Nikmat limpahan rezeki – Metro


Nikmat limpahan rezeki
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Hari ini (semalam) cukup bermakna buat kami 13 beranak kerana berpeluang merasakan kenikmatan memiliki pelbagai barangan keperluan harian dan perkakasan rumah yang begitu banyak buat pertama kali hingga membanjiri ruang tamu kediaman.

“Saya sedar bukan mudah untuk menerima limpahan rezeki seperti ini dan hanya Tuhan yang mampu membalasnya,” kata seorang bapa kepada 12 anak, Zulkefli Jusoh, 47, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Rinting C, Masai di sini, semalam.
Keluarga Zulkefli dipilih untuk menerima sumbangan menerusi program Titipan Kasih Harian Metro selepas laporan berkaitan kesukaran hidup mereka tersiar di Harian Metro, semalam.

Zulkefli berkata, mereka sekeluarga akan menggunakan sumbangan diterima seperti wang, beras, susu, beg sekolah serta peralatan elektrik itu sebaik mungkin.
“Kunjungan wakil Harian Metro juga secara tidak langsung memberi sokongan moral kepada kami sekeluarga untuk berusaha meningkatkan taraf hidup.
“Saya gembira kerana tidak pernah melihat anak begitu ceria terutama anak ke-10, Rabiatul Adawiah yang berusia lima tahun yang begitu mahukan beg sekolah dan berhasrat ke taman didikan kanak-kanak (Tadika), namun kami masih tidak mampu menyekolahkannya.
“Barangan makanan disumbangkan ini pasti mampu menampung keperluan kami sempena Ramadan kelak,” katanya ketika menerima kunjungan wakil Harian Metro diketuai Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengarang Eksekutif (Berita), Othman Mamat.
Hadir sama, Pengarang Berita New Media, Munir An’am Zuljadan; Pengurus Projek Harian Metro, Abdul Kadir Hamza dan Ketua Biro Harian Metro Johor, Nazarali Saeril.

Sementara itu, Mustapa berkata, sebagai akhbar nombor satu, Harian Metro sentiasa mengambil pendekatan berada dekat di hati pembaca termasuk menjadikan Titipan Kasih sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menghulurkan sumbangan bertujuan meringankan beban golongan memerlukan.
“Menerusi program bulanan ini, kami mengenal pasti dan memilih keluarga yang kurang berkemampuan untuk menerima sumbangan,” katanya yang menambah, program itu diadakan sempena Karnival Futsal Harian Metro Zon Selatan di Sports Prima Pandan, Johor Bahru bermula hari ini dan esok.
Dalam laporan akhbar ini semalam, Zulkefli memaklumkan dia sanggup berjalan kaki sehingga 10 kilometer sehari, dua kali sehari, mencari barangan kitar semula bagi dijadikan modal membeli makanan harian keluarganya sejak bertahun lalu.