Sekolah digalak adakan program tingkat prestasi pelajar – Utusan


Sekolah digalak adakan program tingkat prestasi pelajar

KUALA LUMPUR 12 Mei – Langkah pengurusan sekolah mengadakan pelbagai program bagi membangkitkan semangat pelajar untuk terus cemerlang dalam akademik amat dialu-alukan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Raja Datuk Hanipuddin Raja Datuk Nong Chik berkata, usaha itu perlu bagi memastikan para pelajar mempunyai nilai tambah sebelum menamatkan persekolahan mereka.

“Langkah menganjurkan program bertujuan mendedahkan para pelajar dengan ilmu tambahan sepatutnya dilakukan secara berterusan.

”Dengan adanya usaha sebegitu sudah tentu dapat mendedahkan pelajar kepada bidang kerjaya yang lebih luas,” katanya pada majlis perasmian Seminar Penulisan Kreatif Sekolah Menengah Taman Datuk Harun di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Khas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, Datin Wong Fong Leng.

RM2.5 juta bina SMJK Chong Hwa – Utusan


RM2.5 juta bina SMJK Chong Hwa

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chong Hwa Jalan Gombak di sini bagi pembinaan bangunan baru sekolah tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah meluluskan model pembangunan projek bagi menggantikan bangunan sekolah yang sudah lama.

“Peruntukan yang diberikan itu merupakan sebahagian daripada sumbangan kerajaan melalui Belanjawan 2012 untuk sekolah jenis kebangsaan Cina.

“Sebagai Ah Jib Gor (abang), saya nak beri angpau kepada sekolah ini sebagai sumbangan ikhlas kepada rakyat,” katanya semasa melawat sekolah berkenaan dalam Program Turun Padang ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Timbalannya, Datuk M. Saravanan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan Pengerusi BN Wangsa Maju, Datuk Mohd. Shafei Abdullah.

Najib turut mengumumkan sambutan baik masyarakat Cina terhadap akaun laman sosial Facebook bahasa Cinanya iaitu ‘Ah Jib Gor’ yang bermaksud Abang Najib mempunyai 12,000 pengikut selepas tiga hari dibuka.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sokongan berterusan daripada rakyat penting untuk memastikan program transformasi yang dirancang kerajaan dilaksana dalam usaha negara mengejar status negara maju.