KSN: Penjawat awam aktif dapat markah penuh – Bernama


KSN: Penjawat awam aktif dapat markah penuh

6 Julai 2013
Tan Sri Dr Ali Hamsa
Tan Sri Dr Ali Hamsa

NILAI – Penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti luar termasuk bidang sukan sehingga mewakili peringkat kementerian atau negeri akan diberikan markah penuh dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka.

Ketua Setiausaha Negera Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, perkara itu yang akan dibincangkan bersama semua Ketua Setiausaha Kementerian dan ketua jabatan bertujuan bagi menarik minat penjawat awam menyertai aktiviti-aktiviti luar terutama sukan.

“Kita akan berikan insentif kepada mereka dan insentif ini ada pelbagai jenis. Salah satunya ialah saya akan minta ketua-ketua jabatan untuk memberikan kredit tambahan kepada penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti luar.

“Kalau dalam penilaian LNPT memang ada lima peratus untuk aktiviti luar tapi kalau sampai ke peringkat kementerian atau negeri…mungkin kita boleh berikan markah penuh atau terbaik dalam kategori itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan menutup kejohanan olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) ke-45 di Stadium Universiti Sains Islam Antarabangsa, di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah itu juga diharap dapat membantu mencungkil bakat-bakat tertentu dalam kalangan penjawat awam yang seterusnya boleh dimanfaatkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Ali yang juga Penaung MAKSAK berkata, bagi menggalakkan penyertaan jabatan atau kementerian dalam kejohanan sukan, mereka dibenarkan untuk mendapatkan sumbangan dan bekerjasama dengan pihak swasta.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai ‘berita gembira’ untuk penjawat awam sempena sambutan perayaan hari raya Aidilfitri tahun ini, beliau berkata ia akan ditentukan dan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jika ada.

“Sebenarnya dalam bulan Ramadan ini semua penjawat awam akan dapat kenaikan gaji tahunan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini, jadi itu sebenarnya ia adalah satu jenis bonus kepada penjawat awam yang mana tahun ini mereka dapat dua pergerakan gaji tahunan,” katanya. – Bernama

Advertisements

PM tentukan bonus penjawat awam – KSN – Bernama


PM tentukan bonus penjawat awam – KSN

 

PUTRAJAYA 24 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membuat keputusan berhubung pemberian bonus untuk penjawat awam tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, keputusan itu akan dibuat Najib selaku Menteri Kewangan sempena pembentangan Belanjawan 2014 yang dijadual 25 Oktober ini.

“Saya rasa kerajaan akan membuat keputusan apabila kerajaan buat bajet (pembentangan Belanjawan 2014), PM sendiri akan buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Seramai 1,374 petugas dari 42 Jabatan/Agensi/Bahagian Jabatan Perdana Menteri menerima anugerah itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada kerajaan supaya bonus melebihi sebulan setengah gaji diberikan kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam.

Semalam, Presiden CuepacsDatuk Omar Osman menyarankan kerajaan agar bonus melebihi sebulan setengah gaji atau sekurang-kurangnya sebulan setengah gaji diberikan kepada kakitangan awam dengan pembayaran setengah bulan gaji dibuat sebelum perayaan Aidilfitri nanti.

Tahun lalu, penjawat awam menerima bonus sebulan setengah gaji dengan pembayaran dibuat sebanyak tiga kali; sebelum perayaan Aidilfitri, bulan Disember dan pada Januari tahun ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Ali yang genap setahun menjalankan tugas sebagai KSN, meminta penjawat awam supaya lebih peka dan mendekati nadi rakyat dengan mengambil langkah proaktif melalui Program Jejak Mesra Perkhidmatan Awam.

“Penjawat awam (menerusi program itu) akan turun untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan membawa perkhidmatan kepada mereka.

“Ini adalah satu pendekatan baharu di mana kita tidak boleh menunggu untuk rakyat datang kepada kita dengan masalah mereka tetapi sebaliknya kita mendekati mereka,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan maklum balas, pandangan dan cadangan membina daripada seluruh penjawat awam demi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

“Kita semua (penjawat awam) perlu senang dihubungi dan didekati. Saya berharap agar sebarang maklum balas yang ingin disampaikan dapat disalurkan melalui saluran yang bersesuaian,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130624/dn_40/PM-tentukan-bonus-penjawat-awam—KSN#ixzz2X8mszAUY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sekolah di Pasir Gudang, Pontian, Kota Tinggi dibuka esok – Bernama


Sekolah di Pasir Gudang, Pontian, Kota Tinggi dibuka esok

 3  0 Google +0  0  0

JOHOR BAHRU: Sebanyak 300 buah sekolah di Kota Tinggi, Pontian dan Pasir Gudang yang diarahkan bercuti Jumaat lepas akan dibuka semula esok selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit bertambah baik.

Pengarah Pelajaran negeri Mohd Nor A Ghani berkata pejabat pelajaran daerah dan pengurusan sekolah telah diminta memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga supaya 187, 590 pelajar terbabit kembali bersekolah seperti biasa.

Beliau turut menasihatkan pelajar khususnya yang mempunyai penyakit asma atau jantung agar memakai topeng hidung dan mulut.

Walaupun sesi persekolahan dibuka semula, aktiviti di luar kelas masih tidak dibenarkan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya arahan bercuti bagi 117 sekolah di Kluang dan 175 sekolah di Batu Pahat yang membabitkan 134,872 masih belum ditarik balik.

