri,” katanya.

Sebanyak 478,848 calon akan menduduki UPSR mulai esok hingga Khamis di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 469,882 adalah pelajar sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 8,966 lagi dari sekolah swasta yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130909/dn_30/PM-mahu-calon-UPSR-lakukan-yang-terbaik#ixzz2eOtKtpJd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements

Sistem pendidikan Malaysia perlukan transformasi – Najib – Bernama


Sistem pendidikan Malaysia perlukan transformasi – Najib

 

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan negara untuk melonjakkan pencapaian bagi memenuhi aspirasi yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan para pelajar memiliki kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21.

Katanya, bagi mencapai hasrat itulah kerajaan mengambil langkah menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menyediakan kerangka pembangunan menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan sehingga 2025.

“Dalam usaha mencapai aspirasi yang tinggi dalam persekitaran persaingan global yang semakin sengit, kita tidak boleh lalai,” katanya dalam prakata pelan pendidikan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_27/Sistem-pendidikan-Malaysia-perlukan-transformasi—Najib#ixzz2e7sAadTG
© Utusan Melayu (M) Bhd

PM lancar Hospital Pakar Kanak-kanak Permata – Bernama


PM lancar Hospital Pakar Kanak-kanak Permata

 

NAJIB Razak (tengah) diberikan taklimat mengenai projek Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata oleh Pengerusi Badan Petugas Penubuhan HPKKP, Professor Datuk Dr A Rahman A Jamal (kanan) pada majlis pelancaran projek itu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini. Hadir sama Rosmah Mansor dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Datuk Prof. Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. – UTUSAN

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan projek Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata yang pertama di negara ini di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras.

Hospital moden dan berteknologi tinggi bernilai RM606 juta yang dijangka siap pada 2017 itu akan secara komprehensif memberi fokus kepada disiplin pediatrik atau kesihatan kanak-kanak.

Najib berkata pelbagai bidang perawatan ditawarkan termasuk surgeri laparoskopik yang minimum invasi, perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraksik, implan koklear, pemindahan sumsum tulang, perkembangan kanak-kanak, genomik pediatrik dan endokrinologi pediatrik.

Katanya pembinaan hospital itu, dan sebuah lagi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang sedang dibina di Hospital Kuala Lumpur, menandakan bahawa bidang kesihatan negara sememangnya berada pada landasan yang betul untuk memasuki liga negara maju.

“Ciri-ciri mesra kanak-kanak dan ibu bapa diberi keutamaan dalam pembinaan Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata ini, memberikan suasana yang dapat mengurangkan tekanan, keresahan dan kesakitan yang dialami kanak-kanak,” katanya ketika berucap melancarkan projek pembinaan hospital itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung Permata Negara. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130823/dn_30/PM-lancar-Hospital-Pakar-Kanak-kanak-Permata#ixzz2cnT09uxy
© Utusan Melayu (M) Bhd

PPPM akan tetap dilancar – TPM – Utusan


PPPM akan tetap dilancar – TPM

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

 

MUHYIDDIN Yassin menerima akad zakat perniagaan RM150,000 daripada UDA Holding Berhad yang disampaikan oleh Pengarah Urusan UDA Holding, Ahmad Abu Bakar (kiri) pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Surau Saadiah, Muar, Johor, semalam. – BERNAMA

MUAR 31 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) akan tetap dilancar 6 September ini walaupun mendapat tentangan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Beliau yang juga Menteri Pendidikan menegaskan, kerajaan tidak akan tunduk atau berasa takut dengan desakan Dong Zong kononnya PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah-sekolah vernakular.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab membela perjuangan kaum Melayu dan negara, kita akan teruskan dasar ini tanpa rasa terganggu, tergugat atau takut berhadapan dengan mereka,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Surau Saadiah, di sini hari ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan kepada 68 anak-anak yatim.

Selain itu, UDA Holding Berhad turut menyerahkan sumbangan RM30,000 kepada surau berkenaan.

Sebelum ini, Dong Zhong mendakwa PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah vernakular menerusi persidangan yang diadakan persatuan tersebut sekali gus menunjukkan mereka seolah-olah dihantui dengan pelaksanaan pelan berkenaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin mencabar Dong Zong membaca dan meneliti isi kandungan pelan berkenaan yang tidak menyebut langsung usaha memansuhkan bahasa Mandarin atau sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Menurutnya, PPPM yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu memperuntuk sebanyak RM125 juta yang bukan sahaja bertujuan memperkasa bidang pendidikan tetapi bahasa Melayu di sekolah kebangsaan.

“Kita mahu jadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan kepada semua kaum. Jangan jadikan usaha ini sebagai isu politik yang boleh menggugat keharmonian dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, bidang pendidikan akan mundur jika langkah tersebut tidak diambil kerana PPPM adalah menyeluruh serta merangkumi semua aspek.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, kerajaan turut memberi tumpuan dalam soal pendidikan Islam untuk meneruskan kemajuan sekolah agama di negara ini sesuai dengan kedudukan umat Islam sebagai masyarakat majoriti.

