Elaun guru Kafa Selangor naik – Sinar Harian


Elaun guru Kafa Selangor naik

NURULFATIHA MUAH
30 Januari 2013
Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid (dua, kanan) menyerahkan cenderahati kepada peserta semalam.

SHAH ALAM – Guru agama termasuk kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) di Selangor bakal menikmati kenaikan elaun bulanan sekali lagi apabila kerajaan negeri merancang untuk melaksanakan satu mekanisme penyelarasan baru.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penyelarasan itu juga meliputi pencen, deskripsi pekerjaan dan gaji mengikut kelulusan dan pengalaman guru berkenaan.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan semua guru agama menerima elaun selayaknya kerana mereka merupakan individu yang mendidik modal insan negeri, dalam usaha menjadikan Selangor sebagai hab pendidikan.

Abdul Khalid berkata, guru-guru agama penting dalam masyarakat Melayu dan mereka perlu diberi pengiktirafan yang lebih untuk perkhidmatan mereka.

“Semua itu kita cuba aturkan. Tidak lama lagi, saya akan memanggil jawatankuasa pendidikan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan Dr Halimah Ali (Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan untuk perkara ini.

“Mereka akan membuat penyelarasan dan mengukur berapa banyak belanja yang mesti kita tambah supaya dapat menunaikan hasrat permintaan mereka (guru agama),” katanya kepada sidang media selepas Program Perhimpunan Guru-Guru Sekolah Agama Negeri Selangor, di sini, semalam. Turut hadir, Halimah dan Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin.

Abdul Khalid berkata, dalam rancangan itu, beberapa perkara perlu dipertimbangkan antaranya menyerap guru tersebut ke dalam Jabatan Perkhidmatan Negeri, bukannya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Ia akan dibuat secara keseluruhan tetapi beberapa isu kita kena pertimbangkan. Kita tidak boleh memasukkan guru-guru ini dalam jawatan awam.

“Jika tidak, kita tak boleh (buat) sebab ia tidak termasuk dalam senarai perjawatan yang boleh diterima oleh JPA. Jadi kita kena masukkan dalam Jabatan Perkhidmatan Negeri,” katanya.

Maklum Balas Akhbar: “JPA Lengah Naik Gred Guru” – JPA


Maklum Balas Akhbar: “JPA Lengah Naik Gred Guru”
27 JULAI 2012

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil maklum dan prihatin di atas perkara yang dibangkitkan oleh Hashim Adnan, Presiden NUTP agar JPA menaikkan gred 400 guru yang memperoleh ijazah melalui Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari Gred DGA32 dan DGA29 kepada Gred DG41 seperti yang dinikmati 7,975 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS).

Untuk makluman, Program Pensiswazahan Guru (PPG) adalah merupakan isu Pertukaran Pelantikan kerana ia melibatkan dua skim perkhidmatan yang berbeza dan bukannya kenaikan gred guru. Isu pelantikan guru adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Pihak JPA hanya terlibat dengan keperluan pewujudan jawatan dan tidak terlibat dengan proses pelantikan guru.

Sehingga 23 Julai 2012, JPA telah meluluskan sebanyak 7,975 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) pelbagai Gred ke jawatan PPPS Gred DG41 di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berkuat kuasa 2 Oktober 2010. Pewujudan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 adalah bagi menampung keperluan penempatan PPPLD yang telah tamat dan memperoleh ijazah di bawah Dasar Pensiswazahan Guru secara PJJ yang dilaksanakan oleh KPM. Kelulusan tersebut telah menyelesaikan isu guru yang telah memperolehi ijazah sebelum tahun 2010 sehingga Disember 2011 dan telahpun lulus temu duga dan diperaku oleh SPP untuk dilantik sebagai PPPS Gred DG41.

Berhubung isu 400 guru yang telah tamat pengajian dan belum diluluskan kenaikan gred oleh JPA dan KPM, KPM kini sedang mendapatkan maklumat daripada NUTP berkaitan sumber data 400 guru tersebut termasuk mengemukakan senarai nama penyandang ke KPM. Untuk makluman sehingga kini, JPA masih tidak menerima sebarang permohonan daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPM bagi menukar ganti jawatan berhubung kohort baharu guru yang telah tamat PPG.

 
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
26 Julai 2012

Program taklimat kenaikan gaji bakal diperluas ke seluruh negara – Bernama


Program taklimat kenaikan gaji bakal diperluas ke seluruh negara

2012/04/23

MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memperluaskan program taklimat kenaikan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) ke seluruh negara, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menjelaskan pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012 kepada penjawat awam di setiap negeri berhubung penyelarasan gaji di bawah SSM yang diumumkan pada Mac lalu.

“Kita juga ingin mendapatkan maklum balas agar isu-isu yang dikemukakan dapat diberi perhatian oleh JPA dan Suruhanjaya Khas apabila ditubuhkan kelak,” katanya kepada pemberita selepas program taklimat itu di sini, hari ini.

Melaka merupakan negeri pertama dikunjungi JPA bagi program taklimat berkenaan.

Dalam pada itu, Abu Bakar, berkata pihaknya mengeluarkan surat pekeliling perkhidmatan mengenai perubahan gaji penjawat awam pada 16 April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 8 Mac lalu mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan SSM yang ditambah baik dengan pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus. – BERNAMA