Tiga anak yatim dakwa didera – Sinar Harian


Tiga anak yatim dakwa didera

ZAIRUL AFIZA HAMZAH
28 Februari 2012
dera

TEMERLOH  – Tiga penghuni sebuah rumah kebajikan anak yatim di sini dikejarkan ke hospital pagi semalam selepas dikatakan didera beberapa kakitangan rumah kebajikan tersebut.

Dua daripada mereka masih menerima rawatan di Hospital Sultan haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini sementara seorang dibenarkan keluar beberapa jam selepas menerima rawatan di wad kecemasan hospital tersebut.

Kejadian dipercayai berlaku beberapa minggu lalu dan terbaru semalam sebelum salah seorang mangsa menghubungi ibunya yang menetap di Puchong, Selangor yang kemudian bergegas ke rumah kebajikan terbabit menyelamatkan anak bersama dua rakannya.

Kesemua mereka bagaimanapun diselamatkan ibu salah seorang penghuni yang nekad membawa anaknya keluar 2.30 pagi semalam.

Siti Normala Shamsuddin, 47, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya, Nur Izzati Ngah, 14, malam semalam mengenai kejadian dan terus memandu kereta ke Temerloh bersama keluarganya.

Menurutnya, sebaik sampai dia terpaksa menipu kakitangan rumah kebajikan tersebut dalam usaha membawa anaknya bersama dua rakannya dipercayai didera keluar dari rumah itu.

“Saya lihat kesan lebam pada lengan dan tangan anak, sebelum ini dia ada mengadu, tetapi saya tidak kisah kerana anggap memang salah dia tetapi apabila kerap sangat tengok keadaan anak lebam saya nekad membawanya keluar.

“Saya kemudian terus buat laporan polis, dan hantar anak serta kawannya ke hospital,” katanya semalam.

Nur Izzati berkata, dia dicubit di lengan dan kepalanya terhantuk ke besi katil selepas melawan kata kakitangan rumah yang kerap memarahinya.

“Beberapa kawan saya juga didera dengan besi katil dan dicubit seorang kakitangan rumah kebajikan ini tanpa sebab.

“Dua kawan saya ini masih dirawat di hospital, seorang masih dirawat dan seorang lagi masih ditahan sebab waris gagal dikesan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada seorang lagi mangsa Zawiyah Yahya 42, dari Kampung Paya Keladan di sini tidak dapat menerima kenyataan anaknya Siti Hajar Aishah, 14, menjadi mangsa dera.

Menurutnya, anaknya ada mengadu kepadanya didera sejak setahun lalu oleh kakitangan rumah kebajikan terbabit.

“Dia pernah cerita didera sebab lambat turun dari asrama untuk pergi belajar, dicubit di lengan dan disimbah air kerana lambat bangun pagi. Sekarang saya masih di wad menunggu pemeriksaan doktor kerana anak masih mengadu sakit di lengan.

“Niat saya hantar dia supaya dapat didikan agama di sini, tetapi lain pula jadinya, sekarang saya serahkan perkara ini kepada polis untuk jalankan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan R Sundralingam berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan kes berkenaan.