Anggota Kor Kadet Polis di sekolah dicadang sertai Kelab Pencegahan Jenayah – Bernama


Anggota Kor Kadet Polis di sekolah dicadang sertai Kelab Pencegahan Jenayah

 

19/06/2013 6:47pm

 

KUALA LUMPUR – Polis Selangor bercadang untuk membabitkan kesemua anggota Kor Kadet Polis di setiap sekolah di negeri ini ke dalam Kelab Pencegahan Jenayah.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, SAC Hassanuddin Hassan berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada Pejabat Pendidikan Negeri bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk membendung kes salah laku dalam kalangan remaja yang kini semakin membimbangkan, katanya selepas merasmikan perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Negeri Selangor 2013 di sini hari ini.

Hassanuddin berkata, statistik gejala sosial dalam kalangan remaja di Selangor pada tahun lepas menyaksikan 795 kes dicatatkan membabitkan jenayah kekerasan dan harta benda seperti bunuh, rompak, samun dan rogol.

“Pada tahun 2011, sebanyak 1,811 kes direkodkan dengan tangkapan 2,361 orang. Biarpun angkanya menurun, kita anggap isu ini merisaukan,” katanya.

Diwujud untuk menanam disiplin dan nilai-nilai murni di kalangan pelajar sekolah, Kor Kadet polis bagi Kontinjen Selangor kini mencecah keahlian lebih daripada 10,000 orang.

Seramai 750 anggota Kor Kadet Polis daripada 15 daerah di negeri ini mengambil bahagian dalam perkhemahan empat hari tiga malam bermula Ahad lepas. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_20.htm#ixzz2WfjJQpgi
Hakcipta terpelihara

Pertandingan Ungkapan Bahasa Melalui Media Baharu


Pertandingan Ungkapan Bahasa Melalui Media Baharu

Pertandingan Ungkapan Bahasa Melalui Media Baharu dibuka pendaftarannya sekarang sehingga tarikh tutup pada 10 Disember 2012. Maklumat Lanjut
Syarat-syarat Penyertaan                                       

1.  Penyertaan terbuka kepada semua warga Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) mengikut kategori yang berikut:
i.  Murid Sekolah Rendah
ii.  Murid Sekolah Menengah
iii.  Pendidik dan Bakal Pendidik
iv.  Pegawai dan Staf Sokongan Bahagian / JPN / PPD
2.  Tarikh penyertaan dibuka mulai 19/11/2012 hingga tarikh tutup
penyertaan pada 10/12/2012.
3.  Penyertaan adalah secara atas talian melalui Laman Sesawang KPM
atau Laman Sesawang IAB.
4.  Penyertaan adalah secara individu dan setiap peserta hanya boleh
menghantar satu (1) penyertaan sahaja.
5.  Ungkapan bahasa yang dicipta mestilah berdasarkan tema Bulan
Bahasa Kebangsaan 2012 iaitu “1Bahasa 1Bangsa 1Negara”.
6.  Ungkapan tersebut perlu mempunyai unsur-unsur falsafah, nilai-nilai
estetika, nilai-nilai murni dan berunsur pengajaran.
7.  Ungkapan bahasa yang disediakan tidak melebihi 12 patah perkataan
dan huraiannya pula tidak melebihi 100 patah perkataan.
8.  Setiap penyertaan mestilah hasil ciptaan sendiri dan jika terdapat
unsur-unsur plagiat penyertaan akan dibatalkan.
9.  Keputusan pertandingan akan diumumkan di Laman Sesawang KPM
dan Laman Sesawang IAB. Peserta yang berjaya akan dihubungi oleh
pihak urus setia.
10.  Keputusan panel hakim adalah muktamad.

** Pihak urus setia tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.


Hadiah yang ditawarkan

Hadiah berupa wang tunai dan sijil penyertaan untuk setiap kategori:
Tempat Pertama
Tempat Kedua
Tempat Ketiga
Saguhati (10 peserta)

ppt@iab.edu.my/mni

Pertandingan tulis surat 1Malaysia tawar 10% markah kokurikulum – Bernama


Pertandingan tulis surat 1Malaysia tawar 10% markah kokurikulum

2012/05/21

KUALA LUMPUR: Peserta pertandingan menulis surat 1Malaysia anjuran Pos Malaysia akan menerima 10 peratus daripada markah penilaian kokurikulum sekolah, kata Penolong Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran, Siti Khadijah Mion.

