Nurul Fatihah jalani MRI – Sinar Harian


Nurul Fatihah jalani MRI
WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Jun 2012

3 beradik menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan serta
penjagaan rapi perlu bantuan
SHAH ALAM – Pesakit kanser tulang, Nurul Fatihah Zanery Adam, 8, perlu menjalani pemeriksaan imbasan magnetik resonan (MRI) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), hari ini.

Kanak-kanak itu dimasukkan ke dalam wad jam 11 pagi semalam ditemani ibunya, Adiana Othman, 34. Adiana berkata, anak bongsunya perlu dibedah dengan segera bagi membuang ketumbuhan di tulang lehernya yang semakin membengkak.

“Kos keseluruhan pembedahan kira-kira RM1,700 atau mungkin lebih besar. Namun, anggaran tersebut masih dalam perbincangan dan tidak pasti kos sebenar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Adiana berkata, kos untuk MRI sahaja mencecah RM700 namun kos keseluruhan pembedahan masih tidak diketahui.

“Saya juga dimaklumkan bahawa doktor pakar yang akan merawat Fatihah belum tiba bagi menetapkan jumlah yang perlu kami bayar kepada PPUKM,” katanya.

Adiana menjelaskan PPUKM tidak menerima surat sekolah untuk membiayai kos pembedahan.

Katanya, keadaan Nurul Fatihah dilaporkan stabil walaupun mengalami sakit di bahagian belakang badan.

“Tetapi Nurul Fatihah tetap aktif bergerak ketika dalam wad,” katanya. Bagaimanapun, Adiana turut melahirkan rasa risau dengan keadaan dua lagi anaknya yang terpaksa ditinggalkan di rumah apabila dia menemani Nurul Fatihah di hospital.

“Tetapi saya bernasib baik ibu mentua tinggal berdekatan dengan rumah kami dapat menjaga dua beradik itu kerana suaminya, Zanery Adam, 34, tidak dapat menjaga anakanak atas urusan pekerjaan,” katanya.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan penderitaan tiga beradik yang menghidap penyakit kronik yang memerlukan rawatan segera sehingga semalam, menerima sumbangan orang ramai sebanyak RM11,488.

Kesukaran tiga beradik iberkenaan turut mendapat simpati Ketua Pemuda Umno Selayang, Datuk Sohaimi Shahdan yang hadir menghulurkan bantuan dan sokongan moral.

Justeru itu, rakyat yang prihatin dan berhasrat untuk memberi sumbangan meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi 013-2934873 atau menerusi akaun Maybank 162508103642 milik Adiana