Tiga anak hilang upaya selepas terbabit dalam kemalangan – Sinar Harian


Tiga anak hilang upaya selepas terbabit dalam kemalangan

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 November 2012
3 anak hilang upaya
Aminah cekalkan hati supaya anaknya sentiasa tabah menempuh dugaan hidup.

MARAN – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah nasib seorang ibu tunggal kematian suami tercinta yang meninggal dunia selepas sebulan koma akibat kemalangan pada 15 Jun lalu.

Lebih malang, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga anaknya mengalami kecederaan serius dengan seorang daripadanya lumpuh seluruh badan dan cacat penglihatan serta patah kaki.

Kini si isteri bertungkus-lumus bersendirian menanggung tugas sebagai ketua keluarga bagi menyara lima anaknya.

Balu kepada kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuari Pekan Awah itu, Aminah Awang Engit, 42, berkata, ketentuan Ilahi diterima dengan reda, namun hatinya bimbang setiap kali memikirkan nasib anaknya itu.

Menurutnya, dia amat memerlukan bantuan sara hidup dan keperluan lain bagi menampung perbelanjaan harian mereka.

“Ketika kemalangan di Lebuh Raya Pantai (LPT) dekat Tol Kuantan itu, saya dan arwah suami, Abdul Rahim Abdul Rahman, serta tiga anak dalam perjalanan ke jabatan sukan di Balok.

“Manakala, dua anak lagi iaitu yang sulung berusia 17 tahun dan kedua, 14 tahun tidak ikut sekali,” katanya.

Akibat kemalangan itu kata Aminah, anak ketiganya, Nurul Ain Atikah, 12, patah kaki kanan dan terpaksa menjalani pembedahan memasukkan skru penyokong.

Manakala anak keempat, Abdul Arif, 10, cacat penglihatan selepas mengalami gangguan saraf akibat kecederaan dalam kemalangan tersebut.

Sementara itu, anak bongsunya, Abdul Muhaimin, 8, yang koma selama tiga bulan selepas kemalangan kini lumpuh seluruh badan dan tidak lagi boleh bercakap.

Perlu wang tampung kos lampin pakai buang, susu

AMINAH berkata,kos perbelanjaan susu dan lampin pakai buang untuk anak bongsu itu mencecah RM900 sebulan.

Menurutnya, gangguan saraf otak menyebabkan Abdul Muhaimin lumpuh badan dan bernafas melalui lubang di leher yang ditebuk, selain hanya bergantung kepada susu khas.

“Harga setin susu khas RM38.20 dan hanya boleh bertahan sehari semalam sahaja.

“Alat menyedut kahak dan tilam elektrik ini saya pinjam dari Jabatan Sosial Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tempoh tiga bulan sahaja,” katanya.

Kata Aminah, dia terpaksa cekalkan hati melihat penderitaan anak-anaknya.

“Hanya Tuhan tahu betapa sedih saya melihat penderitaan mereka, namun saya reda dengan ujian ALLAH SWT kerana percaya ada hikmah terselindung di sebalik semua ini,” katanya.

Aminah berkata, biarpun anak bongsunya itu lumpuh, namun dia mengerti mereka kini sudah kehilangan tempat bergantung.

Katanya, Abdul Muhaimin akan menatap gambar arwah ayahnya setiap hari dengan memberi isyarat tanda rindu.

Menumpang di rumah keluarga

AMINAH lima beranak yang sebelum ini tinggal di Kampung Baru Chenor kini menumpang di rumah keluarga mereka di Kampung Sungai Ling. Katanya, dia tidak mempunyai sebarang pendapatan dan tidak berupaya keluar bekerja kerana perlu memberi perhatian penuh kepada anak bongsu yang terlantar itu.

“Walaupun tinggal dengan ibu bapa, tetapi mereka hanya mampu menanggung makan minum kami lima beranak.

“Keperluan lain termasuk persekolahan anak-anak di bawah tanggungan saya sendiri,” katanya. Aminah kini hanya bergantung sepenuhnya pada wang pencen arwah suami sebanyak RM668 sebulan dan ia memang tidak mencukupi.

Rayu bantuan sara hidup

“SAYA harap permohonan dikemukakan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat diluluskan demi meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

UPSR: Anak tukang rumah dapat 5A – Sinar Harian


UPSR: Anak tukang rumah dapat 5A

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 November 2012
upsr
Nurul Ain (dua dari kiri) yang memegang slip peperiksaan UPSR kelihatan begitu teruja ketika berkongsi kejayaan bersama ibunya, Fatimah di rumahnya, dekat Kampung Nyior.

DUNGUN – Gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan percubaan tidak menghalang seorang anak tukang rumah meningkatkan usaha bagi mendapat keputusan lebih baik dalam peperiksaan sebenar.

