Nurusyahamah jadi anak angkat UMNO Besut – Utusan


Nurusyahamah jadi anak angkat UMNO Besut

NURUSYAHAMAH Taqiah Nurunnajmi menunjukkan sijil penyertaan tilawah di Qatar kepada Idris Jusoh (kanan) yang mengunjunginya di Kampung Alor Keladi, Besut, Terengganu, semalam.

 

BESUT 3 Sept. – Pemenang tempat ketiga pertandingan akhir Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar pada 26 Ogos lalu, Nurusyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, akan menjadi anak angkat UMNO Bahagian Besut.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penghargaan itu sebagai pengiktirafan atas kegigihan Nurusyahamah yang berjaya mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, ia juga sebagai dorongan kepada pelajar lain untuk mengetengahkan bakat dan kebolehan yang ada pada diri mereka.

“Langkah itu juga bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda berusaha mencapai kecemerlangan di peringkat global sejajar dengan hasrat menjadikan Besut sebagai Bumi Ulul Albab,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan tentang kehebatan Nurusyahamah apabila berjaya meletakkan diri dalam kalangan 63 peserta dari seluruh dunia yang layak ke peringkat akhir tilawah itu sebelum dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.

Kemenangan itu membolehkan Nurusyahamah memperoleh hadiah berupa sijil dan barangan termasuk wang tunai berjumlah RM39,800.

Pertandingan anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan TV Saluran Kanak-Kanak Al-Jazeera itu turut disaksikan Menteri Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam, Qatar, Sheikh Saleh Abdul Aziz Ibrahim Al-Sheikh dan Duta Besar Malaysia ke Qatar, Ahmad Jazri Mohd. Johar.

Dalam pada itu, bapa Nurusyahamah, Nurunnajmi Yaakob, 40, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alur Keladi dekat sini berkata, anaknya itu tidak dapat membuat bacaan dengan baik dan lancar kerana selesema.

Katanya yang menemani Nurusyahamah ke Qatar, suasana studio di stesen televisyen yang sejuk dengan pendingin hawa merupakan satu cabaran buat anaknya apabila terpaksa menunggu hampir empat jam sebelum tiba giliran memperdengarkan bacaannya.

“Nurusyahamah juga tidak dibenarkan memakai baju tebal oleh pihak penganjur menyebabkan dia dijangkiti selesema dan ketika pertandingan, dia mengalami sedikit masalah sehingga terpaksa memberhentikan bacaannya semasa membaca,” katanya.