Najib ucap tahniah kepada penerima Biasiswa Nasional 2013 – Bernama


Najib ucap tahniah kepada penerima Biasiswa Nasional 2013

2013/04/02 – 16:55:24 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada 50 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang menerima Biasiswa Nasional 2013.

Beliau turut menasihati pelajar berkenaan supaya tidak melupakan peranan yang disumbangkan ibu bapa dan guru sehingga mereka mencapai kejayaan itu.

“Tahniah kepada 50 pelajar cemerlang SPM tahun lalu yang menerima Biasiswa Nasional. Jangan lupa usaha ibu bapa dan guru yang memainkan peranan penting,” katanya dalam tweet terbaru beliau hari ini.

Pelajar cemerlang itu menerima biasiswa tersebut yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di ibu negara, semalam.

Melalui program Biasiswa Nasional, penerima akan ditaja dari peringkat persediaan hingga peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang pilihan mereka yang diiktiraf kerajaan di dalam dan luar negara.

Program itu diperkenalkan pada tahun 2010 dengan 30 pelajar cemerlang SPM 2009 menerima biasiswa tersebut, tetapi ditambah menjadi 50 orang mulai 2012 ekoran peningkatan ketara pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 2011.

– BERNAMA