Budak tujuh tahun sempat panggil bapa sedang nazak
KUALA LUMPUR 24 Ogos – Walaupun dalam kesakitan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun menguatkan diri memanggil bapanya yang sedang nazak setelah mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14.1 Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) di sini malam tadi.
Kanak-kanak malang itu, Nurul Ain, membonceng motosikal bersama bapanya, Mohd. Rozlee Ghazali, 33, untuk pulang ke rumah di Perumahan Pantai Permai di sini, apabila kenderaan dinaiki bergesel dengan sebuah motosikal lain pada pukul 9.30 malam.
Akibatnya, Nurul Ain bersama Mohd. Rozlee dan penunggang sebuah lagi motosikal, Sazali Md. Rashid, 51, seorang anggota polis bantuan tercampak dari kenderaan dan mengalami cedera parah.
Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa itu mengalami patah kaki kiri tetapi masih berupaya memanggil bapanya yang sedang nazak sebelum Mohd. Rozlee meninggal dunia di tempat kejadian tidak lama selepas itu.