‘Kamu mohon maaf’ – Metro


‘Kamu mohon maaf’

 0  1 Google +0  0  0

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang guru diperintah membayar kompaun RM1,000 kepada suami bekas isterinya atas tuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan mengacu parang, Oktober tahun lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad turut memerintahkan Raja Kechik Raja Omar, 52, membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Abd Malek Harun, 53 yang bekerja sebagai peniaga selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan.
Raja Kechik turut diminta membaca permohonan maaf mengikut bacaan teks secara terbuka terhadap mangsa di mahkamah.

 

Selepas membaca teks permohonan maaf berkenaan, Raja Kechik menyerahkan wang kompaun RM1,000 itu kepada mangsa sebelum saling bersalaman.
“Saya ingin berpesan kita ada undang-undang dan masalah perlu diselesaikan secara baik,” nasihat Nik Habri.
Mengikut pertuduhan, Raja Kechik didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Abd Malek Harun, 53, dengan mengacukan parang terhadap mangsa dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Tunjung Dalam di sini, pada jam 10 malam, 28 Oktober 2012.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 32 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Liyana Md Zukri mengendalikan kes pendakwaan.

 

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa berada di rumah isterinya tiba-tiba bekas suami kepada isteri mangsa iaitu Raja Kechik menjerit dan menghalau Abd Malek keluar dari rumah.
Dia turut mengambil parang dan mengacu ke arah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/15