Murid mogok depan sekolah – Sinar Harian


Murid mogok depan sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Murid mogok depan sekolah
Ibu bapa dan penjaga yang sedia menunggu di hadapan sekolah kerana tidak berpuas hati dengan pertukaran guru berkenaan.
Murid mogok depan sekolah
Komathy (kiri) bersama Poopathy menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

JEMPOL – Hampir 60 ibu bapa dan penjaga sebuah sekolah  rendah di sini membuat bantahan secara aman di hadapan sekolah terbabit semalam.

Bantahan itu dilakukan akibat tidak berpuas hati dengan tindakan pihak bertanggungjawab menukarkan dua guru sekolah itu ke sekolah lain dengan alasan tidak munasabah.

Berikutan itu, murid, ibu bapa dan penjaga mogok lebih kurang sejam dan tidak mahu masuk ke dalam kelas pada hari pertama persekolahan sebelum dinasihatkan pihak bertanggungjawab untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Mereka mendakwa tindakan itu diambil kerana dua guru berkenaan dikatakan mengadu kepada pihak atasan berhubung dua pekerja am sekolah yang sebelum ini menerima kata-kata lucah daripada guru besar selain mengugut akan memberhentikan mereka.

Kejadian berlaku pada 25 September tahun lalu, apabila dua pekerja am berkenaan, R Komathy, 19 dan kakak iparnya, K Poopathy, 24, yang sedang membersihkan kawasan sekolah didatangi guru besar lalu menegur mereka.

Komathy mendakwa, guru besar itu menegur kakak iparnya, kenapa nampak letih dan guru besar itu memberitahu dia pandai mengurut kemudian mempelawa masuk ke biliknya.

“Dia juga memanggil kami untuk melihat dua ekor anjing yang sedang mengawan di luar pagar sekolah. Kemudian mengugut kami supaya tidak memberitahu perkara itu kepada orang lain.

“Jika kami maklumkan juga, kami akan diberhentikan kerja selain (guru besar) tidak akan menandatangani slip gaji kami. Jadi kami jadi takut, dan mengadu pada cikgu sekolah,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 27 September tahun lalu kerana bimbang akan keselamatan mereka berdua.

Nenek kepada seorang murid, C Parvathy, 46 berkata, dia kecewa dengan pertukaran dua guru terbabit kerana  mereka hanya mempertahankan maruah dua pekerja am itu.

“ Saya difahamkan, dua guru ini memaklumkan insiden berkenaan kepada pihak atasan berhubung tingkah laku guru besar itu,” katanya.

Bapa seorang murid, M Manivanan, 40 berkata, dia terkejut dengan pertukaran guru terbabit yang disifatkan sebagai tindakan mengejut.

“Kami tidak mahu guru besar yang seperti ini, iaitu mengeluarkan kata-kata tidak senonoh kepada orang lain, sepatutnya guru besar ini yang ditukarkan,” katanya.

Suami kepada salah seorang guru yang ditukarkan berkata, isterinya hanya diberitahu mengenai pertukaran itu seminggu sebelum sekolah dibuka.

“Saya juga begitu kecewa apabila mendapat tahu berita berkenaan. Isteri saya hanya mempertahankan maruah dua pekerja am ini sahaja. Bagaimanapun, saya mahu kes ini disiasat pihak atasan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli ketika dihubungi berkata, beliau akan menyemak insiden berkenaan dengan pihak berkenaan.

Nenek, cucu maut dirempuh kereta dipandu remaja 17 tahun – Bernama


Nenek, cucu maut dirempuh kereta dipandu remaja 17 tahun

2 Disember 2012

PENDANG – Seorang nenek dan cucu lelakinya maut akibat dirempuh kereta yang terbabas di Batu 13 3/4 Kampung Kobah dekat sini pagi tadi.

Nenek tersebut Munah Ismail, 64, serta cucunya itu Syahrul Fitri Shahrul Anuar, 5, serta seorang lagi cucu perempuannya Nurul Fitrah dikatakan sedang berjalan ke sebuah warung yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka untuk bersarapan pagi kira-kira 8.00 pagi.

Ketiga-tiga mereka yang berpimpinan tangan dirempuh sebuah kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu seorang remaja berumur 17 tahun yang datang dari arah Kota Sarang Semut menuju ke sini, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, ASP L. Pubadi.

Munah yang tercampak kira-kira 10 meter serta cedera parah di kepala meninggal di tempat kejadian manakala Syahrul Fitri yang juga cedera di kepala dan badan meninggal di Klinik Kesihatan Kota Sarang Semut ketika menerima rawatan.

Sementara Nurul Fitrah hanya cedera ringan di kepala mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum dibenar pulang.

Pubadi berkata seorang penunggang motosikal Mohd Jailani Abd Rahman, 43, dari Kampung Alor Besar, Bukit Raya dekat sini patah kaki kiri setelah dirempuh kereta yang sama.

Turut dirempuh ialah 10 buah motosikal lain yng diparkir berhampiran warung itu.

Beliau berkata pemandu kereta itu dikatakan cuba mengelak objek di tengah jalan sebelum hilang kawalan dan merempuh ketiga-tiga mangsa serta penunggang motosikal tersebut.

Katanya pemandu kereta berkenaan bersama teman wanitanya yang juga berusia 17 tahun turut mengheret sebuah lagi motosikal sebelum terbabas ke tepi jalan di arah bertentangan.

Pubadi berjata pemandu itu telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang sejurus selepas kejadian dan dia ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Setakat ini pihak kami menerima lima laporan daripada pemilik motosikal berhubung kemalangan itu dan sekiranya terdapat penunggang yang belum membuat laporan, mereka diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu suami kepada Munah, Ghazali Awang, 63, berkata dia yang berada di rumah pada mulanya merasa hairan melihat orang ramai tergesa-gesa ke warung tersebut, sejurus selepas isteri dan dua cucunya keluar dari rumah.

Katanya dia yang turut ke warung itu amat terkejut dan rebah apabila melihat isteri dan cucunya terbaring di atas jalan akibat kemalangan.

Mayat Munah dan cucunya kemudiannya dihantar ke HSB untuk dibedah siasat sebelum dituntut anggota keluarganya.

Jenazah mereka dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kobah petang ini. – Bernama

Nenek, cucu maut bersama – Metro


Nenek, cucu maut bersama

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Kegembiraan seorang wanita warga emas bersama cucunya yang baru bertemu saudara mereka di Klang berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut sejurus van yang dinaiki terbabit kemalangan di Persimpangan Bertingkat Setia Alam, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa, V Muniamah, 63, dan cucu lelakinya, M Vasan, 7, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk akibat tercampak lebih 10 meter.
Difahamkan, mayat Muniamah tercampak keluar dan terkena pada sebatang pokok tidak jauh dari tempat kejadian manakala mayat cucunya tercampak sebelum terkena pembahagi jalan.

 

Ketua Trafik Shah Alam, Deputi Superintendan Roslan Aziz berkata, kemalangan maut berkenaan dipercayai berpunca daripada tayar hadapan van tiba-tiba pecah sebelum meletup.
Akibatnya, van yang dinaiki lima sekeluarga berkenaan gagal dikawal sebelum melanggar pembahagi jalan.
Katanya, pemandu van, V Muniandy, 43, yang juga anak lelaki mangsa dan dua lagi anak saudara lelakinya masing-masing berusia 12 dan 14 tahun tidak cedera.

 

 

“Sebelum kejadian, van terbabit dalam perjalanan dari Plaza Tol Bukit Raja menuju Plaza Tol Setia Alam, di sini.
“Setibanya di susur keluar arah Setia Alam, tayar depan kiri van pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu bergesel pembahagi jalan sebelah kanan,” katanya.

Nenek, cucu rentung dalam kebakaran di Sandakan – Bernama


Nenek, cucu rentung dalam kebakaran di Sandakan

2012/04/17

SANDAKAN: Seorang wanita dan cucu perempuannya rentung apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Minusu Jalan Pinangah Kuamut, kira-kira 170 kilometer dari sini, semalam.

Mayat Jumah Gaurod, 48, dan Adriana Chrisdayehillyn, 6, ditemui rentung di bawah rangka kayu rumah itu.

Empat lagi penghuni rumah itu yang dikenali sebagai Fulgentius Welson, 27, Cornlius Radi, 26, Adrian Radi, 23, dan adik bongsu mangsa, Nicy Fulgentius, 4, berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin, berkata kebakaran pada 12 tengah malam itu berlaku ketika kesemua penghuni rumah berkenaan sedang tidur.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada 12.24 tengah malam dan hanya tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.15 pagi disebabkan lokasinya yang jauh.

“Ketika sebuah jentera dan dua kenderaan utiliti bersama sembilan anggota bomba tiba di tempat kejadian, rumah dua tingkat itu hanya tinggal rangka,” katanya.

Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. – BERNAMA