Nenek berdepan hukuman mati – Utusan


Nenek berdepan hukuman mati

 

Oleh MOHD. AZRAIE MD YUSOF
pengarang@utusan.com.my

 

PETALING JAYA 15 Feb. – Seorang nenek yang dua kali cuba membunuh diri selepas dipercayai menekap muka cucu perempuannya dengan bantal sehingga mati, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh kanak-kanak berusia 10 tahun itu, hujung bulan lalu.

Tan Kooi Eng, 57, didakwa membunuh Pow Mei Shuang di rumah anaknya di No. 08-09, Kondominium Koi Legend, Jalan 4, Kinrara, Puchong, di sini pada pukul 11 malam, 30 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada wanita ituh selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Mohd. Nazri Omar.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Zahrah Ramli bagaimanapun memohon supaya wanita itu yang dipercayai mengalami gangguan mental dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri, laporan bedah siasat dan laporan perubatan.

Mengikut laporan akhbar sebelum ini, wanita itu cuba membunuh diri dua kali dengan memotong jari manis di tangan kirinya sehingga putus, sebelum menghubungi anaknya iaitu bapa kanak-kanak itu kira-kira pukul 9.30 pagi, 1 Februari lalu.

Bapa kanak-kanak tersebut yang ketika itu sedang bekerja di sebuah restoran milik keluarganya bergegas pulang ke rumah sebaik sahaja menerima panggilan ibunya yang mengaku telah membunuh mangsa sejak dua hari lalu.

Tiba sahaja di rumah, dia mendapati ibunya berada di dalam bilik tidur anaknya yang ketika itu dalam keadaan terlentang di atas katil.

Wanita itu kemudian bertindak mengunci pintu bilik tersebut, menyebabkan anak lelakinya segera memaklumkan perkara itu kepada polis.

Bagaimanapun kepantasan anggota polis ke tempat kejadian berjaya menyelamatkan nenek berkenaan yang kemudian dikatakan cuba pula terjun dari tingkap bilik tidur di tingkat lapan kondominium itu.