Ditahan ketika asyik merokok – Sinar Harian


Ditahan ketika asyik merokok

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Mac 2013
Ditahan ketika asyik merokok
Inspektor Nor Faizal (kiri) bersama anggota unit ‘Task Force’ melabelkan kenderaan yang ditemui di tempat kejadian.

PADANG SERAI – Selepas menahan empat pelajar dua minggu lalu akibat terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal,  polis dari unit Task Force, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berjaya menahan lapan lagi pelajar berusia 16 tahun di kawasan semak berhampiran taman perumahan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, intipan yang diketuai Inspektor Nor Faizal Mohamad selama dua minggu itu mendapati sekumpulan remaja berkenaan sering menghabiskan masa mereka di kawasan tersebut.

Menurutnya, dari laporan diterima, selain pelajar lelaki, pelajar perempuan turut berada di lokasi persembunyian tersebut.

“Serbuan dibuat kira-kira jam 11 pagi ketika sekumpulan pelajar sekolah asyik merokok dan apabila menyedari kehadiran polis, mereka bertempiaran lari bagaimanapun seorang daripadanya berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi persembunyian, polis menemui, beberapa paket mi segera, periuk dan kondom. Suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kata beliau, kira-kira jam 11.30 malam, polis bersama suspek pergi ke rumah tujuh pelajar yang melarikan diri dan menahan kesemua mereka.

Jelasnya, hasil siasatan, polis menemui lima motosikal di sekitar kawasan semak berkenaan dan turut menemui enjin motosikal yang sudah dileraikan serta disimpan di dalam plastik kira-kira 100 meter dari tempat persembunyian mereka.

“Selain Kulim, kumpulan ini turut aktif mencuri motosikal di Padang  Serai dan Bukit Mertajam. Kesemua suspek akan disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Polis sudah menyenaraikan beberapa nama suspek terlibat dalam kegiatan mencuri dan merungkai motosikal di sekitar kawasan Kulim hasil maklumat suspek,” katanya.

Ghuzlan berkata, pihaknya akan memantau pergerakan suspek di sekolah, rumah dan tempat kerja sebelum membuat serbuan.

Beliau turut meminta pihak pentadbiran sekolah memaklumkan kepada polis jika pelajar mereka didapati terlibat dalam kegiatan jenayah.

“Merahsiakan maklumat mengenai perlakuan jenayah merupakan satu kesalahan serius kerana mereka boleh dianggap sebagai bersubahat.

“Selain itu, ibu bapa harus memainkan peranan memantau pergerakananak supaya tidak terlibat dalam aktiviti jenayah,” katanya.

Ibu tunggal empat anak hidup melarat dapat bantuan JKM – Bernama


Ibu tunggal empat anak hidup melarat dapat bantuan JKM

19 November 2012

KULIM – Seorang ibu tunggal yang mengharungi pelbagai ujian hidup membesarkan empat orang anaknya selepas diceraikan suami empat tahun lalu kini bersyukur kerana kesusahannya itu sudah mendapat perhatian pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Norhaslinda Musa ,36, yang tinggal di Taman Raya Murni, Kampung Padang, Padang Serai, dekat sini diberi bantuan segera RM300 oleh jabatan itu manakala bantuan bulanan pula akan bermula Disember ini.

Pegawai JKM Kulim, Rohana Mohd Yusuf yang menyiasat kes ibu tunggal itu berkata Norhaslinda sepatutnya mendapat bantuan tahun lalu tetapi kerana permohonan pertamanya diuruskan di JKM Butterworth dan beliau telah berpindah menyebabkan tidak dapat dikesan.

Katanya, kes ibu tunggal itu dilaporkan kepada JKM oleh seorang rakannya yang bersimpati dan selepas ditemuduga jabatan itu meluluskan bantuan di bawah Program Bantuan Kanak-Kanak (BKK) untuk keempat-empat orang anak wanita itu.

Rohana berkata selain bantuan segera dan bulanan, jabatan itu akan menolong mendapatkan bantuan di bawah program Azam 1Malaysia berupa sebuah mesin jahit bagi membolehkan Norhaslinda berdikari.

Norhaslinda yang ditemui pemberita berkata beliau tidak diberitahu tentang permohonan pertamanya melalui JKM Butterworth ditolak atas alasan teknikal.

Wanita itu kini mengusahakan pembuatan kerisik kelapa yang dijual di kedai-kedai dan restoran sekitar pekan Padang Serai, mengambil upah menjahit pakaian dan membuat kuih pada musim perayaan.

“Saya boleh dapat RM300 hingga RM400 sebulan namun tidak cukup untuk menampung perbelanjaan tiga anak yang belajar dalam darjah 3, 5 dan 6, manakala yang bongsu berumur empat tahun serta untuk belanja harian kami,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan dengan memasukkan wang ke akaun Norhaslinda di Maybank nombor 157410105679.  – Bernama

Peniaga pasar malam dipenjara 10 tahun kerana rogol pelajar – Bernama


Peniaga pasar malam dipenjara 10 tahun kerana rogol pelajar

11 Oktober 2012

JOHOR BAHARU – Seorang peniaga pasar malam dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan merogol seorang pelajar berusia 13 tahun, Ogos lepas.

Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Roslan Zakaria, 30, yang didakwa melakukan kesalahan itu dalam dua kejadian berasingan di tempat yang sama.

Bagi tuduhan pertama, Roslan yang berasal dari Padang Serai, Kedah, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor 200, Jalan Saujana, Plentong, di sini, pada kira-kira 12.30 tengah hari, 10 Ogos lepas.

Bagi tuduhan kedua, Roslan didakwa melakukan kesalahan sama pada waktu dan tempat yang sama pada 13 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Zamri bagaimanapun, memerintahkan hukuman penjara tersebut dijalankan serentak mulai tarikh tangkapan pada 9 Sept lepas.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dzul Iswari Mohd Jaafar manakala Roslan tidak diwakili peguam.- Bernama