IAM dan Etiqa Takaful Berhad agih bantuan persekolahan kepada 1,000 pelajar
JITRA – Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Etiqa Takaful Berhad hari ini menyampaikan bantuan persekolahan dalam bentuk dua set pakaian sekolah, dua pasang kasut, beg dan buku latihan kepada 200 pelajar di Sekolah Kebangsaan Padang Perahu dekat sini.
Presiden IAM Zawahir Abdullah berkata bantuan tersebut adalah di bawah program Kembali Ke Sekolah 2013 yang melibatkan 1,000 pelajar miskin terpilih.
Sumbangan tersebut adalah dari zakat syarikat Etiqa Takaful sebanyak RM250,000, dan melibatkan lima negeri – Pahang, Perak, Kedah, Kelantan dan Johor dengan masing-masing 200 pelajar menerima bantuan.
“Kita telah menyerahkan bantuan tersebut kepada tiga sekolah di Pahang dan Perak baru-baru ini serta di Kedah hari ini. Misi sumbangan ini akan ke Kelantan dan Johor sebelum menjelang tahun depan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan tersebut.
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Utara Etiqa Insurans & Takaful Sham Shuhaimi Mohamad kepada 200 pelajar miskin dari lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaaan Padang Perahu, SK Permatang Buloh, SK Datuk wan Mohammad Saman, SK Sri Mahawangsa dan SK Bukit Hijau.- Bernama