Budak tiru aksi ‘superman’ lemas – Utusan


Budak tiru aksi ‘superman’ lemas

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 26 Mac – Perbuatan tiga kanak-kanak bermain di dalam longkang besar berarus deras dengan cuba meniru aksi ‘superman’ yang sedang ‘terbang’ sambil berpaut di sebatang paip di situ membawa padah selepas seorang daripada mereka mati lemas semalam.

Mangsa, Muhammad Aliff Ahmad, 11, bermain dengan dua sahabatnya di kawasan perumahan mereka di Taman Puteri Resort di sini pukul 3 petang sebelum tiba-tiba tangannya terlepas pegangan paip itu lalu dihanyutkan arus deras.

Mayat mangsa ditemukan orang awam pada pukul 10 pagi ini dalam keadaan terapung di Sungai Kimkin, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah dihanyutkan arus selepas terlepas pautan tangannya pada batang paip tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130327/je_02/Budak-tiru-aksi-superman-lemas#ixzz2Oh6S2L1l
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tangani masalah bateri e-Book – Sinar Harian


Tangani masalah bateri e-Book

NURUL HUDA HUSAIN
21 Januari 2013
Tangani masalah bateri e-Book
Ahmad Razif (dua, kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang ibu bapa

KUALA NERUS – Kerajaan Negeri akan menangani segera masalah bateri e-Book yang tidak boleh bertahan lama bagi memastikan ia dapat digunakan sepanjang tempoh pembelajaran pelajar di semua sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif berkata, pihaknya akan berunding dengan Top IT mengenai langkah penyelesaian bagi memastikan bateri e-Book itu dapat digunakan dalam tempoh yang lama.

“Kita akan bincang dengan pegawai teknologi yang terlibat tentang bagaimana cara untuk memastikan bateri e-Book dapat bertahan dengan lebih lama kerana, kita ada menerima aduan yang mengatakan ada sebahagian e-Book yang digunakan pelajar mengalami masalah bateri.

“Ini kerana, Kerajaan Negeri memandang serius penggunaan e-Book dan kita juga sedang meneliti untuk turut menggunakan bahan pembelajaran itu dalam Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Dun Seberang Takir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, di sini, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sememangnya fokus serius terhadap penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sejajar dengan usaha untuk merealisasikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.

Sehubungan itu, beliau turut meminta semua ibu bapa agar memainkan peranan untuk memantau penggunaan e-Book oleh anak-anak ketika berada di rumah,  bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk aktiviti yang kurang sihat.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan seramai 888 murid menerima bantuan wang tunai RM100 setiap seorang dan kebanyakan bapa yang ditemui turut menyatakan rasa syukur dan terima kasih dengan bantuan yang diterima.

Didukung untuk ke sekolah – Sinar Harian


Didukung untuk ke sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013
Didukung untuk ke sekolah
Mohd Razi mendukung Normadihah untuk ke sekolah sambil diperhatikan ibunya, Fauziah Omar di halaman rumahnya yang masih digenangi air banjir di Kampung Bendang Pak Yong.

TUMPAT – Hari pertama persekolahan Normadihah Mohd Razi, 11, tidak seperti murid lain apabila dia terpaksa didukung bapanya meredah air banjir sejauh lebih lima meter untuk ke rumah jiran sebelum menaiki motosikal ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pak Yong.

Walaupun sesi persekolahan sudah bermula dua minggu lalu, tetapi bagi Normadihah baru dapat hadir mendaftarkan diri di sekolah tersebut berikutan rumahnya masih digenangi air sedalam hampir satu meter.

Bapanya, Mohd Razi Awang, 51, berkata, dia terpaksa mendukung anaknya meredah air banjir kerana khuatir baju dan kasut sekolah yang dipakai anaknya basah.

“Persekitaran rumah saya masih digenangi air, terpaksalah mendukung anak ke tempat motosikal yang ditinggalkan di kawasan tinggi di rumah jiran.

