Guru wanita disiasat isu perkauman – Berita Harian


Guru wanita disiasat isu perkauman

2013/05/31 – 05:42:52 AMCetakEmel Kawan
Johor Bahru: Seorang guru wanita dari sekolah menengah dekat Gelang Patah, di sini, kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan tindakannya mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, selain menghasut pelajar membenci kerajaan.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad, berkata siasatan itu susulan laporan diterima daripada ibu bapa seorang pelajar yang mendakwa anaknya dan beberapa pelajar lain sering dihambur perkataan kesat dan menghina.

Kita terima laporan itu pagi ini dan polis memandang serius isu membabitkan perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan serta menggugat ketenteraman orang awam.

Justeru, polis akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan terhadap guru terbabit bagi menyiasat dakwaan ibu bapa pelajar berkenaan, katanya ketika dihubungi semalam.

Siasat secara menyeluruh

Nor Hashim berkata, polis memberi jaminan akan menyiasat kes terbabit secara menyeluruh, selain menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

Difahamkan, guru yang mengajar pelajar Tingkatan Dua di sekolah berkenaan sering mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman ketika mengajar.

Polis tahan doktor dipercayai cabul budak lelaki di kliniknya – Bernama


Polis tahan doktor dipercayai cabul budak lelaki di kliniknya

22 Oktober 2012

JOHOR BAHRU – Polis hari ini menahan seorang doktor sebuah klinik swasta di sini kerana dipercayai mencabul seorang budak lelaki berumur 12 tahun di kliniknya itu, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata doktor lelaki berusia 40 tahun dan masih bujang itu ditahan di kliniknya pada kira-kira 1 tengah hari ini selepas bapa budak lelaki itu membuat laporan polis semalam.

Katanya bapa budak lelaki itu mengesyaki sesuatu berlaku ke atas anaknya selepas melihat anaknya memiliki sebuah telefon bimbit yang didakwa diberikan oleh doktor itu.

“Siasatan awal mempercayai doktor itu mengumpan kanak-anak tersebut ke dalam kliniknya dengan memberikan telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Ace sebelum mencabul,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, di sini, hari ini.

Katanya budak lelaki itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Noor Hashim berkata polis berjaya menumpaskan kumpulan ‘Nara’ yang terlibat dengan kegiatan samun di sekitar bandar raya ini selepas menahan enam lelaki sejak hujung September lepas.

Katanya seorang daripada anggota kumpulan itu ditahan di Jalan Sui Koon, di pusat bandar ini kira-kira pukul 10 malam, 28 September lepas manakala lima yang lain ditahan di kawasan Kangkar Pulai, Taman Universiti dan Skudai Villa pada Khamis dan Jumaat lepas.

“Polis merampas pelbagai senjata dan barangan samun termasuk sebuah kereta Nissan Sentra, sebuah motosikal jenis Honda Wave, wang tunai RM1,584, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, dua jam tangan, dua beg galas, topi keledar, kapak, rotan, batu pengasah serta cable tight yang dipercayai digunakan bagi mengikat mangsa,” katanya.

Beliau berkata kesemua lelaki terbabit berumur 20 hingga 42 tahun, mengaku terlibat dengan tujuh kes samun dengan dua daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu. – Bernama

Suami isteri disyaki dera tiga anak guna kayu hoki – Bernama


Suami isteri disyaki dera tiga anak guna kayu hoki

26 April 2012

 

JOHOR BAHRU – Polis menahan sepasang suami isteri rakyat Singapura dua hari lepas kerana dipercayai mendera tiga anak mereka di Kampung Melayu, Gelang Patah, di sini. Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata bapa kandung dan ibu tiri berumur 40 dan 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang di rumah mereka di kampung tersebut selepas polis menerima laporan mengenai jenayah berkenaan pada pukul 11 pagi, hari yang sama.

“Laporan polis dibuat oleh mangsa, seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun dengan ditemani guru sekolahnya. Turut dipercayai menjadi mangsa dera itu adalah seorang adik perempuannya yang berumur 12 tahun dan adik lelaki berumur lapan tahun,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini hari ini.

Noor Hashim berkata mengikut keterangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah itu, ketiga-tiga mereka menetap di rumah berkenaan bersama ayah kandung dan ibu tiri yang merupakan guru muzik, sejak tahun 2007. Beliau berkata mereka tidak pernah berhubung dengan ibu kandung sejak berlakunya penceraian ibu bapa mereka, malah mereka sering dipukul dengan kayu hoki dan ditampar sehingga kejadian yang sama berulang pada Ahad dan Selasa lepas.
Katanya kedua-dua beradik perempuan itu turut dibotakkan kepala dan mengalami kesan lebam di beberapa bahagian badan, bagaimanapun, adik lelaki mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis berjaya merampas sebatang kayu hoki di rumah berkenaan dan pasangan terbabit kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Ketiga-tiga mangsa pula dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Dalam kes lain, Noor Hashim berkata pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan pecah rumah di sekitar bandar raya ini selepas menahan lima lelaki di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini, di sini semalam.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 35 hingga 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari selepas bilik gerakan IPD Nusajaya menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan berlakunya kejadian pecah rumah di Jalan Bakti 56, perumahan terbabit.

Katanya polis tiba di rumah tersebut lima minit kemudian dan merampas pelbagai barangan serta peralatan pecah rumah daripada suspek termasuk dua kereta curi, 14 telefon bimbit, televisyen plasma, beg tangan, minuman keras dan kuku kambing.

Katanya kesemua lelaki yang dipercayai terlibat dengan sembilan kes pecah rumah sejak tujuh bulan lepas itu kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — Bernama