Mohd Iskandar Fitri juarai acara lepas beramai-ramai remaja kebangsaan – Bernama


Mohd Iskandar Fitri juarai acara lepas beramai-ramai remaja kebangsaan

1 April 2012

KANGAR – Pelumba Terengganu, Mohd Iskandar Fitri Ahmad Sabti menjuarai acara lepas beramai-ramai lelaki bawah 17 dan 18 tahun kejohanan lumba basikal remaja kebangsaan Sportexcel/MSN/MILO/PKBM/PBNPs yang berlangsung di sini hari ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu mencatat masa dua jam, 17 minit dan 26 saat (2:17.26) bagi menamatkan kayuhan sejauh 91.3 kilometer untuk menyingkirkan para
pencabar terdekatnya yang turut mencatat masa yang hampir sama dengannya.

Berdasarkan foto penamat, Mohd Iskandar Fitri dinobatkan sebagai juara acara itu walaupun sembilan lagi pelumba mencatat masa yang sama dengannya.

Seorang lagi pelumba Terengganu, Abd Aziz Zahit menduduki tangga kedua acara itu manakala pelumba Kedah, Mohd Nasrullah Ismanizam di tempat ketiga, pelumba Serantau Ipoh, Irwandie Lakasek di tangga keempat dan pelumba Serantau Zon Utara, Mohd Asyraf Anuar di tangga kelima.

Bagi acara lepas beramai-ramai perempuan bawah 17 dan 18 tahun sejauh 74 kilometer, pelumba pelapis kebangsaan daripada Sabah, Lauretta Eva Adrian muncul
juara dengan catatan masa 2:25:46.

Empat lagi pelumba mencatat masa yang sama seperti Lauretta iaitu pelumba Sarawak Rosnina ak Minggu diletakkan di tempat kedua, seorang lagi pelumba Sarawak, Carolline a/k George di tangga ketiga, pelumba Selangor, Nur Farah Ain Amran di tangga keempat dan pelapis kebangsaan daripada Pahang, Nurul Nadia Mohd Fauzi di tangga kelima.

Bagi acara lepas beramai-ramai lelaki bawah 16 tahun sejauh 74 kilometer, pelumba pelapis kebangsaan dari Terengganu, Asyraf Naim Ying muncul juara dengan
catatan masa 1:56:56.

Dua pelumba yang mencatat masa yang sama dengannya, Ahmad Muazam Iman Mustaffa Kamal daripada Sek Sukan Tunku Mahkota Ismail di tangga kedua dan
Shahrul Afham Rosli daripada Serantau Zon Utara di tangga ketiga.

Pelumba Kuala Lumpur, Sean Wilson yang mencatat masa 2:25:46 muncul juara acara lepas beramai-ramai perempuan sejauh 74 kilometer manakala tempat kedua disandang pelumba pelapis kebangsaan daripada Selangor Farina Shawati Mohd Adnan (2:32:05).

Tempat ketiga disandang pelumba pelapis kebangsaan dari Kedah, Nur Jeha Iwani Roslan walaupun memperolehi catatan masa yang sama seperti Farina Shawati.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu dianjurkan bersama kerajaan negeri Perlis, Majlis Sukan Negeri, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan Persatuan Berbasikal Negeri Perlis dengan kerjasama Sportexcel dan MILO. – Bernama

Najib sahkan skim gaji baru ditangguh – Sinar Harian


Najib sahkan skim gaji baru ditangguh

G MANIMARAN, NURUL NADIA DAN ARHIZA AHMAD
January 12, 2012
NAJIB

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim itu, yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan memetik sumber-sumber berkata, Kabinet dalam mesyuarat mingguan semalam telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA atas beberapa sebab, antaranya kerana rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

“Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya, semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Ketika dihubungi awal hari ini, pimpinan Cuepacs juga mengesahkan pelaksanaan SBPA akan ditangguhkan sementara perundingan diadakan dengan mereka.

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata Presidennya Datuk Omar Osman turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengenai penangguhan SBPA.

“Ya betul, SBPA ditangguhkan. Tetapi setakat ini belum ada pemakluman secara hitam putih (daripada kerajaan). Cuma Datuk Omar telah mengadakan pertemuan dengan KSN pagi tadi membincangkan perkara ini,” kata beliau kepada Sinar Harian Online tengah hari tadi.

Sementara SBPA disemak semula, dalam kenyataannya Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.
Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

“Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak,” katanya.

Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.