Budak trauma dikejar anjing – Sinar Harian


Budak trauma dikejar anjing

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Oktober 2012
Anjing sentiasa berkeliaran di kawasan perumahan sehingga mengundang ketidakselesaan penduduk.
Anjing sentiasa berkeliaran di kawasan perumahan sehingga mengundang ketidakselesaan penduduk.

RAWANG – Penghuni di pangsapuri Lili Rawang Perdana, di sini bimbang dengan kehadiran anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan mereka.

Haiwan liar tersebut bergerak secara berkumpulan dan kerap membuat bising pada waktu malam sehingga menceroboh kediaman penduduk sehingga ke tingkat empat menggunakan tangga.

Malah penduduk mendakwa, kanak-kanak yang bermain di taman permainan di sini turut menjadi mangsa anjing liar yang bertindak mengejar mereka.

Ibu mangsa, Aizura Ahsan, 37, berkata, dua anaknya berusia lima dan tujuh tahun dikejar anjing tersebut sehingga ke rumah sewaktu membeli nasi lemak berhampiran sekitar jam 8 pagi.

“Anak trauma untuk keluar rumah dan bernasib baik kejadian disedari jiran yang bertindak menghalau anjing tersebut.

“Kes hampir sama juga pernah berlaku ke atas kanak-kanak berusia dua tahun sewaktu sedang bermain di taman permainan namun sempat diselamatkan ibunya yang berada di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama, Zulkifli Yaakob berkata, pihaknya telah membuat aduan perkara berkenaan sebanyak dua kali kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Badan Pengaduan Awam.

Menurutnya, aduan telah dibuat tiga bulan lalu selepas tertekan dengan gangguan anjing yang kerap membuat bising, menyelongkar sampah dan menceroboh rumah penduduk.

“Van MPS ada yang lalu-lalang namun masih tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah anjing liar ini,” katanya.

Selain itu katanya, hasil pemerhatiannya mendapati terdapat tiga keluarga di pangsapuri itu membela anjing di kawasan perumahan bertingkat itu.

“MPS mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan ke atas mereka seperti kompaun kerana memberi keadaan kurang selesa kepada penduduk lain,” katanya.

Sarapan terakhir – Metro


Sarapan terakhir

Laporan DJ DOLASOH
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

LENGGONG: “Tiada perubahan pelik, sebaliknya saya terkejut apabila melihat dia menghabiskan tiga bungkus nasi lemak pagi semalam (kelmarin) biarpun sebelum ini jarang bersarapan pagi.

“Saya tidak menyangka perilaku itu menandakan arwah akan pergi buat selama-lamanya,” kata Noraini Abdul Kadir, 47, ibu kepada Mohd Aiman Izuddin Abd Raman, 12, yang lemas di Sungai Perak, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, Mohd Aiman bersama lima rakannya berusia antara lapan hingga 15 tahun mandi di sungai itu selepas solat Jumaat sebelum dihanyutkan arus deras.

 

Bagaimanapun, empat rakan mangsa menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing manakala seorang lagi, Mohd Izuddin Shuid, 11, sempat berpaut pada akar kayu di tebing sungai.
Mayat Mohd Aiman yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Temelong, di sini, ditemui terdampar di beting pasir di tengah-tengah Empangan Kenering berhampiran Kampung Pulau Cheri oleh seorang nelayan, jam 7 pagi semalam.
Anggota mencari dan penyelamat terpaksa menutup sementara empangan itu pagi semalam bagi memudahkan operasi mengesan mangsa.

 

 

Noraini yang ditemui semalam berkata, selepas selesai makan tengah hari kelmarin, arwah meminta izinnya untuk mandi di sungai bersama beberapa rakan.
Beliau berkata, dia dan suami, Abd Raman Adam, 62, tidak membenarkannya pergi kerana arwah tidak pandai berenang, selain keadaan arus sungai deras dan berbahaya sejak tiga hari lalu.

 

“Bagaimanapun, selang sejam kemudian, seorang penduduk datang ke rumah dan memaklumkan arwah lemas ketika mandi di sungai,” katanya.

Minat belajar kembali segar – Metro


Minat belajar kembali segar

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEPAKAT...Noraini dibantu anak-anaknya  menyiapkan tempahan makanan pelanggan.
SEPAKAT…Noraini dibantu anak-anaknya menyiapkan tempahan makanan pelanggan.

JOHOR BAHRU: “Saya tidak sangka dapat menjejakkan kaki kembali ke sekolah selepas berhenti belajar sejak akhir tahun lalu demi meringankan beban tiga adik yang kerap ponteng untuk menjual nasi lemak bagi menyara keluarga.

“Melihat keadaan keluarga yang bertambah baik selain dorongan ramai, saya berminat belajar semula dan mengejar cita-cita menjadi guru,” kata kakak kepada tiga murid yang ponteng sekolah 100 hari, Nazirah, 16, di sini, semalam.
Kisah Nazirah dan tiga adiknya, Alyah, 8; Nabilah, 9; dan Hamirul, 11, didedahkan Harian Metro pada 23 Julai lalu, selepas ibunya yang mahu dikenali sebagai Noraini, 35, digantung tidak bertali.

