NUTP minta kementerian tanggung kos selenggara sekolah – Sinar Harian


NUTP minta kementerian tanggung kos selenggara sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012

Maznah (dua, kanan) serah Buku Panduan OSH in School kepada Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu, Hashim Mat Zin.
KUALA TERENGGANU – Kementerian Pelajaran perlu menyediakan peruntukan bagi menampung kos penyelenggaraan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, ia amat penting bagi memastikan sekolah betul-betul selamat dan menghindarkan kemalangan,terutama membabitkan pelajar.

Katanya, walaupun kejadian kemalangan di sekolah terkawal, langkah awal seperti penyelenggaraan sekolah perlu dibuat dari masa ke masa.

“Untuk menyelenggara perlukan kos dan pihak kementerian perlu keutamaan mengenai peruntukan ini supaya tidak berlaku sesuatu kemalangan.

“Penyelenggaraan pendawaian elektrik, suis, tandas dan tangga kini amat memerlukan perhatian dan jabatan terlibat seperti JKR, perlu datang
dari masa ke masa untuk buat pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di Sekolah 2012 peringkat negeri Terengganu di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas terdapat antara guru mengelak menggunakan kenderaan sendiri bagi membawa pelajar kerana risiko jika berlaku sesuatu seperti kemalangan, Yim Pheng mengakui perkara berkenaan.

“Memang kita ada beri cadangan sebelum ini untuk beri pengangkutan kepada sekolah, tetapi mustahil untuk kerajaan sediakan bas atau van bagi setiap sekolah kerana kita kini mempunyai 10,000 sekolah di seluruh negara.

Kita mungkin boleh sediakan pengangkutan lain tetapi yang boleh dipercayai dan amalkan pemanduan selamat,” katanya.