Jangan lebih-lebih – Metro


Jangan lebih-lebih

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: “Nak lapor polis boleh tapi jangan lebih-lebih. Kalau lebih-lebih, saya datang rompak sekali lagi.”

Begitu ugutan seorang daripada empat perompak bersenjatakan empat parang dan pemotong besi sewaktu memecah masuk dan melarikan barangan berharga dan wang tunai dari rumah seorang guru di Kampung Pelangai, dekat sini, awal pagi semalam, mengakibatkan mangsa kerugian lebih RM5,000.
Seorang daripada suspek berkenaan dipercayai menyelinap ke dalam rumah melalui tingkap bahagian dapur sebelum membuka pintu dapur bagi membolehkan tiga rakannya masuk.

 

Menurut mangsa Shahruzin Ismail, 52, dia bersama isteri Hanim Mohamad, 49, dan lima anak nyenyak tidur apabila dikejutkan kumpulan perompak terbabit yang bertopeng jam 2.30 pagi. “Isteri saya menjerit sebaik ternampak perompak terbabit memasang lampu bilik tidur kami sambil dua perompak mengacukan parang di leher saya dan isteri.
“Tangan kami diikat dan mata saya ditutup dengan kain manakala mulut kami disumbat kain,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Menurut Shahruzin, tangan dan kaki kelima-lima anaknya turut diikat dan mulut mereka disumbat kain dan mereka dihimpunkan di dalam sebuah bilik dan ditutup dengan selimut.

 

FotoBESI tingkap yang dipotong perompak dengan menggunakan pemotong besi.

“Perompak meminta menyerahkan semua wang yang saya ada kerana beranggapan saya orang kaya. Saya cuba jelaskan saya hanyalah seorang guru dan rumah yang kami diami ini adalah rumah sewa manakala isteri saya pula tidak bekerja.
“Semua perompak bagaimanapun melarikan beberapa barangan berharga termasuk tiga komputer riba, lima telefon bimbit, barang kemas, peralatan komputer serta wang tunai dianggarkan RM4,000 dan jumlah keseluruhan dianggarkan melebihi RM5,000,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abd Rahim berkata, siasatan mendapati modus operandi rompakan itu sama seperti kes berlaku di sekitar Johol, baru-baru ini.
“Polis percaya tiga suspek warga negara asing dan seorang dipercayai orang tempatan itu terbabit dengan beberapa siri rompakan seumpama itu di seluruh Negeri Sembilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/14

Kegembiraan bertukar cemas – Sinar Harian


Kegembiraan bertukar cemas

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2013
Kegembiraan bertukar cemas
Orang ramai melihat pokok tua yang tumbang dan melintang jalan berhampiran SMK Orang Kaya Haji, Kuala Lipis, pagi semalam.

KUALA LIPIS – Kegembiraan pengunjung yang memeriahkan Majlis Perasmian Sekolah Angkat Pintar Telekom Malaysia di SMK Orang Kaya Haji, di sini bertukar cemas apabila sebatang pokok tua tumbang dan melintang jalan kira-kira jam 11 pagi semalam.

Pengunjung, Azam Othman, 28, berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga sedang melawat ruang pameran pada majlis itu sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari arah jalan raya.

“Apabila terdengar bunyi bising, saya bersama pengunjung lain bergegas ke tempat kejadian dan lihat sebatang pokok tua tumbang dan hampir menghempap beberapa kenderaan lain yang diletakkan di bahu jalan.

“Mujur tiada kenderaan yang diletakkan di bawah pokok itu,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Norhayati Mahmud, 35, berkata, pihak berkaitan digesa tebang pokok tua yang ada di sekitar bandar Lipis bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kita bernasib baik kerana tiada pengunjung yang cedera dan pokok tumbang itu tidak menimpa kenderaan yang diletakkan di kawasan berhampiran. Kalau tidak, sudah tentu pemilik kenderaan berkenaan terpaksa tanggung rugi.

“Kita harap pihak berkaitan dapat tebang pokok tua terutama di laluan utama yang kerap dilalui pengguna jalan raya. Kita tak nak nanti ada yang maut atau cedera kerana dihempap pokok,” katanya.