Arahan tersebut turut dipanjangkan kepada 171 sekolah kebangsaan dan 40 sekolah menengah di daerah Muar dan Ledang membabitkan 76,400 pelajar serta 6,846 guru berikutan pengisytiharan darurat jerebu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/23

110 sekolah di Segamat diarah cuti esok – Bernama


110 sekolah di Segamat diarah cuti esok

 0  0 Google +0  0  0

JOHOR BAHRU: Sebanyak 110 buah sekolah rendah dan menengah di Segamat diarahkan bercuti esok selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu mencapai tahap berbahaya 400.

Pengarah Pelajaran negeri Mohd Nor A Ghani berkata arahan itu membabitkan 39,681 pelajar dan 3,418 guru. 

Arahan bercuti sejak Jumaat lalu bagi 117 sekolah di Kluang dan 175 sekolah di Batu Pahat yang membabitkan 134,872 pelajar masih belum ditarik balik, katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Arahan itu turut dipanjangkan kepada 171 sekolah kebangsaan dan 40 sekolah menengah di daerah Muar dan Ledang, membabitkan 76,400 pelajar serta 6,846 guru berikutan pengisytiharan darurat akibat jerebu di kawasan berkenaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata 300 sekolah di Kota Tinggi, Pontian dan Pasir Gudang yang diarahkan bercuti Jumaat lepas akan dibuka semula esok selepas IPU mencatatkan bacaan yang bertambah baik.

 

Pejabat pelajaran daerah dan sekolah sudah diarah memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa atau penjaga agar semua 187,590 pelajar berkenaan kembali ke sekolah esok. 

Bagaimanapun katanya aktiviti di luar kelas masih tidak dibenarkan sementara pelajar, terutama yang mempunyai penyakit asma dan jantung dinasihatkan memakai topeng hidung dan mulut. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/23

Penjawat awam patur syukuri faedah gaji Julai ini – Bernama


Penjawat awam patur syukuri faedah gaji Julai ini

 

MUAR, 23 Jun (Bernama) – Penjawat awam patut bersyukur dengan pemberian faedah pemindahan gaji bersamaan kadar satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Julai ini, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, walaupun kenaikan itu dilihat kecil oleh sesetengah pihak, ia memberi faedah besar kepada penjawat awam dalam jangka masa panjang.

“Walaupun kenaikan ini tidak besar, tetapi ia jelas menunjukkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) amat prihatin terhadap kebajikan penjawat awam,” katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-30 Koperasi KOSPETA Malaysia Berhad di sini hari ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan pelaksanaan eksesais itu susulan keputusan kerajaan berkaitan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan awam, landasan kerjaya dan pembetulan kepada masalah struktur gaji.

Menurut JPA masalah struktur gaji akan diselesaikan sebelum 31 Dis ini.

Mengenai bonus tahun ini, beliau berkata, Cuepacs yakin kerajaan akan memberikan habuan lebih baik daripada satu setengah bulan gaji tahun lalu.

Azih berkata Cuepacs juga berharap kerajaan memperuntukkan 30 peratus daripada sejuta buah rumah mampu milik yang akan dibina dalam tempoh lima tahun akan datang kepada penjawat awam. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130623/dn_32/Penjawat-awam-patur-syukuri-faedah-gaji-Julai-ini#ixzz2X2j4Ekhf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jerebu: Semua sekolah di KL, Selangor diarah tutup esok – Bernama


Jerebu: Semua sekolah di KL, Selangor diarah tutup esok

 

KUALA LUMPUR 23 Jun – Semua sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor akan ditutup esok seperti yang dinasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel.

Palanivel berkata, beliau akan meminta Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh mengambil tindakan sewajarnya.

“Situasi jerebu semakin teruk pada 5 petang dan sekolah diarah tutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana kualiti udara yang buruk akan memberi kesan terhadap kesihatan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka berada dalam rumah dan memakai topeng jika mereka perlu keluar.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar, yang diisytihar sebagai kawasan darurat, mencatat sedikit penurunan dengan bacaan 690 pada 11 pagi tadi berbanding 746 empat jam sebelumnya.

IPU bagi Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka, yang sebelum ini masing-masing mencatat bacaan di tahap bahaya 357 dan 334, meningkat ke 415 dan 428.

Negeri lain yang mempunyai IPU tidak sihat termasuk ibu negara, Putrajaya, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor manakala dua kawasan yang dikategori sebagai mempunyai kualiti udara sihat ialah Sandakan dan Tawau di Sabah. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130623/dn_34/Jerebu-Semua-sekolah-di-KL-Selangor-diarah-tutup-esok#ixzz2X2itd46m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jerebu: Sekolah perlu lebih prihatin – Najib – Bernama


Jerebu: Sekolah perlu lebih prihatin – Najib

 

KUALA LUMPUR 21 Jun – Pihak sekolah perlu lebih prihatin bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar ketika musim jerebu ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menerusi twitternya hari ini berkata sekolah perlu bertindak sewajarnya mengikut situasi bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar sentiasa terjaga.

“Pihak sekolah perlu lebih prihatin untuk menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar di musim jerebu. Bertindak sewajarnya mengikut situasi,” katanya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani pagi ini memaklumkan sebanyak 589 sekolah di Muar, Batu Pahat, Pasir Gudang dan Pontian diarah tutup setakat ini berikutan kualiti udara tidak sihat di kawasan berkenaan.

Sehingga tengah hari ini, kawasan yang terlibat dengan jerebu di Johor terus mencatat peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan Pasir Gudang merekodkan bacaan tertinggi pada 323 iaitu berbahaya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130621/dn_31/Jerebu-Sekolah-perlu-lebih-prihatin—-Najib#ixzz2WrAUoWGo
© Utusan Melayu (M) Bhd