“Dengan menunggang motosikal, terpaksa pula meredah air deras kerana masih ada jalan yang ditenggelami air untuk ke SK Bendang Pak Yong ini,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Mohd Razi berkata, sepatutnya dia perlu mendaftarkan persekolahan anaknya pada hari Selasa minggu lalu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana dia terperangkap dalam banjir.

“Bahaya untuk saya keluar dari rumah membawa anak ke sekolah dengan perahu kerana air sangat dalam serta deras.

“Lagipun untuk ke sekolah jaraknya hampir satu kilometer, tidak selamat untuk mereka meredah arus deras menaiki perahu.

“Hari ini, walaupun terpaksa mendukung anak, saya nekad kerana khuatir dia tercicir pelajaran,” katanya yang tinggal di Kampung Bendang Pak Yong.

SK Bendang Pak Yong antara tiga sekolah di daerah ini iaitu SK Simpangan, SK Teluk Jering dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda ditangguhkan sesi persekolahannya yang sepatutnya dibuka 1 Januari, tetapi ditunda pada 3 Januari berikutan banjir.

Bagaimanapun sesi persekolahan pada 3 Januari, murid di empat sekolah terbabit dikerahkan balik awal apabila paras air sungai meningkat berikutan banjir gelombang kedua melanda.

Sesi persekolahan pada 6 dan 7 Januari terpaksa ditangguhkan kerana banjir gelombang kedua masih belum surut dan hari ini (semalam) sesi persekolahan dibuka seperti biasa.

Sementara itu Guru Besar SK Bendang Pak Yong, Mohd Arifin Samad berkata, hanya 199 murid hadir ke sekolah semalam, bagi sesi persekolahan minggu ke dua selepas sekolah ini ditutup dua hari lalu berikutan banjir gelombang kedua.

“277 murid lagi tidak hadir kerana keadaan banjir di sini masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.

3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah – Sinar Harian


3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Januari 2013
3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah
Kawasan rendah di sepanjang Sungai Golok masih digenangi air.

RANTAU PANJANG – Seramai 3,918 pelajar di lapan sekolah di Kelantan tidak dapat meneruskan persekolahan, apabila lapan sekolah masih ditutup setelah dinaiki air serta jalan ke sekolah terputus hubungan.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, empat sekolah terlibat di Tumpat sementara empat lagi di Pasir Mas.

Menurutnya, sekolah di daerah Pasir Mas yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah, Bonggor, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah Siram, Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang.

“Di Tumpat pula SK Simpangan, SK Bendag Pak Yong, SK Teluk Jering dan SABK Nurul Huda.

“Sekolah lain beroperasi seperti biasa dan pihak kami sedang memantau keadaan untuk melihat sekolah yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, petang semalam.

Kelmarin, SK Sri Rantau Panjang 1 dan  SK Sri Rantau Panjang 2 yang turut dinaiki air telah dibuka semula hari ini.

Sementara itu, jalan di Kubang Rambutan yang dinaiki air serta tidak dapat dilalui kenderaan ringan sudah boleh dilalui semua kenderaan.

Paras Air Sungai Golok sehingga jam 5 petang 9.52 meter dan masih melebihi paras bahaya 9 meter.

Tiga beradik kronik masih dirawat – Sinar Harian


Tiga beradik kronik masih dirawat

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 September 2012
Zanery Adam (kiri) melayan anak bongsunya, Nur Fatihah sambil diperhatikan isterinya, Adiana.
Zanery Adam (kiri) melayan anak bongsunya, Nur Fatihah sambil diperhatikan isterinya, Adiana.

SELAYANG – Keadaan tiga beradik Nurul Huda Zanery, 12, Muhammad Amir Zanery, 11 dan Nur Fatihah Zanery, 8 yang masing-masing dikesan menghidap penyakit kronik masih menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan dari Hospital Selayang dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Khabar gembira kepada adik Muhammad Amir yang mempunyai potensi untuk pulih dan tidak perlu bergantung kepada penggunaan tiub seumur hidup melalui beberapa pembedahan kecil secara berperingkat.