“Untuk itu kita akan bina sekolah menengah agama sempena nama arwah bapa saya di atas tanah seluas 6.8 hektar di daerah ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130801/dn_02/PPPM-akan-tetap-dilancar—TPM#ixzz2afgA0bH6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ceupacs Bantah Bank Negara Pendekkan Tempoh Pinjaman – Bernama


Ceupacs Bantah Bank Negara Pendekkan Tempoh Pinjaman

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah tindakan Bank Negara memendekkan tempoh pinjaman.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata tempoh yang diberikan bank berkenaan amat pendek dan boleh memudaratkan pekerja yang membuat pinjaman.

“Cuepacs berharap agar Bank Negara dapat melihat semula pekeliling itu sebelum pihak kami berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan perkara ini,” kepadanya pemberita selepas bermesyuarat dengan Angkasa berhubung isu keberhutangan isi rumah rakyat Malaysia yang berkaitan dengan koperasi di sini, Selasa.

Pada 5 Julai lepas, Bank Negara mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pinjaman peribadi dari 25 kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan kepada 35 tahun.

Omar berkata pekeliling itu sepatutnya memudahkan penjawat awam seperti mengurangkan kadar faedah agar dapat membantu mereka meringankan kos sara hidup yang tinggi.

Beliau berkata antara tujuan penjawat awam membuat pinjaman peribadi adalah untuk pendidikan, bencana dan menyelesaikan hutang tertunggak. “Sekarang ini umur 45 tahun baru nak beli rumah dan pada jangka 15 tahun lagi nak servis, alamatnya pencen nanti papa kedana,” katanya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata langkah Bank Negara memberi kesan kepada koperasi kredit dan pendapatan Angkasa kerana ia dianggotai penjawat awam.

“Pinjaman peribadi memang untuk kakitangan awam, jadi apabila pendapatan berkurangan, untung yang diperoleh pun kurang dan dividen yang diperoleh penjawat awam turut berkurangan serta menjejaskan pendapatan sampingan mereka,” katanya.

Beliau berkata Angkasa turut berpendirian Bank Negara perlu menangguhkan pelaksanaan pekeliling berkenaan untuk dikaji semula demi kepentingan koperasi dan kakitangan awam.

Menjawab soalan lain, Omar mengulangi harapannya agar kerajaan menimbang untuk memberi bonus kepada kakitangan awam, termasuk menjelang Aidilfitri ini. – BERNAMA

Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam – Utusan


Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam

 

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 17 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji kemungkinan mengumumkan khabar baik kepada penjawat awam terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

Perdana Menteri yang ditanya pemberita mengenai perkara itu kelihatan senyum dan memberi jawapan ringkas bahawa kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan soal tersebut.

“Nanti, kita akan melihat perkara ini. Ada masa lagi,” katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam

(CUEPACS ), Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan setengah kepada 1.5 juta penjawat awam di negara ini iaitu setengah bulan dipertimbangkan dibayar sebelum Aidilfitri.

Omar berkata, pemberian bonus itu mengurangkan beban penjawat awam dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa pula percaya Perdana Menteri, akan memutuskan isu pemberian bonus kepada penjawat awam

sempena pembentangan Bajet 2014 nanti. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130717/dn_34/Aidilfitri-PM-bayangkan-berita-gembira-penjawat-awam#ixzz2ZIx7kUBG
© Utusan Melayu (M) Bhd

CUEPACS mohon timbang bonus 2 setengah bulan – Bernama


PUTRAJAYA 9 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat awam tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, CUEPACS telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini dan berharap permintaan ini akan dipertimbangkan.

“Melihat pada keadaan ekonomi semasa sekarang, pada kami permohonan pemberian bonus dua setengah bulan ini yang telah diputuskan semasa mesyuarat CUEPACS pada dua minggu lepas adalah sesuai,” kata beliau dalam sidang media di sini hari ini.

Omar berkata, pemberian bonus bukan sahaja khabar gembira buat 1.4 juta penjawat awam bahkan akan turut memberi kesan langsung kepada ekonomi negara apabila terdapat aliran tunai yang aktif di dalam negara.

“Namun begitu, saya berharap jika adanya pengumuman bonus kelak peniaga tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sesuka hati,” katanya.

CUEPACS juga berharap agar skuad pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan terus membantu memantau harga barangan dalam pasaran, kata beliau.

Pada tahun lepas, kerajaan memberi bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam dan pemberian bonus tersebut merupakan yang terbaik pernah diberikan oleh kerajaan setakat ini.

Katanya, bersempena dengan kedatangan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri nanti semestinyalah penjawat awam mengharapkan bantuan dalam bentuk bonus daripada kerajaan bagi meringankan beban kewangan mereka. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130709/dn_57/CUEPACS-mohon-timbang-bonus-2-setengah-bulan#ixzz2YeJm1tzP
© Utusan Melayu (M) Bhd