Noraini akan ke sekolah semula – Kosmo


Noraini akan ke sekolah semula
Oleh TOREK SULONG
berita@kosmo.com.my
BACHOK – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok bersedia menyalurkan bantuan kepada keluarga Esah Ya, 50, yang dihimpit kemiskinan termasuk dihalau ibu saudara kandungnya keluar dari rumah pusaka datuknya di Kampung Changgung dekat sini baru-baru ini kerana perbezaan fahaman politik.

Pegawai Pelajaran Daerah, Saupi Majid berkata, bantuan yang boleh disalurkan adalah membantu anak bongsu keluarga berkenaan, Noraini Che Mohd. Nor, 16, menyambung semula persekolahan.

Beliau berkata, adalah tidak munasabah masalah kemiskinan keluarga menyebabkan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Nipah itu terpaksa berhenti sekolah.

“Pihak kami hanya mengetahui kes ini menerusi laporan media baru-baru ini dan saya yakin pihak sekolah tidak membuang pelajar terbabit dalam senarai pendaftaran pelajarnya.

“Kami akan meneliti laporan pihak sekolah berkaitan perkara ini,” katanya ketika dihubungi semalam.