Muhammad Faiz (kiri) hilang tangan kanan namun tetap mahu bekerja untuk menyara emak dan adik-adiknya yang masih bersekolah.
ROMPIN – Seorang remaja lelaki Orang Asli yang menetap di Buluh Nipis, di sini nyaris maut dalam mesin pemecah batu ketika sedang bekerja di sebuah kilang kuari di Paloh Hinai, Pekan, Julai lalu.
Muhammad Faiz Abdullah, 16, berkata, kejadian itu menyebabkan dia kudung tangan kanan akibat tersepit pada mesin tersebut.
“Ketika kejadian, ada batu tersangkut pada mesin itu, jadi saya cuba alihkan batu berkenaan untuk menggerakkan mesin.
“Selepas itu, mesin bergerak secara tiba-tiba menyebabkan tangan saya tersepit. Saya nyaris maut kalau lambat bertindak kerana mungkin seluruh anggota badan tersepit dan termasuk ke dalam mesin itu,” kata anak keempat daripada sembilan beradik itu.
Sejurus itu katanya, rakan sekerja menghantarnya ke Hospital Kuantan dan dimasukkan ke wad selama sembilan hari dan seterusnya dimasukkan ke Hospital Muadzam Shah, di sini selama tiga hari.
“Kos rawatan kira-kira RM4,000 ditanggung syarikat kuari terbabit dan saya ada buat tuntutan insurans tapi sehingga kini masih belum dapat kepastian sama ada permohonan diluluskan atau tidak.
“Saya akan mula bekerja pada bulan depan di tempat sama, cuma saya akan diberi tugas bersesuaian dengan keadaan saya sekarang yang tergolong sebagai orang kurang upaya. Insya-Allah saya akan cuba sesuaikan diri,” katanya.
Sementara itu, emaknya, Tiling Kubeh, 53, berkata, anaknya itu tidak bersekolah sejak tingkatan satu kerana mahu membantunya mencari nafkah untuk menanggung keluarga.
“Saya ada nasihatkan Muhammad Faiz supaya bersekolah tetapi dia menolak kerana kasihankan saya dan adik-adiknya,” katanya.
Menurut Tiling, anaknya itu tetap mahu bekerja untuk menanggung lima adiknya yang masih bersekolah.
“Saya terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa Muhammad Faiz. Dia anak yang baik kerana sanggup berkorban demi keluarga namun kami reda dengan dugaan yang menimpanya,” katanya.
Selepas kejadian itu katanya, dia tidak membenarkan anaknya itu bekerja lagi namun Muhammad Faiz tetap mahu mencari duit untuk membantu keluarga memandangkan mereka hanya bergantung dengan wang Risda sebanyak RM450 sebulan.
“Dia seorang anak yang bertanggungjawab, mungkin ada hikmah di sebalik dugaan yang menimpa kami sekeluarga,” katanya yang masih belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak.