‘Saya sedar ketika tertimbus’ – Bernama


‘Saya sedar ketika tertimbus’

17/09/2012 – 01:14:41 AMCetakEmel Kawan
Kuala Terengganu: Masa ditimbus tanah, saya sedar dan terasa ada orang pijak (tanah di atas) sebelum orang kampung menyedari saya tertimbus.

Masa kejadian itu, saya berada berhampiran lori dan secara tiba-tiba, tanah itu runtuh dan menghempap kami, menyebabkan kami gagal menyelamatkan diri, kata seorang kelindan lori, Mohd Hanifah Mohd Nawi, 19, ketika menceritakan pengalaman ngeri ditimbus tanah, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang di Kampung Kuala Ping, Mohd Hanifah bersama rakannya, Mohd Azharulnizam Daud, 24, yang juga pemandu lori ditimbus tanah ketika melihat adik Mohd Azharulnizam iaitu Mohd Zuraime, 17, melakukan kerja menarah tanah menggunakan jengkaut.

Seorang terkorban, dua mangsa lagi terselamat

Mohd Hanifah bernasib baik apabila hanya patah tangan, tetapi Mohd Azharulnizam terkorban selepas tanah setinggi 10 meter yang sedang ditarah itu runtuh.

Mohd Zuraime berjaya menyelamatkan diri.

Saya tertimbus di dalam tanah rasanya dalam 20 minit. Saya bernasib baik kerana berjaya diselamatkan oleh orang ramai, kata Mohd Hanifah kepada pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
Katanya, kejadian yang menimpa mereka berlaku terlalu pantas dan jika diberi pilihan, dia tidak lagi ingin melakukan kerja itu kerana serik serta takut setiap kali teringatkan insiden itu.
BERNAMA

Pelajar tingkatan dua dikhuatiri lemas semasa mencari kepah – Bernama


Pelajar tingkatan dua dikhuatiri lemas semasa mencari kepah

1 Mei 2012

MARANG – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Agama Marang dikhuatiri lemas ketika mencari kepah di Sungai Kerak, di sini, hari ini.

Mangsa, Md Harith Iskandar Md Fuad Mahakim, 14, ketika kejadian bersama enam lagi rakannya turun mencari kepah selepas selesai menghadiri program gotong-royong di sekolah berkenaan kira-kira pukul 2.45 petang.

Bagaimanapun, rakan mangsa Muhammad Amar Afiruddin Abd Aziz, 15, berkata selepas kira-kira 10 minit mencari kepah di sungai itu, mangsa tiba-tiba terjun ke dalam sungai.

“Harith memang berhajat untuk mandi di sungai itu. Malah dia telah siap membawa bekalan dan baju. Kami sangkakan Harith pandai berenang namun sangkaan kami meleset apabila melihat mangsa terkapai-kapai meminta pertolongan. Dia memang tidak pernah mandi di sungai berkenaan sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Panik dengan kejadian yang menimpa rakannya itu, Muhammad Amar dan rakan yang lain terjun ke sungai bagi menyelamatkan mangsa namun tindakan itu sia-sia.

Muhamad Amar berkata, walaupun beliau sempat memegang badan mangsa namun keadaan air yang deras serta badan mangsa yang agak besar, usaha itu gagal sebelum melihat mangsa hanyut dan tenggelam dibawa arus.

“Itu sahaja yang terdaya kami bantu dan kemudiannya terus meminta pertolangan daripada orang kampung dan menelefon Bomba,” katanya.

Bapa mangsa, Md Fuad Mahakim Mustafa, 42, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya itu petang semalam ketika menemui mangsa di sekolahnya kerana anak lelaki tunggalnya itu tinggal bersama ayahnya (datuk) di Kampung Sungai Kerak itu.

Katanya beliau terkejut dan sedih setelah dimaklumkan berita ini oleh ayahnya Mustafa Yusof, 65, sejurus selepas itu dan bergegas dari rumahnya di Losong, Kuala Terengganu ke tempat kejadian.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Terengganu Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata usaha mencari mangsa dilancarkan sebaik sahaja menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 2.55 petang.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa oleh unit skuba Bomba terpaksa dihentikan pada pukul 7 petang berikutan cuaca gelap dan akan disambung usaha mencari mangsa pada awal pagi esok. – Bernama