Hasilnya, Nurul Ain Rosli, 12, berjaya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) biarpun sekadar mencatat 4A dalam peperiksaan percubaan sebelumnya.

Berkongsi kejayaannya, Nurul Ain berkata, keadaan taraf hidup yang serba sederhana dengan bapanya bekerja sebagai buruh kampung menjadi motivasi kepadanya untuk mencipta kecemerlangan dalam akademik.

Menurutnya, sukar bagi dirinya untuk mengubah nasib keluarga sekiranya dia tidak belajar dengan bersungguh-sungguh. Setiap hari saya hanya memperuntukkan satu jam setengah untuk mengulang kaji pelajaran.

“Sejak saya dapat 4A dalam peperiksaan percubaan, saya lipat gandakan usaha sehingga ia menjadi kenyataan hari ini apabila saya berjaya memperoleh 5A,” kata Nurul Ain yang merupakan anak kedua daripada enam beradik.

Turut berkongsi kegembiraan, ibunya, Fatimah Mahmud, 41, berkata, dia bersyukur kerana anak perempuannya itu berjaya dalam pelajaran.

“Terima kasih kepada guru-guru yang banyak membimbing anak saya sehingga berjaya.

“Saya harap kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuknya mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Nurul Ain merupakan salah seorang daripada enam murid Sekolah Kebangsaan Kampung Nyior yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR yang diumumkan, semalam.

Jurutera, guru maut langgar lori – Utusan


Jurutera, guru maut langgar lori

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

Elly Zafira Shahrunan (kanan) berkata sesuatu kepada Nurul Ain Suhari ketika mereka menunggu untuk menuntut jenazah suami masing-masing di Hospital Melaka, semalam.
ALOR GAJAH 27 Ogos – Seorang jurutera dan seorang guru yang juga bekas pemain hoki kebangsaan maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan termasuk sebuah lori dan sebuah treler di Kilometer 197.3 Lebuh Raya Utara Selatan, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.45 pagi itu, Muhammad Farid Mazlan, 27, yang merupakan seorang jurutera maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya melanggar sebuah lori yang berhenti di tengah jalan selepas terlibat kemalangan.

Ketika nahas itu, Muhammad Farid dalam perjalanan dari rumahnya di Nilai, Negeri Sembilan ke Johor Bahru, Johor.

Cuba perkosa anak rakan – Metro


Cuba perkosa anak rakan
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan cuba merogol anak perempuan rakannya berusia lapan tahun dua bulan, bulan lalu.

Choong Kong Yew, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di depan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Dia didakwa cuba merogol kanak-kanak itu di depan tandas ruang dapur sebuah rumah di Taman Sri Segambut Indah, Batu 5, Jalan Ipoh di sini, jam 5.30 petang, 29 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e)/511 Kanun Keseksaan dan memandangkan ia membabitkan mangsa berusia bawah 12 tahun, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N Jayanthi membantah sebarang jaminan, namun dibantah peguam mewakili tertuduh, S Narasimhan.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012

Netbook bantu dapat 6A – Metro


Netbook bantu dapat 6A
JITRA: “Alhamdulillah, kemudahan komputer netbook 1Malaysia yang diberikan kerajaan membantu saya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lalu,” kata Nurul Ain Najwa Baharum, 16.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh itu, berkata dia bersyukur dengan pemberian komputer netbook yang diidamkan dan sangat berguna untuk mengulangkaji pelajaran.
Dia yang mendapat keputusan 6A 2B dalam PMR tahun lalu, berkata, komputer netbook yang diterima sejak pertengahan tahun lalu itu banyak membantunya mengulangkaji pelajaran menjelang peperiksaan selain menyiapkan tugasan sekolah.

“Sebelum ini, saya meluangkan masa selepas waktu sekolah untuk menggunakan kemudahan Internet di pusat akses di sekolah untuk mencari maklumat dan menyiapkan kerja sekolah.
“Saya tidak mempunyai pilihan lain pada waktu itu memandangkan tiada kemudahan kafe siber berdekatan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wang Tepus, dekat sini, semalam.
Nurul Ain yang juga anak yatim itu berkata, sejak memiliki netbook itu semua tugasan sekolah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan teratur.

Menurutnya, dia bersyukur kerana abangnya sanggup mengeluarkan belanja bagi memasang kemudahan WiFi di rumahnya bagi mengakses Internet.
“Saya berpeluang mempelajari kaedah pembelajaran mudah Matematik menerusi laman web tertentu selain melihat contoh karangan,” katanya.

Sementara itu, ibu Nurul Ain, Halijah Abdullah, 54, berkata pendapatannya sebagai penoreh getah tidak menentu selain tidak mencukupi untuk membeli komputer netbook berkenaan untuk kegunaan anak bongsunya.