Remaja lari dari rumah perlindungan – Sinar Harian


Remaja lari dari rumah perlindungan

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Oktober 2012
lari dari rumah perlindungan
Keempat-empat remaja yang melarikan diri dari rumah perlindungan mendapat pertolongan dari bapa angkat salah seorang remaja itu.

BATU PAHAT – Empat remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun mendakwa menerima layanan buruk ketika ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Negeri Sembilan, sehingga bertindak melarikan diri 8 Oktober lalu.

Pada hari berkenaan, mereka sanggup berjalan kaki hampir 20 kilometer sebelum menumpang sebuah kenderaan.

Setibanya di Melaka kira-kira jam 4 petang, salah seorang daripada mereka kemudiannya menghubungi bapa angkatnya untuk menjemput mereka.

“Bapa angkat saya tiba pada jam 7 malam dan membawa kami pulang ke rumahnya.

“Kami tidak mahu pulang ke rumah tersebut walaupun bapa angkat memujuk ketika itu,” kata salah seorang remaja berkenaan.

Kumpulan empat remaja ini mendakwa tidak tahan dengan layanan yang diberikan oleh kakitangan di rumah perlindungan itu.

“Bukan sengaja kami melarikan diri, tetapi layanan buruk daripada kakitangan pusat perlindungan itu menyebabkan kami berempat tidak tahan lagi untuk tinggal di situ.

“Ada sahaja yang tidak kena sehingga perbuatan kasar itu menjadi rutin harian ,” katanya ketika ditemui di rumah bapa angkatnya di Kampung Parit Bengkok, Semerah, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, bapa angkat kepada salah seorang remaja itu, Mohd Yusof Othman, 51, berkata, dia berasa kesal sekiranya benar dakwaan yang dibuat oleh anak angkatnya itu.

“Saya sudah maklumkan kejadian ini kepada rumah perlindungan itu, namun pihak pengurusannya mahu saya menghantar mereka ke sana semula atau mengancam akan membuat laporan polis terhadap saya atas tuduhan melarikan remaja berkenaan.

“Saya tumpangkan keempat- empat remaja ini kerana risaukan keselamatan mereka, niat saya hanyalah untuk membantu, katanya.

Sementara itu, jurucakap rumah perlindungan berkenaan ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum dengan kejadian tersebut.

“Kami sedang jalankan siasatan berkaitan kes itu dan pihak kami tidak boleh mengulas lanjut,” katanya.

Remaja 15 tahun cederakan ibu, ugut guna sabit – Sinar Harian


Remaja 15 tahun cederakan ibu, ugut guna sabit
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Julai 2012

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang
TELUK INTAN – Niat seorang ibu menegur anaknya yang berusia 15 tahun tidak berpuasa pada bulan Ramadan, membawa padah apabila wanita itu nyaris ditetak di rumahnya di Chenderong Balai, di sini, petang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, wanita yang berusia 40-an itu terlihat anak lelakinya sedang makan lalu menegurnya.

Menurut Kok Liang, wanita itu menegur anaknya supaya tidak makan di hadapan adik-beradik yang lain kerana perbuatan itu tidak sopan dan teguran itu menyebabkan remaja berkenaan tidak berpuas hati.

“Teguran wanita itu mengundang kemarahan anaknya dan dia bertindak agresif dengan menumbuk muka serta mencekik leher wanita itu sehingga mengakibatkan kecederaan di beberapa bahagian wajahnya,” katanya.

Remaja berkenaan yang bekerja di kedai memproses ayam dekat sini, turut mengugut akan mencederakan wanita itu dengan lebih teruk kerana dia mengesyaki ibunya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Tambah beliau, wanita terbabit dikatakan dalam proses penceraian dengan ayah remaja berkenaan dan proses itu sudah berjalan kira-kira tiga bulan.

“Namun begitu, wanita itu menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh suspek sehingga menyebabkan suspek menjadi semakin berang dan bertindak mengambil sebilah sabit untuk tujuan mahu menetak ibu kandungnya sendiri.

“Wanita terbabit berusaha untuk melepaskan diri dan berjaya melarikan diri ke rumah jirannya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, wanita itu telah membuat laporan polis kelmarin, kira-kira jam 10 pagi dan berdasaran laporan yang dibuat, pihaknya melancarkan usaha mencari suspek.

“Suspek berjaya ditahan kira-kira jam 12 tengah hari pada hari sama ibunya membuat laporan.

”Suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda sekiranya sabit kesalahan,” katanya.