Nasib enam beradik dibela – Sinar Harian


Nasib enam beradik dibela

MOHD FIRDAUS YON
2 April 2012
Nasib enam beradik dibela

JOHOR BAHRU – Kesukaran hidup yang terpaksa diharungi enam beradik selepas kehilangan ibu bapa dalam tragedi kebakaran di rumah sewa di Kampung Melayu Kangkar Pulai, 13 Mac lalu, mendapat pembelaan segera daripada Kerajaan Negeri.

Adik-beradik terbabit ialah Sharifah Aiysha, 23; Sharifah Zulaikha, 21; Syed Mohd Masyhur, 18; Sharifah Athirah Alya, 16; Syed Abdul Rahman, 15 dan Syed Abdullah, 11.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri negeri, Dr Robia Kosai berkata, Kerajaan Negeri mengambil berat nasib menimpa adik-beradik itu yang kini hidup dalam keadaan trauma dan tertekan.

“Kami mengambil berat dengan nasib adik-beradik terbabit yang kini amat memerlukan sokongan psikologi dan fizikal termasuk sebuah kediaman sempurna.

“Selepas perbincangan diadakan bersama anggota keluarga terdekat, mereka akan ditempatkan di Perumahan Rakyat Kempas Permai, di sini, tanpa perlu membayar sewa, manakala seorang lagi, Sharifah Athirah akan bersama keluarga angkat di Tangkak, Muar,” katanya ketika mengadakan lawatan keluarga berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar.

Dr Robia berkata, JKM akan menghulurkan bantuan termasuk persekolahan dan bulanan kepada penjaga iaitu kakak sulung adik-beradik terbabit, Sharifah Aiysha, 23, yang turut melecur teruk pada seluruh tubuhnya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Sharifah Rashidah Syed Hussin, 42, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk wakil rakyat yang memberi bantuan kepada adik-beradik itu.

“Saya mewakili mereka mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Kerajaan Negeri, wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya dan Parlimen Gelang Patah, Badan Perhubungan UMNO selain JKM sendiri kerana sudi membantu,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang lelaki, Syed Hussin Syed Hussin, 63, bertindak membakar kediaman mereka sehingga isteri dan dua anaknya yang cuba menyelamatkan satu sama lain turut melecur teruk pada bahagian anggota badan.