Genting Berhad ceriakan 500 anak yatim, OKU – Metro


Genting Berhad ceriakan 500 anak yatim, OKU

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GENTING HIGHLANDS: Kota keriangan, Genting Malaysia Berhad sekali lagi menceriakan hari 500 penghuni rumah anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) sempena sambutan Hari Kemerdekaan serta Aidilfitri, di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Genting Berhad, Puan Sri Cecilia Lim berkata, pihaknya juga mempelawa kanak-kanak dan 100 sukarelawan dari 24 rumah kebajikan sekitar Selangor dan Pahang untuk berkunjung ke taman tema untuk mencuba sendiri permainan yang ada selepas majlis jamuan berkenaan.
“Sudah lazimnya, Genting menunaikan tanggungjawab sosialnya untuk terus membantu golongan yang memerlukan terutamanya kanak-kanak. Semoga dengan aktiviti ini dapat menceriakan lagi hari mereka,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

 

Majlis yang dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, turut dihadiri isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Junaini Kassim serta beberapa ahli Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).
Sementara itu, Rosmah berkata, beliau difahamkan Genting menubuhkan pasukan “We care” khusus untuk memberi khidmat bakti kepada sekolah dan rumah kebajikan sekitar Pahang yang berlandaskan pendidikan, interaksi serta komunikasi.
“Ia selaras dengan aspirasi negara yang ingin melihat golongan OKU terus diberi peluang melalui pendidikan, latihan dan kemahiran bagi membolehkan mereka mampu berdikari sekali gus boleh keluar dari kepompong kehidupan lama ke arah yang lebih baik lagi,” katanya.

 

 

Selain berpeluang merasai sendiri kehebatan taman tema di Genting, kanak-kanak dan golongan OKU ini turut mendapat hamper dan duit raya sebagai tanda kenangan di sini.