Isu SK Pristana: Zam puji laporan Sinar Harian – Sinar Harian


Isu SK Pristana: Zam puji laporan Sinar Harian
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2013
  • Isu SK Pristana: Zam puji laporan Sinar Harian
< 1 / 1 >
SHAH ALAM – Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin memuji laporan Sinar Harian berkaitan isu SK Seri Pristana yang disifatkannya lebih bertanggungjawab untuk membersihkan nama sekolah tersebut daripada cemuhan sebagai rasis.

Beliau yang turut dikenali sebagai Zam berkata, tuduhan itu hanya berasaskan kepada penyebaran gambar palsu mengatakan anak-anak bukan Melayu diberi makan di tandas sekolah itu di bulan puasa sebaliknya yang sebenar ialah di kawasan persalinan.

Katanya, sekali pun penjelasan telah diberikan berkali-kali tetapi kita dapat melihat bagaimana sebuah akhbar Inggeris telah cuba menghidupkan terus isu ini untuk  mengapi-apikan perasaan kebencian orang India terhadap orang Melayu.

 “Yang terakhir dengan menyiarkan berita dakwaan bapa yang disyaki terlibat menyebarkan fitnah itu mengapikan pula dengan cerita ramai anak-anak India telah dipindahkan dari sekolah itu pada hal sebenarnya dari 27 orang, hanya seorang sahaja yang berpindah. Akhbar tersebut menyiarkan berita ini seolah-olah benar belaka,” katanya dipetik dari laman blog beliau, zamkata.blogspot.
Semalam Sinar Harian menyiarkan wawancara eksklusif dengan Guru Besar SK Seri Pristana, Muhammad Nasir Mohd Noor bagi mendapatkan penjelasan yang lebih tepat mengenai isu tersebut.
Sehari sebelum itu, Menteri Pendidikan II, Datuk Idris Jusoh yang mengadakan lawatan mengejut ke sekolah itu turut menyifatkan isu tersebut sudah selesai dan hanya digembar-gemburkan oleh pihak luar yang cuba menjadi ‘batu api’ terhadap salah faham yang terjadi.
Zam berkata, Kementerian Dalam Negeri tidak seharusnya membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja tetapi siasatan mengenainya mestilah didedahkan dan tindakan keras mesti diambil kepada mereka yang mempromosikan hasutan perkauman.
“Walaupun akhbar-akhbar Tamil atau Cina juga memainkan perkara ini tetapi tidak sama kesannya dengan akhbar yang dibaca oleh semua kaum. Isu SK Seri Pristana Sungai Buloh Selangor sudah berbulan dihidupkan dalam nada perkauman dengan berselindung di sebalik ‘human right’,” katanya.

Mangsa lemas murid pintar, harapan keluarga – Utusan


Mangsa lemas murid pintar, harapan keluarga

GURU Besar SK Kamil 3, Md. Nawi Ismail (kiri) menenangkan Mohd. Rahim Mat Adam yang kehilangan dua anaknya di Hospital Tengu Anis di Pasir Puteh, semalam.

 

PASIR PUTEH 2 Feb. – Dua mangsa lemas di Sungai Alor Pasir Kobena dekat sini lewat petang semalam, merupakan murid pintar Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil 3 dan memiliki kegemaran yang sama dengan bapa mereka iaitu minat menternak serta bercucuk tanam pada hujung minggu.

Bapa mangsa, Abdul Rahim Mahmud, 38, berkata, kegemaran dan minat yang sama itu menyebabkan kedua-dua arwah paling rapat dan sentiasa bersamanya sehingga tragedi lemas yang tidak pernah diduga itu sukar untuk diterima.

Menurutnya, anak keduanya, Mohd. Afiq Zulfikri adalah murid tahun enam dan pengawas sekolah berkenaan yang turut diharapkan oleh keluarga berjaya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Harapan kami untuk melihat hasratnya mengharumkan nama sekolah tidak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya. Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit dekat sini pada pukul 12.10 tengah hari,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Bukit dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang semalam, tindakan seorang abang untuk menyelamatkan adiknya yang tergelincir ke dalam Sungai Alor Pasir Kobena dekat sini ketika membuang air kecil tidak berjaya apabila kedua-dua mereka ditemui mati lemas.

Mayat Mohd. Afiq Zulfikri Abdul Rahim, 12, dan Mohd. Amirul Zulhaika ditemui penduduk kampung dan pasukan penyelamat pada pukul 7 dan 7.16 malam semalam.

Menurutnya, Mohd. Afiq Zulfikri juga dianggap sebagai tonggak utama dalam keluarga kerana sering mengambil berat supaya keseluruhan adik-beradiknya menunaikan solat fardu lima waktu pada setiap hari.

Datuk mangsa, Mohd. Rahim Mat Adam, 58, berkata, dia yang bergegas ke tempat kejadian juga gagal menyelamatkan cucunya kerana keadaan air terlalu dalam iaitu melebihi empat meter sehingga terpaksa menggunakan buluh untuk menyelam ke dasar sehingga menemui mayat Mohd Afiq yang sudah tidak bernafas lagi ketika dibawa naik ke tebing.

Katanya, tragedi bermula apabila Mohd. Amirul Zulhaika tergelincir ke dalam sungai dari tebing pasir yang runtuh menyebabkan Mohd. Afiq Zulfikri terjun dan cuba menyelamatkan adiknya itu, diikuti abang sulung mereka Mohd. Alif Zulhakimi, 14.

Mohd. Alif Zulhakimi ketika ditemui memberitahu, ketika kejadian, ibunya, Norma Mohd. Rahim 35, berada tidak jauh dari kawasan berkenaan bersama adik bongsu mereka Nur Aliya Nabila berusia dua tahun, tetapi tergamam dengan kejadian yang berlaku.