 

Akibat kesukaran hidup, Nazirah berhenti sekolah manakala Alyah, Nabilah, dan Hamirul berjalan kaki tiga kilometer sehari menjual nasi lemak kerana mahu membantu menampung perbelanjaan keluarga sehingga terpaksa ponteng sekolah 100 hari.
Selepas kisah kesusahan Noraini dan anak-anaknya disiarkan akhbar ini, mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru serta Majlis Agama Islam Johor (Maij), selain sumbangan orang ramai dan pasar raya Econsave yang menyumbang barangan harian bernilai RM1,300.
Nazirah berkata, dia berterima kasih kepada Jabatan Pelajaran Johor yang memberi peluang kepadanya menyambung pelajaran dalam tingkatan lima tahun depan.

 

 

Menurutnya, sementara menunggu tempoh persekolahan bermula tahun depan, dia yang ketinggalan dalam pelajaran hampir setahun meluangkan masa secukupnya untuk mengulang kaji pelajaran setiap hari.
“Saya mahu belajar bersungguh-sungguh dan berjanji menjadi contoh baik kepada adik.

 

“Dalam tempoh empat bulan sebelum sesi persekolahan bermula, saya berusaha mengulang kaji pelajaran sebanyak mungkin sebelum masuk ke kelas,” katanya yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Rahmat.
Noraini berkata, dia sekeluarga bersyukur dengan rezeki diterima termasuk bantuan daripada JKM.
“Antaranya bantuan kanak-kanak berjumlah RM400 sebulan selain geran pelancaran perniagaan RM2,700.
“Saya bercadang membuka gerai makan pada masa depan menggunakan wang bantuan geran pelancaran perniagaan itu,” katanya.
Menurutnya, kini anaknya tidak perlu lagi bersusah-payah menjual nasi lemak, sebaliknya mereka hanya menghantar tempahan makanan dibuat penduduk di Taman Kemas, Tampoi, di sini, pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14

Mereka berpotensi tinggi: Guru besar – Metro


Mereka berpotensi tinggi: Guru besar

JOHOR BAHRU: Tiga beradik yang kerap ponteng sekolah akibat terpaksa menjual nasi lemak bagi membantu ibu mereka mencari rezeki, disifatkan pelajar berpotensi tinggi dan mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Cempaka, Shafiee Omar berkata, tiga kanak-kanak itu masing-masing berada di tahun lima, tiga dan dua sekolah berkenaan sering menunjukkan potensi tinggi dalam pelajaran.
Menurutnya, bagaimanapun, prestasi tiga beradik itu semakin merosot disebabkan mereka sering ponteng sekolah menyebabkan pihaknya menjalankan siasatan dengan melawat rumah mereka.

“Anak lelaki keluarga itu yang kini menuntut di tahun lima, seorang murid cemerlang dalam kelas. Tetapi, disebabkan kerap ponteng sekolah dan menghidap tonsil pelajarannya semakin merosot.
“Saya yakin sekiranya diberikan peluang belajar dalam keadaan selesa dan baik, dia mampu mengubah nasib keluarganya pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di rumah kanak-kanak itu di Kempas di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/23

Hajat Adam makan nasi lemak tercapai – Sinar Harian


Hajat Adam makan nasi lemak tercapai
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Julai 2012

Presiden Hospital Johns Hopkins, Ronald R Peterson menandatangani buku dan disaksikan Othman (kiri).
SHAH ALAM – Hasrat Adam Akbar Ali, 10, yang mengidam nasi lemak tercapai apabila pegawai kedutaan Malaysia melawatnya di Hospital Johns Hopkins, Baltimore Amerika Syarikat, semalam.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, kami terharu pemberian itu.

“Saya bersyukur keinginan Adam makan nasi lemak dapat perhatian kedutaan Malaysia,” katanya, semalam.

Katanya, rombongan diketuai Duta Besar ke Amerika Syarikat, Datuk Othman Hashim disambut baik Presiden Hospital Johns Hopkins, Ronald R Peterson dan pengurusan hospital.

“Kami berbesar hati dan menghargai kunjungan Othman dan pegawai kedutaan dan presiden dan pengurusan kanan hospital hari ini
(semalam),” katanya.

Akbar berkata, keprihatinan begitu bermakna kepada anaknya agar kembali sihat.

Sebelum ini, kisah Adam yang menghidap penyakit saraf tunjang memerlukan jumlah wang yang besar bagi menampung kos pembedahan membuang tumor pada saraf tunjangnya, 22 Jun lalu.

Pelbagai pihak tampil bantu, termasuk Kerajaan Negeri Terangganu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

4 beradik sengsara – Bernama


4 beradik sengsara

27 Mei 2012

BALING – Empat beradik dari Kampung Pokok Sena, Mukim Pulai di sini terpaksa berhadapan dengan keperitan hidup sehingga pernah ke sekolah tanpa membawa wang sesen pun sementara di rumah mereka hanya memakan buah sukun rebus bagi menggantikan nasi.