Bercakap pada sidang akhbar Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia di sini hari ini, beliau berkata, jawatankuasa pertandingan bersetuju dengan peratusan markah itu bagi menghargai penyertaan pelajar sekolah dalam program itu.

Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia terbuka kepada semua pelajar di seluruh negara berusia 9 hingga 17 tahun bermula 1 April hingga 2012.

Hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 menanti pemenang dalam bentuk Sijil Simpanan Premium.

Pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan itu menerusi laman web http://www.pos.com.my dan http://www.facebook.com/surat1malaysia atau di talian 03-2267 2206.

Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat Pos Malaysia, Datuk Rohaiza Hashim yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata pertandingan yang dimulakan pada 2010 hingga 2014 itu merupakan sebahagian strategi Pos Malaysia memartabatkan penulisan surat dalam bahasa Melayu.

Pertandingan tahun ini bertemakan nilai-nilai murni.
Tahun ini adalah tahun ketiga ia dianjurkan. Tema pertandingan pada tahun pertama ialah perpaduan dan tema tahun kedua ialah kemerdekaan. – BERNAMA

Kenali Diri tingkat potensi pelajar – Utusan


Kenali Diri tingkat potensi pelajar

 

pendidikan@utusan.com.my

 

PESERTA Program “Kenali Diri bersama Vale” bekerjasama sebagai satu pasukan dalam cabaran mengisi air menggunakan span pada Kem Pelajar selama 10 hari itu.

 

Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB

Syarikat perlombongan Vale telah berjaya menganjurkan Kem Pelajar selama 10 hari “Kenali Diri bersama Vale” yang melibatkan kira-kira 170 pelajar daripada tiga buah sekolah sekitar kawasan Manjung, Perak.

Tiga buah sekolah yang terlibat itu termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Boestamam, SMK Convent dan Sekolah Kebangsaan (SK) St. Francis.

Ketua Projek Vale, Sunil Yadav berkata, kem itu diadakan bertujuan untuk memperkenalkan pelajar dengan program kepimpinan dan pembentukan pasukan merangkumi Youth Adventure Course (YAC) bagi pelajar sekolah menengah dan Children Adventure Course (CAC) bagi murid sekolah rendah.

“Kami amat berbangga bekerjasama dengan golongan muda seperti pelajar ini iaitu daripada peringkat akar umbi agar nilai-nilai murni yang mahu disampaikan dapat membantu dalam membentuk perkembangan peribadi mereka,” katanya pada program itu di Manjung, Perak, baru-baru ini.

Kem berkenaan terdiri daripada tiga sesi kursus, program pengajaran sepanjang hari, kem pelajar selama 10 hari dan Kursus Mingguan Pelajar yang kesemuanya diadakan bertempat di Teluk Batik, Lumut, Perak.

Inisiatif berterusan ini bermatlamat untuk menghulurkan bantuan kepada 420 pelajar kurang bernasib baik berumur antara 10 hingga 16 tahun dari daerah Manjung.

Menurutnya Sunil lagi, program ‘Kenali Diri bersama Vale’ ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bersempena Outward Bound Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Manjung.

“Objektifnya adalah untuk menggalakkan perkembangan peribadi dan kemahiran sosial di kalangan pelajar-pelajar kurang bernasib baik serta mengajar mereka tentang kemahiran diri, ikhtiar hidup dan kepimpinan melalui kursus, ekspedisi mencabar dan aktiviti luar,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pihak kami akan terus aktif bersama masyarakat di daerah ini dan bakal mengadakan pelbagai inisiatif CSR yang lain pada 2012.

“Program ‘Kenali Diri bersama Vale’ ini adalah inisiatif sepanjang tahun yang diadakan antara Vale dan Outward Bound Malaysia yang bermula pada November 2011 dan berakhir pada Oktober 2012,” katanya lagi.

Sementara itu, pelajar tingkatan empat dari SMK Ahmad Boestamam yang menyertai kem itu, Mohd. Syah Ryzan Abdullah berkata, aktiviti yang diadakan sepanjang kem selama 10 hari itu sangat menarik dan menyeronokkan.

“Saya bersama ahli kumpulan yang lain mempelajari pelbagai perkara baru termasuklah tentang kerja berpasukan yang begitu penting kerana tanpa kerjasama daripada setiap ahli, kami tidak mungkin mampu menyelesaikan tugasan yang diberikan,” ujarnya.