Tiga sahabat mengaku tidak bersalah culik Nayati – Berita Harian


Tiga sahabat mengaku tidak bersalah culik Nayati

2013/02/18 – 13:20:45 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap pertuduhan menculik kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Mood Liar, 12, pada April tahun lalu.

Chong Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri berserta rakannya Foong Khar Fai, 20, yang juga seorang penjual telefon bimbit dan penganggur, Lee Phak Seng, 24, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Kamardin menetapkan dua minggu bermula 15 hingga 19 April dan 13 hingga 17 Mei untuk perbicaraan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Jean Sharmila Jesudeson memberitahu mahkamah seramai 15 saksi pihak pendakwaan dan pembelaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Ketika ditemui media selepas prosiding kes itu, Jean berkata, antara saksi yang akan dipanggil termasuklah mangsa culik, Nayati.

Pada 22 Mei tahun lalu, ketiga-tiga mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menculik Nayati, dan tiada pengakuan direkodkan.

Ketiga-tiga lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa menculik kanak-kanak berkenaan di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, 7.30 pagi pada 27 April 2012 mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Nayati dibebaskan penculiknya di kawasan rehat dan rawat Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS pada 7.55 pagi 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, di sini.

Chong diwakili peguam Rejinder Singh, manakala Foong diwakili peguam Zamri Ibrahim dan Lee diwakili peguam KT Wong. – BERNAMA

Seorang lagi penculik Nayati ditangkap – Utusan


Seorang lagi penculik Nayati ditangkap

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Mei — Siasatan kes penculikan kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar yang dilarikan selama tujuh hari sebelum dibebaskan dengan wang tebusan menunjukkan perkembangan positif apabila polis hari ini memberkas seorang lagi ahli kumpulan penculik itu.

Suspek, Lee Phak Seng, 24, yang gambar dan identitinya diedarkan kepada media oleh Pengarah Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin semalam, berjaya dikesan dan ditangkap di pekan Banting, Selangor petang ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek yang cuba menyembunyikan diri setelah menyedari diburu polis dikesan hasil maklumat orang ramai.

Keluarga Nayati ucap terima kasih kepada media, polis – Berita Harian


Keluarga Nayati ucap terima kasih kepada media, polis

2012/05/03

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Moodliar, 12, yang dilarikan Isnin lalu mengucapkan ribuan terima kasih kepada media kerana membantu menghebahkan maklumat ke seluruh negara.

Wakil keluarga yang tidak mahu namanya disiarkan menyampaikan ucapan terima kasih atas kerjasama yang diberikan rakyat negara ini termasuk pihak media dan polis.

“Terima kasih kepada pihak media yang banyak membantu dan bekerjasama dalam membawa Nayati pulang ke pangkuan keluarga semula,” katanya di kediaman keluarga itu di Mont Kiara di sini, hari ini.