Menurut ibunya, Adiana Othman, 34, pada 14 September ini, anaknya itu akan menjalani ujian imbasan magnetik resonan (MRI) sebelum membuat pembedahan kecil di tulang belakangnya dijangka Oktober ini dan kos itu dirahsiakan pihak hospital serta dibiayai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal.

“Pembedahan kecil itu bukan sahaja untuk mengurangkan penggantungan Muhammad Amir dengan penggunaan tiub semasa membuang air kecil tetapi dijangka dapat mengatasi masalah kebas kaki yang kebelakangan ini semakin membimbangkan.

“Muhammad Amir kerap rebah kerana terlalu penat menjalani rutin hariannya ke sekolah ditambah pula dengan faktor cuaca dan terlalu aktif bermain,” katanya semasa mengadakan majlis rumah terbuka di kediamannya di kampung Selayang Indah di sini, semalam.

Sementara itu, keadaan kakak Amir, Nurul Huda pula berada dalam keadaan stabil dan doktor membekalkan ubat untuk memastikan pita suara anaknya yang menghidap tiroid sentiasa berada dalam keadaan stabil.

“Pembedahan tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat memandangkan Nurul Huda perlu menumpukan perhatian kepada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang  menjelang beberapa hari lagi.

“Ubat yang diberikan juga bukan jenis ubat mengantuk memudahkan dia untuk menumpukan kepada pembelajaran dan pembedahan dijangka akan dilakukan selepas tamat peperiksaan,” katanya.

Manakala anak bongsunya, Nur Fatihah pula yang menghidap kanser tulang katanya, doktor menasihatkan supaya pembedahan tidak dilakukan ke atasnya memandangkan usianya yang masih kecil menyukarkan mengesan ketumbuhan.

“Nur Fatihah hanya akan menjalani pemeriksaan susulan setiap bulan di Hospital Selayang dan ketumbuhannya sukar dikesan dan dipercayai akan membesar mengikut peningkatan usianya dalam lingkungan 14 hingga 15 tahun.

“Kadangkala Nur Fatihah ada mengadu mengalami sakit tangan kanannya dan tidak kuat untuk mengangkat barang dipercayai mempunyai kaitan dengan ketumbuhan yang menghimpit uratnya hingga tangannya gagal berfungsi dengan baik,” katanya.

Pengawal keselamatan Maim dituduh cabul – Sinar Harian


Pengawal keselamatan Maim dituduh cabul
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Jun 2012
AYER KEROH – Seorang pengawal keselamatan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam atas tuduhan mencabul seorang kanakkanak mualaf.

Dia dituduh berbuat demikian di sebuah Pusat Perkhidmatan Saudara Baru, Lorong Pandan, hujung tahun lalu.

Mat Radzi @ Mat Razdi Darus, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang didakwa terhadapnya di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, Mat Radzi didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang perempuan berusia 11 tahun dengan niat mencabul kehormatannya iaitu meraba buah dada dan kemaluan mangsa.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Nurul Huda Jalan Kesidang, Taman Kesidang Seksyen 2 antara Disember 2011 dan Mac 2012.

Warga emas dari Tanjung Kling itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau manamana daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin

Nurul Huda rindu sekolah – Sinar Harian


Nurul Huda rindu sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mei 2012
Nurul Huda rindu sekolah
Mohd Asri dan Zaiton membawa Nurul Huda bersiar-siar di luar rumah

TIKAM BATU, Kedah – Disebabkan terlalu rindukan persekolahan yang ditinggalkan sejak lebih setahun lalu, akibat ketumbuhan di otak, Nurul Huda Mohd Asri, 8, dikatakan banyak menghabiskan masa dengan buku-buku kesayangannya.

Ibunya, Zaiton Mahmud, 39, berkata, Nurul Huda baru selesai memasang ‘kimo port’ iaitu sejenis alat yang ditanam di dada bagi memudahkan proses kimoterapi.

“Kimoterapi akan diteruskan pada 28 Mei ini dan hari ini Nurul Huda perlu dibawa ke hospital untuk lihat perkembangan dan masukkan ubat,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Berapit , di sini, semalam.

