Dua Adilla dapat 5A – Sinar Harian


Dua Adilla dapat 5A

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 November 2012
Ardilla Balqis bersama ahli keluarganya.
Ardilla Balqis bersama ahli keluarganya.
Nur Adilla bersama ayahnya, Jamsari.
Nur Adilla bersama ayahnya, Jamsari.

TELOK KEMANG – Walaupun berbeza latar belakang, namun itu bukan penghalang kepada dua sahabat  untuk memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan, semalam.

Dua sahabat yang mempunyai nama timangan sama iaitu Adilla adalah antara sembilan murid di SK Telok Kemang memperoleh keputusan 5A.

Nur Adilla Jamsari anak kepada seorang buruh manakala Ardilla Balqis Othman anak kepada seorang doktor.

Nur Adilla berkata, sebelum ini, dia pernah menghadiri kelas tambahan selama dua bulan tetapi mengambil keputusan untuk berhenti kerana tumpuan pembelajarannya terganggu.

“Sebenarnya saya lebih selesa belajar di sekolah sahaja selain menyiapkan semua kerja sekolah dan melakukan latihan tambahan sendiri bagi semua mata pelajaran.

“Jika ada yang tidak faham, saya akan segera bertanya kepada guru,” katanya.

Sementara itu, Ardilla Balqis berkata, dia juga tidak menghadiri sebarang kelas tambahan dan lebih gemar belajar bersendirian.

“Apabila kita memberi tumpuan di dalam kelas lebih 90 peratus yang diajar oleh guru akan mudah difahami dan tidak perlu ada kelas tambahan,” katanya.

Bapa Nur Adilla, Jamsari Yatni,47, berkata, dia sangat gembira dengan pencapaian cemerlang anak ketiganya itu.

“Saya melihat Adilla  seorang anak yang bersungguh-sungguh dalam mendapatkan sesuatu diinginkan. Saya  bangga dengannya,” katanya.

Manakala ayah Ardilla Balqis, Othman Suleiman, 51, berkata, dia sentiasa mengutamakan pendidikan anak-anaknya.

“Di rumah saya menyediakan alatan pembelajaran secara santai iaitu audio visual,” katanya.

SK Telok Kemang mencatatkan peningkatan peratusan kelulusan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu iaitu 68.9 peratus.

Sementara peningkatan dalam Gred Purata Sekolah juga meningkat dari 2.29 pada tahun lalu kepada 2.25 pada tahun ini.