Usah berpuas hati dengan penemuan baru dalam sistem pendidikan – Bernama


Usah berpuas hati dengan penemuan baru dalam sistem pendidikan

2012/04/23

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian dalam sistem pendidikan negara, walaupun kajian terbaru menunjukkan semakin ramai percaya bahawa sistem pendidikan sekarang adalah setanding dengan yang terdapat di negara lain.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebaliknya, semua pihak, terutama Kementerian Pelajaran, perlu menerima hakikat bahawa cabaran yang mendepani negara ketika ini menuntut agar keutamaan dalam sistem pendidikan dinilai dan disusun semula supaya sejajar dengan matlamat nasional.

“Penemuan yang berasaskan satu kaji selidik pendapat itu tidak sepatutnya menjadikan kita diulit perasaan berpuas hati.

“Dalam usaha kita untuk beralih daripada ekonomi pendapatan pertengahan yang dipacu inovasi, kita perlu menyelami jauh ke dalam jalinan sistem pendidikan kita dan bertanya sama ada penambahbaikan segera perlu dilakukan bagi menghadapi cabaran yang mendesak,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia Ke-16 di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian bagi merujuk kepada kaji selidik oleh Introspek Asia baru-baru ini yang menunjukkan bahawa 55 peratus daripada orang dewasa Malaysia percaya sistem pendidikan nasional adalah setanding dengan yang tedapat di negara lain, manakala 35 peratus berkata, ia “lebih baik daripada yang terdapat di negara maju.” – BERNAMA

Kaji tambah pendapatan imam, guru – Utusan


Kaji tambah pendapatan imam, guru

KOTA BHARU 27 Jan. – Kerajaan sedang mengkaji untuk menaik taraf kemudahan dan pendapatan imam, guru kelas asas fardu ain (KAFA) serta guru takmir di seluruh negara sejajar dengan wawasan untuk mencapai negara maju pada 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara tersebut diberi perhatian serius bagi memastikan golongan agama itu tidak tercicir dalam arus kemajuan terutama untuk meningkatkan jumlah pendapatan.

“Saya bercakap mengenai pendapatan rakyat sebanyak RM4,000 pada 2020, ini bermakna pendapatan itu bukan hanya untuk kelompok tertentu tetapi bagi semua. Disebabkan itu, penambahbaikan untuk guru KAFA, takmir dan sebagainya sedang dijalankan.

“Kita mahu lihat dalam ruang yang lebih besar untuk ke depan, mungkin esok bergaji lebih besar (golongan agama), sekarang kita menempatkan imam lulusan universiti di masjid negeri dan daerah, mungkin suatu hari kita akan menempatkan lulusan universiti di masjid tempatan dengan mengambil kira imam sedia ada,” katanya di sini hari ini.

Transformasi pendidikan capai negara maju – Sinar Harian


Transformasi pendidikan capai negara maju

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 16, 2012
Transformasi pendidikan capai negara maju

PEKAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha menjadikan negara ini sebagai negara maju tidak akantercapai jika transformasi dalam pendidikan dan modal insan tidak dilakukan dengan sebaiknya.

Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan jumlah besar dalam pendidikan dan ia perlu didokong semua pihak termasuk rakyat bagi merealisasikan hasrat mencapai sebuah negara maju.

“Bidang pendidikan adalah bidang keutamaan yang perlu diperjuangkan, perlu disuntik dari segi kewangan, prasarana serta sokongan moral semua pihak termasuk rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah cemerlang pelajar UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) Parlimen Pekan, di sini, semalam.

Najib berkata, 22 peratus daripada belanjawan negara setiap tahun adalah diperuntukkan untuk bidang pendidikan, yang membuktikan kerajaan menekankan pencapaian cemerlang bidang pendidikan negara.

“Selain itu kita tambah lagi peruntukan menerusi badan-badan dan yayasan, seperti di Pahang, Yayasan Pahang untuk memajukan bidang pendidikan negara, kita juga cari dari sumber-sumber lain untuk bidang pendidikan, malah peruntukan untuk wakil rakyat juga banyak disalurkan untuk bidang pendidikan,” katanya.

Najib berkata, semua lapisan rakyat perlu mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan menekankan pencapaian cemerlang anak-anak mereka dalam bidang pendidikan.

“Ini adalah pelaburan untuk kita mencapai sebuah negara maju dan ia tak mungkin tercapai tanpa memajukan bidang pendidikan.

Transformasi pendidikan, modal insan asas negara maju – Bernama


Transformasi pendidikan, modal insan asas negara maju

15/01/2012 4:56pm

 

PEKAN 15 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju tidak akan tercapai jika transformasi dalam bidang pendidikan dan modal insan tidak dilakukan dengan sebaiknya.

Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang besar dalam bidang pendidikan dan ia perlu didokong semua pihak termasuk rakyat bagi merealisasikan hasrat mencapai sebuah negara maju.

 

“Bidang pendidikan adalah satu bidang keutamaan yang perlu diperjuangkan, yang perlu disuntik dari segi kewangan, prasarana serta dokongan moral semua pihak termasuk rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah cemerlang pelajar UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) Parlimen Pekan di sini hari ini.

Najib berkata, sebanyak 22 peratus daripada belanjawan negara setiap tahun adalah diperuntukkan untuk bidang pendidikan, yang membuktikan kerajaan amat menekankan pencapaian cemerlang bidang pendidikan negara.

 

“Selain itu, kita tambah lagi peruntukan menerusi badan-badan dan yayasan seperti di Pahang, Yayasan Pahang untuk memajukan bidang pendidikan negara, kita juga cari dari sumber-sumber lain untuk bidang pendidikan, malah peruntukan untuk wakil rakyat juga banyak disalurkan untuk bidang pendidikan.

“Apa yang kita ingin capai untuk menjadi sebuah negara maju tak mungkin jadi kenyataan jika kita tidak dapat bangunkan jumlah modal insan, jumlah yang mencakupi dalam bidang-bidang penting,” katanya.

 

Najib berkata, semua lapisan rakyat perlu mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan menekankan pencapaian cemerlang anak-anak mereka dalam bidang pendidikan.

Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian pusat komuniti perumahan bersepadu kampung Padang Rumbia, dekat Paloh Hinai, Najib berkata, usaha transformasi menjadikan negara maju perlulah didokong semua pihak. – BERNAMA

Melonjak pendidikan vokasional – Utusan


Melonjak pendidikan vokasional

 

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

 

MUHYIDDIN Yassin menunjukkan buku Transformasi Pendidikan Vokasional sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Dr. S. Subramaniam, Ahmad Shabery Cheek, Mohd. Shafie Apdal dan Abdul Ghafar Mahmud pada majlis pelancaran Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia di German-Malaysian Institute, Bangi, semalam.

BANGI 6 Jan. – Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional yang merangkumi lima strategi utama, lima inisiatif serta 11 tindakan bagi meningkatkan nilai pasaran kerja pelajar dan melonjakkan pendidikan vokasional agar setaraf dengan negara maju dilancarkan hari ini.

Ia dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dan serentak dengan itu, sebanyak 15 sekolah menengah vokasional di setiap negeri dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional berkuatkuasa tahun ini.

Melalui pelan transformasi tersebut, pendidikan vokasional di negara ini tidak lagi dianggap sebagai kelas kedua, sebaliknya ia menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua dengan berasaskan program bercorak pekerjaan sebagaimana dilaksana negara maju.

Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, pendidikan vokasional di Malaysia perlu melalui perubahan besar dengan segera kerana jika tidak dilakukan, negara dibimbangi menjadi tidak kompetitif di peringkat global serta akan terus ketinggalan.

“Kejayaan pendidikan di Malaysia perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik semata-mata, tetapi perlu ada definisi baru kepada kejayaan tersebut iaitu melalui bidang teknikal serta vokasional.

“Ini kerana kadar purata enrolmen pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus di Malaysia.

“Jadi dalam memenuhi aspirasi ini, transformasi pendidikan vokasional adalah laluan penting ke arah melahirkan modal insan yang relevan dengan keperluan semasa serta mampu menghadapi saingan global,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan di Institut Jerman Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Sempena majlis itu juga satu perjanjian persefahaman (MoU) antara Kementerian Pelajaran dengan 11 rakan strategik merangkumi pihak industri, agensi awam dan swasta, institut pengajian tinggi awam serta swasta telah ditandatangani.

Menurut Muhyiddin jalinan kerjasama antara kementerian dengan rakan strategik itu akan memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan pelajar sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar kerana ia melibatkan perkongsian teknologi serta kepakaran.

“Ini merupakan langkah permulaan. Saya percaya selepas ini lebih banyak agensi awam, swasta dan industri akan tampil untuk bersama-sama terlibat dalam proses transformasi pendidikan vokasional yang sedang berlaku.

“Kerjasama ini amat penting kerana dengan kepakaran serta kemudahan yang ada pada kedua-dua belah pihak, ia boleh mengelak berlakunya masalah ketidaksesuaian bidang pekerjaan antara industri dengan industri latihan kemahiran,” katanya.