Keadaan ini berlaku akibat bapa mereka yang berusia 39 tahun yang dikatakan sedang menjalani hukuman buang daerah kerana terlibat dengan dadah sejak beberapa bulan lalu  manakala ibu mereka yang berusia 35 tahun masih merengkok dalam lokap polis untuk proses soal-siasat, juga berkaitan tuduhan terbabit dengan najis dadah.

Empat beradik malang ini Nor Shafarina, 12, Mohd Sharizan, 11, Mohd Syawal, 7, dan Nor Sharifah, dua setengah tahun kini hanya bergantung hidup kepada nenek mereka Esah Abu Bakar, 60, dan ibu saudara mereka Yuslina Mohd Yusof, 36, seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak.

Keluarga itu hanya bergantung kepada pendapatan Yuslina yang berniaga nasi lemak di waktu pagi secara kecil-kecilan.

Yuslina yang mempunyai tiga orang anak berusia antara tujuh hingga 16 tahun berkata dia terpaksa mengambil tanggungjawab menjaga empat anak saudaranya itu selepas abang dan kakak iparnya ditahan.

“Saya hanya mampu menjual nasi lemak secara kecil-kecilan dengan pendapatan yang cukup makan saja. Kami tidak ada punca pendapatan lain,” katanya.

Tiga daripada empat beradik tersebut yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Baling dikatakan sering ke sekolah tanpa membawa wang saku. – Bernama

Kantin 1Malaysia sedia menu RM1 – Berita Harian


Kantin 1Malaysia sedia menu RM1
Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

2012/02/11

KULAIJAYA: Menu makanan dengan minuman berharga RM1 disediakan Kantin 1Malaysia Sekolah Kebangsaan (SK) Kulai, mendapat sambutan hangat lebih 900 muridnya yang mempunyai tiga waktu rehat berbeza mengikut tahap persekolahan setiap hari.

Murid Tahun Empat, Nur Naemahtul Farah, 10, menyifatkan Kantin 1Malaysia yang dilaksanakan kelmarin, cukup unik apabila menyediakan pelbagai makanan pada harga yang cukup murah.

“Ia cukup baik untuk murid sekolah luar bandar kerana kebanyakan kami daripada keluarga berpendapatan rendah. Berbekalkan RM1, kami boleh makan dengan kenyang bagi mengalas perut sebelum masuk untuk sambung belajar selepas waktu rehat,” katanya yang membeli sepinggan mi goreng.

P Yogeswaran, 10, berkata, usaha kantin menyediakan menu membabitkan cita rasa pelbagai kaum itu amat baik kepada murid-murid sekolah itu.

“Selain nasi lemak dan mi goreng, ada pula bubur nasi serta roti canai dan rojak. Semuanya pada harga RM1 termasuk minuman, jadi kami boleh menyimpan lebihan wang saku yang ibu bapa bagi, ” katanya yang memilih rojak sebagai menu pilihan.

Rakannya, Joan Kong Man Yin, 10, yang memilih bubur nasi pula, menyifatkan menu yang disediakan pengusaha kantin sekolah itu sebagai luar biasa kerana boleh dinikmati mereka pada harga yang murah.

“Saya yakin, murid sekolah lain pun pasti suka jika Kantin 1Malaysia turut dibuka di tempat mereka, ” katanya.
Sementara itu, pengendali Kantin 1Malaysia SK Kulai, Azim Mohd Dom, berkata jualan menu RM1 itu tidak menjejaskan perolehannya, sebaliknya masa sama membolehkannya meringankan beban kewangan keluarga yang kurang berkemampuan.

“Saya tidak fikir pengusaha akan mengalami kerugian hanya kerana menjual hidangan menu RM1 ini yang menjadi pilihan murid daripada keluarga berpendapatan rendah, ” katanya.

Azim berkata, bagi pelajar yang berkemampuan, mereka boleh memilih membeli pelbagai makanan lain yang ditawarkan pada harga biasa.

Katanya, bahan yang digunakan bagi menyediakan menu RM1 sama seperti masakan yang dihidangkan kepada guru sekolah berkenaan cuma kuantiti yang disediakan untuk murid dikurangkan sedikit.

“Sebagai contoh, bagi hidangan mi goreng, saya memasaknya sama dengan juadah yang dihidangkan kepada guru dan tidak pernah mengurangkan ramuan yang digunakan,” katanya.

Katanya, selain menu harian nasi lemak, mi dan nasi goreng, snek bijirin dengan susu dan sekeping kuih serta minuman, pakej menu RM1 itu disediakan berbeza setiap hari.

Beliau berkata, pada Rabu setiap dua minggu sekali, pihaknya akan menyediakan hidangan pelbagai kaum seperti roti canai, bubur ayam dan rojak.