Sekolah perlu bebas Aedes sebelum persekolahan bermula – Bernama


Sekolah perlu bebas Aedes sebelum persekolahan bermula

8 Jun 2012
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan meminta pihak pengurusan semua sekolah di seluruh negara supaya memastikan kawasan persekitarannya bersih dan bebas daripada pembiakan Aedes sebelum sesi persekolahan bermula setelah bercuti dua minggu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata pihak sekolah perlu mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk memastikan mangkuk tandas dipam, memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) dalam kolah atau takungan besar serta menyembur Aerosol ke dalam kelas-kelas yang tertutup sepanjang cuti persekolahan sejak 25 Mei lepas.

Beliau berkata tindakan kompaun maksimum sebanyak RM500 akan dikenakan terhadap pengetua atau guru besar sekolah yang didapati membiarkan sekolah menjadi tempat pembiakan aedes.

“Pemeriksaan kementerian terhadap 10,591 sekolah dari Januari sehingga 25 Mei lepas mendapati 723 sekolah mempunyai kawasan pembiakan aedes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi tempoh itu, katanya sebanyak 554 kompaun telah dikeluarkan kementerian dengan nilai kompaun RM277,000.

Dr Hasan turut mengingatkan masyarakat bahawa tanggungjawab membersihkan kawasan persekitaran kediaman bukan hanya terletak di bahu Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan sebaliknya menjadi agenda masyarakat setempat.

“Jawatankuasa Penduduk perlu mengatur program gotong-royong apabila mendapati kawasan persekitaran tidak bersih dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Menurutnya kes denggi mulai Januari hingga 2 Jun tahun ini telah meningkat sebanyak 19 peratus kepada 10,352 berbanding 8,720 kes bagi tempoh sama tahun lepas di seluruh negara.

Malah, kematian akibat denggi juga meningkat kepada 20 bagi tahun ini berbanding 14 orang tahun lepas, katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 27 Mei hingga 2 Jun lepas, sebanyak 349 kes dilaporkan dengan lima negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.

Negeri berkenaan ialah Sarawak dengan tujuh kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat), Perlis (tiga), Terengganu (tiga) dan Negeri Sembilan (satu kes).

Selain itu, sebanyak 69 lokaliti dikenal pasti mengalami wabak denggi yang melibatkan 17 daerah tetapi tiada lokaliti ‘hot spot’ dilaporkan.

Kementerian Kesihatan turut mendapati 1,026 premis menjadi kawasan pembiakan aedes daripada 66,907 premis yang diperiksa pada minggu lepas, kata Dr Hasan. – Bernama

Pelajar jadi renjer cegah pembiakan nyamuk aedes – Berita Harian


Pelajar jadi renjer cegah pembiakan nyamuk aedes
Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my
2012/02/06

PELAJAR menunjukkan isyarat antiaedes dalam majlis perasmian Pertandingan Renjer Antiaedes
yang dianjurkan syarikat S.C. Johnson & Son (M) Sdn Bhd.

PELAJAR menunjukkan isyarat antiaedes dalam majlis perasmian Pertandingan Renjer Antiaedes yang dianjurkan syarikat S.C. Johnson & Son (M) Sdn Bhd.

Pertandingan babit 100 sekolah diperluas ke Pulau Pinang

PERTANDINGAN Renjer Anti-Aedes Antara Sekolah yang dimulakan pada 2009 kini diperluaskan ke Pulau Pinang dengan penambahan penyertaan sebanyak 20 pelajar bagi setiap sekolah yang mengambil bahagian.

Dianjurkan syarikat pengeluar produk pencuci kegunaan rumah, S.C. Johnson, pertandingan yang bermula 31 Januari hingga Jun ini akan membabitkan 2,000 pelajar sekolah menengah daripada 100 sekolah di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Pengurus Besar Kelompok Melayu S.C. Johnson & Son (M) Sdn Bhd, Ramon Daez, berkata pertandingan itu diperluaskan ke Pulau Pinang kerana mahu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya denggi berikutan negeri itu menduduki tangga kelima mencatat kes denggi paling tinggi.

“Selain itu, penganjuran program yang dulunya hanya terhad kepada 10 peserta setiap sekolah diharap dapat memberi pendidikan kepada generasi muda dan masyarakat mengenai bahaya denggi dan cara mencegah penularan penyakit berkenaan.

“Bagi pertandingan ini, peserta dikehendaki melaksanakan misi ‘mencari dan menasihati’ isi rumah di kawasan kejiranan mereka mengenai bahaya denggi serta berkongsi cara untuk menangani pembiakan nyamuk aedes melalui kunjungan dari rumah ke rumah dengan ditemani guru mereka.

“Tahun ini, kita mensasarkan sebanyak 120,000 rumah untuk dikunjungi. Kami yakin sasaran ini berjaya dicapai menerusi usaha, dedikasi dan sokongan semua peserta,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pertandingan berkenaan, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, dekat sini, baru-baru ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman. Hadir sama, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Abu Omar Mos dan Pengetua SMK (P) Sri Aman, Datin Noorul-Aini Ambok.

Sempena perasmian pertandingan itu, satu taklimat mengenai penjagaan kebersihan rumah, bahaya aedes dan denggi turut diadakan bagi memberi maklumat kepada pelajar.

Sekolah yang dipilih sebagai pemenang utama berdasarkan bilangan paling banyak rumah yang dikunjungi dan diperiksa selain kebersihan sekolah itu sendiri, bakal membawa pulang hadiah utama RM10,000 manakala pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga di peringkat daerah juga bakal menerima hadiah wang tunai dan hamper.

Sementara itu, Noorul-Aini berkata, pertandingan berkenaan sangat bermanfaat kepada pelajar sekolah kerana mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai cara untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes.

“Ini adalah kali kedua SMK (P) Sri Aman mengambil bahagian dalam pertandingan Renjer Anti-Aedes Antara Sekolah yang mana pembabitan pertama adalah pada 2009.

“Saya yakin renjer dari sekolah ini akan dapat menjalankan tugas mereka dengan baik untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya demam denggi dan aedes,” katanya.

Pelajar Tingkatan Dua, Siti Sarah Azhar, berkata maklumat yang diperoleh melalui taklimat yang diadakan akan dikongsi dengan ahli keluarga dan mempraktikkan langkah kebersihan lebih efektif di rumah bagi mengelakkan berlakunya pembiakan nyamuk aedes.

“Program ini sangat bermanfaat dan diharap dapat meningkat kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan sekali gus mampu mengurangkan pembiakan nyamuk aedes yang menjadi faktor utama penyakit berkenaan,” katanya.