Nasib ibu dua anak hidup melarat akhirnya terbela – Kosmo


Nasib ibu dua anak hidup melarat akhirnya terbela

MD. NOOR (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan segera berupa wang tunai dan makanan kepada Maryam dan anak-anaknya di Kampung Pulau Gajah, Sabak, Kota Bharu semalam.

 

KOTA BHARU – Nasib seorang ibu dan dua anaknya yang hidup dalam kedaifan di Kampung Pulau Gajah, Sabak dekat sini selepas ditinggalkan suami dua tahun lalu akhirnya terbela.

Selepas kisah duka hidup Maryam Mat Deris, 45, bersama dua anaknya, Mohd. Suhaimi Napi Husin, 15, dan Nordiana, 2, disiarkan akhbar, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil memberi bantuan.

Pengarah JKM Kelantan, Md. Noor Chik berkata, pihaknya hadir bersama sumbangan berupa makanan selain wang tunai untuk membantu meringankan beban keluarga tersebut yang jelas menjalani kehidupan yang sukar ekoran tidak mempunyai sumber kewangan.

Menurutnya, selain sumbangan segera itu, pihaknya telah meluluskan Skim Bantuan Kanak-Kanak kepada dua anak Maryam dengan bantuan sebanyak RM200 sebulan bermula bulan ini.

“Kita juga akan merujuk kepada pihak berkenaan untuk mengenal pasti sama ada keluarga ini tersenarai atau tidak sebagai penerima bantuan e-Kasih dan sekiranya tidak, kita akan sedaya upaya membantu membuat permohonan.

“Mengenai persekolahan Mohd. Suhaimi, kita akan merujuk kesnya kepada Pejabat Pelajaran Daerah sama ada dia boleh kembali ke sekolah kerana saya difahamkan dia berhenti ketika di tahun dua lagi,” katanya.