Menurut Zaiton, Nurul Huda gemar menghabiskan masa bersama buku-buku yang dihadiahkan kepadanya.

“Setiap hari dia suka buat latihan, mewarna dan membaca, terutama sekali apabila ditahan di wad.

“Kadang-kala dia boleh habis buat latihan sebuah buku dalam masa satu hari sahaja, katanya.

Menurutnya, kerajinannya membuatkan doktor yang merawatnya sering menghadiahkan buku dan pemberian itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Apabila ditanya, Nurul Huda menjelaskan teringin ke sekolah semula dan meneruskan pembelajaran seperti biasa bersama rakan-rakan, namun keadaan kesihatan tidak mengizinkannya berbuat demikian.

Zaiton berkata, sejak melalui proses kimoterapi, badan anaknya menjadi semakin lemah, langkahnya longlai, penglihatannya agak kabur dan tidak lalu makan.

“Dia juga akan mengalami muntah, demam panas dan sering mengadu sakit kepala.

Bapanya, Mohd Asri Hamid, 38, berkata, dia memberi apa sahaja makanan diminta anak bongsu dari empat beradik itu memandangkan dia kurang makan nasi.

“Dia suka makan laksa, buah anggur atau apa sahaja yang terlintas di fikiran akan diminta, walaupun dalam kuantiti kecil, tetapi saya usahakan juga untuk sediakan apa yang termampu,” katanya.

Menurutnya, Nurul Huda baru sahaja selesai sesi kimoterapi pertama dan masih berbaki tujuh sesi lagi.

Zaiton, yang sebelum ini menyediakan kuih untuk dijual terpaksa berhenti seketika bagi memberi sepenuh perhatian menjaga Nurul Huda, manakala Mohd Asri sebagai peniaga gerai makan pula sering mengambil cuti untuk menghantar anaknya mendapatkan rawatan.

Bagi mana-mana pihak yang prihatin, boleh menghubungi Asri di talian             017- 4327965      atau melalui akaun BSN atas nama Zaiton Mahmud nombor akaun 07123-41-00002311-0 atau ke rumah mereka di Kampung Berapit, Tikam Batu.

Murid istimewa dapat e-book – Sinar Harian


Murid istimewa dapat e-book

NURUL HUDA HUSAIN
16 April 2012

KUALA TERENGGANU – Biarpun sukar untuk menafsir apa yang terbayang dihati seramai tujuh murid tahun empat dari Sekolah Pendidikan Khas, Chendering, yang menerima pemberian e-book yang disampaikan sendiri, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, tetapi apa yang nyata mereka begitu gembira.

Tiada siapa di dunia ini yang ingin dilahirkan tidak sempurna namun bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri membuktikan golongan ini tidak pernah dipinggirkan.

Senyum lebar yang terukir pada wajah masing-masing menceritakan segalanya biarpun tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Tujuh murid ini mempunyai masalah pendenga-ran, bisu dan cacat penglihatan turut dirai pada Majlis Penyampaian E-Book Dun Batu Burok yang berlangsung di Stadium Negeri, di sini.

Salah seorang murid berkenaan, Mohd Akashah Alias, 10, membuktikan bahawa kekurangan yang dialaminya itu tidak menjadi halangan baginya untuk menunjukkan kemahiran guna e-book.

Malah, dia bersama rakan lain begitu teruja untuk menerokai ‘dunia’ baru dalam pendidikan, sekali gus membuktikan bahawa golongan istimewa sepertinya juga mampu belajar seperti rakan sebaya normal yang lain.

Pada majlis tersebut seramai 770 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering (85), SK Gong Tok Nasek (94), SK Seri Budiman 2, (97), SK Kubang Ikan (132), SK Pusat Kuala Ibai (161) dan SK Seri Budiman (192) menerima kemudahan berkenaan.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya juga turut mengingatkan ibu bapa untuk memastikan bateri e-book dicaj dengan sebaiknya agar kanak-kanak terbabit dapat mengikuti pembelajaran tanpa gangguan.